Wednesday, August 19, 2009

Ucapan "Selamat Tinggal" Itu Sakit!

"Selamat tinggal sayang, aku tetap mencintamu!"

Aku tak pasti dari mana ucapan ini masuk ke dalam kepala aku dan terakam kemas di dalam kotak ingatan sehingga sekarang. Kalau tak silap ungkapan ini berada dalam kotak ingatan aku sejak zaman persekolahan dahulu. Al maklumlah, masa muda remaja pantang jumpa ungkapan cinta pasti dikutip, dicatat dan dingatkan untuk dijadikan modal menulis surat.

Aku boleh dikatakan hebat juga bab menulis surat cinta. Ramai rakan sekolah yang minta aku menulis surat cinta untuk mereka. Dahulu mana ada telefon. Hanya surat yang menjadi utusan antara dua insan bercinta. Surat cinta - cinta padang pertama - mesti dikarang dengan gaya bahasa yang menarik dan sedikit memuji, barulah dibalas.

Beberapa hari lepas, sekali lagi aku diminta menulis surat cinta. Seorang lelaki berusia 50-an tahun jatuh cinta dengan seorang wanita muda dari negara jiran. Dia baru menerima surat daripada buah hatinya - surat itu ditulis panjang lebar - dalam bahasa yang tidak difahami lelaki berkenaan. Akulah yang jadi jurubahasanya.

Aku hairan kenapa tidak berutusan melalui telefon. Rupa-rupanya mereka ini satu itik dan satu ayam. Tiada bahasa lisan yang mampu menghubungkan mereka kecuali bahasa badan. Macam mana boleh bercinta kalau bercakap pun tidak faham. Bahasa badan - bahasa atas katil barangkali yang menyatukan mereka? Bahasa ini mudah difahami dan mudah menyebabkan orang jatuh cinta. Cinta itu buta.

Sudah dua tahun mereka bercinta. Sebelum ini ada jurubahasa yang menolong menulis surat untuk lelaki tua bercita rasa muda itu. Akan tetapi jurubahasa itu telah berangkat pulang ke negaranya - sama negara dengan si wanita tersebut. Entah macam mana dia boleh tersrampak dengan aku, lalu menghulurkan surat untuk aku baca, kemudian ceritakan isinya kepada dia. Dia begitu galak menunggu aku memberitahu perkhabaran daripada si jantung hatinya. Sewaktu aku membaca surat, dia menceritakan kisah percintaan mereka. Dia memberitahu bahawa dia amat mencintai wanita itu. Setiap bulan dia ada menghantarkan duit. Wanita itu berjanji akan datang ke tempat pertemuan mereka dahulu dalam masa terdekat ini. Sebab itulah dia bergembira sangat kerana bakal berjumpa dengan kekasihnya.

Belum habis aku membaca surat, aku mula naik risau. apa yang aku baca dengan apa yang dia beritahu seperti bercanggah. Dalam surat ada tertulis ungkapan "selamat tinggal" yang menyebabkan aku tertelan liur beberapa kali. Bagaimana aku mahu memberitahunya yang kelihatan begitu mencintai kekasihnya itu? Sedangkan kekasihnya telah mengucapkan "selamat tinggal" kepadanya dan minta dia mencari orang lain. Sebabnya tidak diberitahu. Namun, aku dapat menjangka. Dua keping hati yang bercinta apabila tinggal berjauhan, apa-apa sahaja bisa berlaku. Apatah lagi cinta yang berputik daripada bahasa badan di atas ranjang begini.

Ungkapan "selamat tinggal" walaupun diucapkan dengan perlahan, ia amat menyakitkan. Siapa yang pernah mengalaminya pasti tahu betapa sakitnya apabila orang yang kita sayangi dan cintai mengucapkan "selamat tinggal!" Walaupun alasannya mungkin untuk kebaikan bersama, namun sukar bagi kita menerima kenyataan itu.

"Apa dia kata?" tanya lelaki itu.

Hah! Aku tersentak.

"Dia ... dia sihat!" Aku tidak tahu bagaimana hendak memberitahunya perkara yang sebenar. Aku takut dia kecewa, sedih dan duka. Betul-betul aku buntu. Aku kemudian ceritakan apa yang patut dan tinggalkan perkara yang berkaitan dengan "selamat tinggal". Lama aku merenung wajah orang tua itu. Dia tertipu atau sememangnya cintanya hanya setakat itu?

"Awak tolong balas surat ni!" minta lelaki itu.

Alamak! Aku juga kena balas surat itu.

"Beritahu dia, saya sangat rindukan dia!"

Aku menolak permintaannya dengan alasan bahawa aku hanya pandai membaca tetapi tidak pandai menulis. Aku minta dia pergi cari orang lain sebagimana orang lain minta dia mencari aku. Dalam hati aku, aku betul-betul kesian kepada lelaki malang itu. Betapa sakit hatinya seandainya dia tahu bahawa dia telah diucapkan "selamat tinggal!" Dan pasti dia akan tahu suatu hari nanti!

Aku lebih rela sendiri sakit hati daripada melihat orang lain sakit hati. Mungkin ada orang yang tidak percaya akan kata-kataku. Namun, dia akan percaya juga suatu hari nanti apabila dia tahu bahawa aku tidak berbohong!

Monday, August 3, 2009

Kalau Anda Berada di Sini?

Ini bukan kisah aku. Aku tidak ada kisah seindah ini kerana kehidupan aku begitu mendatar. Hanya kehidupan yang berliku-liku dan beralun-alun sahaja menyimpan keindahan yang tiada bandingannya. Kehidupan aku sudahlah mendatar, tawar lagi. Bukan setakat tawar kerana tidak cukup gula seperti teh O tepi jalan, bahkan tiada kandungan gula langsung. Tawar jenis yang tidak mengundang selera sesaiapa pun untuk merasainya.

Oleh sebab itulah aku memilih untuk menulis kisah sahabatku. Kisah apa? Kisah cinta perantau yang pulang ke bumi bonda membawa jiwa yang lara. Dia ini pada waktu mudanya begitu jelita. Selalu menjadi siulan jejaka. Ke mana dia pergi, ada-ada sahaja mata yang terpukau. Kalau hendak dibesarkan cerita, siapa terpandang wajahnya, pasti tertelan air liur. Lelaki yang terpandang wajah dan tidak terpikat hanya lelaki buta. Lelaki yang ada mata seperti aku, berbohonglah kalah tidak terdetik perasaan kelelakian apabila berselisih jalan dengan dia.

Aku tidak mahir menggambarkan kecantikan wanita dalam bentuk tulisan kerana aku bukan sasterawan. Aku hanya penulis kaki lima. Oleh itu, anda bayangkan sendiri sahaja kejelitaan wanita yang aku angkat kisahnya ini sebagaimana anda membayangkan kecantikan bidadari di syurga. Bukankah menjadi impian anda mahu memeluk bidadari di syurga yang dikatakan amat jelita itu?

Kisahnya bermula di sini, di saat wanita pujaan ramai jejaka pulang dari perantauan. Dia merantau ke negara Eropah bukan mencari ilmu atau mencari pengalaman sebagaimana Puteri Raja dalam cerita purba. Dia merantau mengikut suaminya, anak tempatan yang mencari makan di bumi orang. Hasil perkahwinan atas dasar suka sama suka - cinta atau tak cinta aku tak tahu - mereka dikurniakan seorang putera. Selama 5 tahun mengecapi suka duka di bumi Mat Salleh, perkahwinan mereka dihampari jalan berduri kerana kemunculan orang ketiga. Akhirnya setelah segala jalan penyelesaian menemukan kebuntuan, mereka berpisah. Wanita jelita berusia 28 tahun jadi ibu tunggal dan pulang ke tanah air seorang diri. Anak lelakinya dijaga oleh suaminya.

Setelah pulang ke tanah air, wanita itu menyepikan diri buat sementara waktu. Seperti kebanyakan ibu tunggal yang lain, berapa lama dia bisa menyepikan diri. Kesunyian pasti menggigit jiwanya. Pengalaman hidup berdua bukan mudah untuk dilupakan begitu sahaja. Maka dia pun mula mencari kembali kebahagiaan yang hilang. Dia mencari kawan aku, bekas kekasihnya sejak zaman muda dahulu. Percintaan mereka - cinta pertama - menjerlus begitu mendalam tetapi kerana tiada jodoh, mereka tidak dapat hidup bersama.

Sepintas lalu kelihatannya tiada masalah. Seorang kekasih kembali ke dakapan pasangan lamanya. Namun, masalahnya lebih besar daripada Gunung Fuji. Kawan aku telah berumah tangga dan dikurniakan dua orang anak, seorang putera dan seorang puteri. Masalah bermula apabila si wanita jelita itu memperolehi nombor telefon kawan aku daripada seorang kawan yang lain. Maka setiap hari dia menghubungi kawan aku untuk meluahkan perasaan - betapa sunyinya kehidupan wanita muda yang ditinggalkan suami. Dia bagaikan terkapai-kapai di lautan lepas dipukul gelombang nafsu yang ganas. Serba salah kawan aku dibuatnya. Dia risau kalau isterinya mengetahuinya.

Pada masa yang sama dia juga kesian kepada wanita itu. Maklumlah orang pernah bercinta dan berkasih kalau tidak ada perasaan kasihan antara satu sama lain bukan orang namanya. Maka tanpa sedar perhubungan mereka menjadi lebih rapat. Mereka keluar makan bersama sambil bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Kisah lama yang pernah dilalui bersama diimbau kembali. Segala janji yang tidak terkota diceritakan semula. Dan detik itu, detik hari ini dalam sejarah diulangi lagi di tepi pantai yang indah sebagaimana sewaktu mereka berpadu cinta dahulu.

Telefon kawan aku berdering. Isterinya menjawab. Wanita muda itu terus memanggil 'darling' dan disertai dengan kata-kata rindu kerana dia ingat yang mendengar itu kekasihnya. Kawan aku yang keluar dari bilik air terkejut dan tercengang melihat isterinya sedang berbual dengan kekasihnya. Akibatnya berlakulah perang besar.

Untuk pendekkan cerita, isteri tersayang memberi kata dua kepada kawan aku: "Aku atau si dia?"

Kata dua yang sukar dipilih. Kalau diikutkan hati, mahu memilih kedua-duanya, tetapi tidak mungkin. Isterinya tidak mahu bermadu. Bercerai? Ini pun bukan pilihan yang baik kerana dia dan isterinya ada pertalian saudara. Hubungan keluarganya dan keluarga isterinya bagai isi dengan kuku. Perceraian bermakna melukakan hati mereka.

Ah, lepaskan sahaja kekasih pembawa masalah itu! Bukan mudah juga kerana cintanya telah menjerlus begitu mendalam - siang dan malam asyik terkenangkan wanita itu. Lagipun wanita ibu tunggal itu seperti bertekad. Kalau orang boleh merampas suaminya, kenapa dia tidak boleh merampas suami orang.

Kenapa aku menyibuk dengan hal orang? Bukan aku menyibuk, jangan anda salah faham. Isteri kawan aku itu sahabat aku juga. Aku lebih dahulu mengenali perempuan itu sewaktu bengkel penulisan. Kami selalu bersembang tentang hasil penulisan. Oleh itu, aku dijadikan tempat meluahkan perasaan oleh dua orang sahabat - suami dan isteri. Aku kebuntuan kerana terpaksa menjaga dua keping hati yang aku rasa akan hancur luluh. Si suami tetap berdegil mahu meneruskan percintaan terlarangnya. Manakala si isteri bermati-matian tidak rela berkongsi suami. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.

Setelah keadaan semakin parah, aku menasihatkan mereka (sebenarnya memaksa) agar pergi berjumpa dengan pakar kaunseling rumah tangga. Mereka bersetuju. Masalah yang berat kelihatan sedikit ringan, tidak bergelora seperti sebelumnya. Sampai bila? Aku tidak mampu memberikan jawapan kerana aku tahu cinta pertama sukar dilupakan!

Kalau anda jadi kawan aku, apakah pilihan anda?

Sunday, July 19, 2009

Cinta Di Penghujung Usia

Semua orang ada sebab tersendiri apabila melakukan sesuatu. Perkara baik, tidak baik, jahat, atau tidak jahat pasti ada sebab dilakukan. Jangan kata orang waras akal seperti aku dan anda, bahkan orang yang tidak waras akal, orang gila atau sewel juga ada sebab apabila melakukan sesuatu perkara.

Adakah sesiapa yang melakukan sesuatu perkara tanpa sebab? Kalau ada tolong beritahu agar hipotesis aku dapat ditolak dan dilupuskan.

Bukan sahaja melakukan sesuatu perkara itu bersebab, bahkan untuk tidak melakukan sesuatu juga ada sebabnya. Pelajar sekolah misalnya, tidak membuat kerja rumah juga ada sebabnya. Dahulu aku tergolong dalam pelajar yang malas menyiapkan kerja rumah kerana aku ada sebab untuk tidak menyiapkannya. Walaupun sebab itu tidak perlu aku beritahu orang lain waima ibu aku, namun aku tetap ada sebab tersendiri yang hanya aku yang tahu. Pendek kata, semua perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan manusia pasti ada sebabnya.

Hukum perlakuan manusia dengan tindakannya adalah hukum alam yang tidak boleh diubah-ubah. Hukum kemalasan aku menulis blog sejak kebelakangan ini juga tidak bisa diubah. Walaupun aku tahu ada pembaca blog yang menanti kemunculan tulisan baru aku, tetapi aku tetap malas menulis dalam blog ini. Bukan aku kekeringan idea, kemarau ilham, tetapi aku ada sebab tersendiri untuk tidak menulis. Dan aku tidak perlu memberitahu sebabnya kerana ia tidak membantu apa-apa.

Hari ini - lebih tepat malam yang semakin larut - sewaktu mendengar lagu sentimental kegemaranku dari Channel Music, terdetik di hati keinginan memasuki Cerita Kaki Lima yang telah lama aku sepikan. Jauh di sudut hati, tidak rela aku membiarkan ia sepi terlalu lama, tetapi lumrah manusia kekadang bercanggah dengan realiti.

Dari DJ yang bersuara manis, aku terdengar soalan dilontarkan: "Betulkah cinta menjadi luntur apabila usia meningkat?"

Aku terpegun dengan soalan itu. Mungkin betul dalam kategori tertentu, dan mungkin tidak dalam kategori biasa. Kategori tertentu itu kategori yang bagaimana? Inilah yang akan kukisahkan daripada cerita pendengar Channel Music itu. Luahan perasaan seorang wanita berusia 46 tahun yang dipancung cintanya oleh suami setelah hidup bersama selama 24 tahun.

Dia kakitangan kerajaan dan suaminya kakitangan swasta berusia 50 tahun. Dia diceraikan kerana suaminya mahu berkahwin baru. Alasan suaminya ialah dia telah tua sedangkan suaminya masih muda. Ini ada kaitan dengan cerita atas ranjang. Walaupun dia mampu melayan suaminya seperti biasa, tetapi suaminya seperti menolak dan ingin menggantikannya dengan pasangan yang lebih muda. Dia berusia 46 tahun dikatakan tua oleh suami, sedangkan suami yang berumur 50 tahun masih perasan dirinya "muda". Dia rela bermadu, tetapi suaminya menolak kerana tidak mahu beristeri dua. Jenis tidak sanggup makan pucuk tua dan pucuk muda sekali gus. Itulah yang tidak difahaminya. Hatinya remuk redam diperlakukan begitu. Malu kepada anak-anak, saudara mara dan jiran tetangga. Lazimnya, keadaan begini berlaku apabila si isteri hampir monapouse.

Memang di muka bumi ini terdapat lelaki jenis itu - lebih mementingkan nafsu serakah daripada ikatan kasih sayang.

Maka dengan sedih hati dia membangkitkan satu soalan iaitu adakah cinta lelaki itu hanya wujud dalam nafsu berahi? Apabila nafsu berahinya lupus daripada seseorang, waima isteri yang berkongsi pahit manis selama lebih 20 tahun, maka cintanya juga turut hilang? Aku mengeluh berat. Cinta dan nafsu selalu menyebabkan manusia keliru. Cinta lelaki dan perempuan selalu hadir bersama hawa nafsu. Aku sukar membayangkan cinta seorang lelaki kepada kekasihnya, atau cinta seorang wanita kepada pasangannya datang tanpa secebis nafsu berahi. Malah kekadang, cinta muncul dari celah-celah nafsu. Maksud aku, nafsu datang mendahului cinta.

Adakah apabila selera nafsu hilang, keindahan cinta juga hilang? Dalam kategori biasa, pastilah tidak. Tetapi dalam kategori khas, seperti luahan pendengar Channel Music di atas, mungkin ya. Suaminya menceraikan dia kerana desakan perasaan yang ingin mengahwini perempuan yang lebih muda. Barangkali lelaki ini tidak mengerti maksud cinta, atau dia langsung tidak pernah ada cinta dalam jiwanya, selain cinta nafsu-nafsi.

Dan yang peliknya, pasangan yang bercerai ketika usia lanjut bukan sedikit jumlahnya. Kebanyakannya memberi alasan "tidak sehaluan" biarpun hakikatnya kerana suami ingin berkahwin lain dan isteri pula tidak rela bermadu. Inilah akibatnya apabila cinta dipimpin oleh hawa nafsu. Sikap bertolak ansur, atau berkorban demi pasangan yang hidup bersama sekian lama langsung tiada.

Cinta dan nafsu sukar dipisahkan. Kadang-kadang kerana nafsu yang tidak terkawal, cinta musnah di tengah jalan. Dan jagalah cinta di penghujung usia dengan baik kerana apabila termusnah sukar untuk dicari ganti. Bertolak ansur dan berkorban amat diperlukan, terutama untuk si isteri yang secara biologinya lebih cepat tua daripada lelaki. Hakikatnya, manusia secara biologi mengalami proses penuaan setiap hari, tetapi cinta abadi senantiasa muda seandainya disirami kasih sayang saban waktu.

Nafsu serakah tidak perlu dilayan sehingga ke penghujung usia.

Sunday, June 28, 2009

Pancung Cinta

Seorang lelaki berkata:

Perempuan sukar difahami,

sukar daripada segala-galanya,

wajah ceria, hati entah hitam atau putih,

semalam mengaku cinta, hari ini lupa.


Seorang wanita berkata:

Lelaki sukar dipercayai,

sukar daripada segala-galanya,

mengaku bujang, padahal suami orang,

mulut manis memperdaya,

pandai bermain kata-kata,

niatnya menghirup madu cinta.


Aku berkata:

Lelaki dan wanita dua kali lima. Cinta kedua-duanya umpama pedang yang sebelahnya tajam dan sebelah lagi tumpul. Terpulang belah mana yang mahu digunakannya. Kalau belah tumpul digunakan, lukanya tidak ada, melainkan lebam kebiru-biruan. Tetapi kalau belah tajam digunakan, maka lukanya merobek ke tulang.

Anda pernah melihat cinta dipancung? Atau anda pernah memancung cinta, atau cinta anda pernah dipancung?

Oh, dahsyat sekali! Dalam keadaan tertentu cinta harus dipancung untuk menyelamatkan nyawa. Nyawa siapa? Nyawa orang yang dicintai atau barangkali nyawa orang yang mencintai. Atau mungkin nyawa kedua-duanya; orang yang mencintai dan dicintai. Tiada siapa yang memancung cinta tanpa sebab.

Adakala cinta dipancung kerana cinta. Cinta kepada suami atau isteri orang misalnya, harus dipancung demi cinta yang lebih murni. Cinta kepada orang yang tidak direstui ibu bapa juga mesti dipancung untuk memelihara cinta orang yang melahirkan dan membesarkan kita. Cinta nafsu juga wajib dipancung untuk meraih cinta suci.

Namun, jangan pula memancung cinta semata-mata kerana terpikat dengan cinta baru. Cinta tiga segi selalu menyebabkan cinta dipancung. Silap pancung, diri sendiri teraniaya. Cinta bermadu seringkali mendorong individu memancung cinta abadi. Cinta bermadu ini biasanya menyembunyikan racun di dalamnya. Sebab itulah ia mudah menyebabkan individu terlena kerana manisnya yang memabukkan.

Oleh itu, apabila anda mahu memancung cinta, berfikirlah beberapa kali agar tidak tersilap pancung. Dan seandainya anda terpaksa memancung cinta - demi kebaikan orang yang dicintai - pancunglah walaupun dengan deraian air mata kerana itu tandanya anda bukan manusia yang mementingkan diri!

Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa!

"Siapa lebih penting antara bapa dan ibu?"

"Siapakah yang lebih anda sayang, bapa atau ibu?"

"Kalau terpaksa memilih, anda suka tinggal dengan bapa atau ibu?"

Pertanyaan seperti di atas mungkin pernah kita dengar masa alam persekolahan dahulu. Tetapi sukar sekali untuk menjawabnya. Walaupun barangkali ramai yang cenderung memilih untuk tinggal dengan ibu, namun ini tidak membuktikan bahawa ibu lebih penting daripada bapa.

Sambutan Hari Bapa tidak semeriah Hari Ibu. Bukan kerana bapa tidak sepenting ibu. Bapa dan ibu sama penting. Walaupun istilah ibu lebih popular seperti ibu pertiwi, ibu negara, ibu gula, ibu tangga, ibu kunci, dan lain-lain, namun peranan bapa sama hebat dengan peranan ibu dalam membesar dan mendidik anak-anak. Malahan tanpa "kerjasama" bapa, mustahil anak dapat dilahirkan.

Manusia tidak seperti haiwan lain. Manusia memerlukan penjagaan ibu dan bapa. Binatang hanya dibesarkan oleh ibu sahaja, kecuali spesis tertentu. Manusia pun boleh dibesarkan oleh ibu atau bapa sahaja tetapi pembesarannya dari segi psikologi dikatakan tidak lengkap. Anak-anak memerlukan kasih sayang kedua-dua ibu bapanya.

Pakar kanak-kanak mengatakan anak-anak yang membesar tanpa bapa cenderung menjadi anak nakal. Entahlah, aku tengok beberapa orang kawan aku yang dipelihara oleh ibu tanpa bapa tetapi menjadi anak-anak yang baik dan soleh. Manakala ramai yang dibesarkan oleh ibu bapa berperangi seperti syaitan. Bukan tujuan aku mempertikaikan pendapat pakar, tetapi bukan semua pendapat mereka aku setuju. Aku lebih yakin bahawa cara pengasuhan yang menentukan sikap anak-anak. Pengasuhan yang baik oleh ibu atau bapa yang baik akan membentuk psikologi dan sahsiah yang baik ke atas diri anak-anak. Persekitaran, terutamanya pergaulan amat mempengaruhi sikap kanak-kanak. Aku tidak menafikannya. Namun, kanak-kanak yang diberikan "kekuatan mental" yang mencukupi, sukar dipengaruhi oleh persekitaran.

Walau bagaimanapun, tiada siapa yang dapat menafikan pengorbanan bapa dalam membesarkan anak-anak. Oleh itu, selaku anak-anak, kita mesti sedar dan insaf akan peranan dan pengorbanan bapa yang rela berkorban nyawa untuk kita. Bapa ialah pemimpin keluarga, sumber rezeki, melindungi keluarga daripada ancaman dan sebagainya. Keimanan, sikap dan tanggungjawab bapa menentukan masa depan seisi keluarga.

Siapalah anak-anak tanpa bapa. Seburuk mana bapa, tetapi bagi anak-anaknya, bapa tetap manusia mulia. Oleh itu, hati bapa mesti dijaga. Seburuk mana bapa, dia tetap bapa kita. Tidak ada faedahnya, misalnya kita meratap di kuburnya, bersedu-sedan, dan mengalirkan air mata bak sungai, sedangkan masa hidupnya kita abaikan dia.

Malahan aku pernah melihat ada anak yang "begitu baik" dengan bapanya setelah bapanya jatuh sakit. Dia bertanya bapanya mahu makan apa. Dia rela membelikan apa-apa sahaja makanan kepada bapanya, sedangkan bapanya ketika itu tidak mampu menelan apa-apa lagi. Bapanya hanya menggeleng kerana itu yang mampu dilakukannya. Masa bapanya sihat, sepatah haram tidak pernah keluar dari mulut si anak: "Bapa mahu makan apa?" Abila bapa sakit dan mulut pun tidak bisa ternganga, makanan dari satu dunia mahu disuapkan ke mulut bapanya.

Hari ini kita menjadi anak (anak lelaki) hari esok kita akan menjadi bapa. Hari ini, andainya kita melukakan hati bapa kita, hari esok kita akan merasa pedihnya apabila anak-anak pula melukakan hati kita. Hukum karma ada menjelaskan, kita akan mendapat hasil daripada apa yang kita lakukan. Kalau kita mengabaikan bapa (juga ibu), anak-anak kita juga akan mengabaikan kita. Oleh itu, selaku anak-anak, jagalah bapa dengan baik.

Orang tua memang ada sedikit kerenah yang kurang menyenangkan, tetapi dia tetap orang tua kita. Membuang bapa ke pusat jagaan orang-orang tua bukan budaya kita, tetapi itulah amalan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan. Aku selalu juga melawat pusat jagaan orang-orang tua. Aku begitu tersentuh hati melihat mereka saban hari menanti kedatangan anak-anak, tetapi sehingga akhir hayat penantian itu tidak pernah termakbul. Aku tidak mengerti manusia jenis apa yang sampai hati melupakan ibu bapa mereka.

Hubungan ibu bapa dan anak-anak memerlukan hubungan dua hala. Tidak boleh mengharapkan anak-anak sahaja melayan ibu bapa dengan baik, sebaliknya ibu bapa melayan anak-anak seperti anak kucing. Sekiranya kita jadi ibu bapa, kita juga mesti tahu akan tanggungjawab kita.
Jangan jadi bapa haruan yang makan anak sendiri. Jangan jadi ibu kura-kura yang selepas menelur terus berenang ke laut dan membiarkan anak-anak menetas dan membesar sendiri.

Bapa memainkan peranan penting dalam membesar dan mendidik anak-anaknya. Oleh itu, wajarlah jasa bapa dikenang dan diraikan setahun sekali sebagai memenuhi tuntutan universal. Tetapi tuntutan budaya dan agama kita, jasa bapa atau ibu mesti diraikan setiap hari, setiap jam, setiap saat dan setiap detik nafas!