Friday, March 26, 2010

Jangan Hanya Tahu Buat Bising!

Suara yang kuat menjerit belum tentu otak juga kuat berfikir.

Aku tidak bermaksud menuding guru kelas aku dahulu yang suka sangat menjerit-jerit. Pantang murid tertoleh ke jalan raya lewat jendela berdebu, walaupun sekelip mata, dia akan menjerit sehingga bergegar bumbung sekolah. Masakan murid tidak tertoleh ke jalan raya kerana sekolah aku terletak di laluan utama beras seludup dari Siam. Jalan Pengkalan Kubur - Kota Bharu amat terkenal dengan laluan seludup beras Siam. Bukan beras Siam yang jadi tumpuan kami, tetapi gelagat pemandu lori atau kereta beras seludup yang dikejar polis sekali-sekala, seperti adegan dalam TV.

Aku juga tidak bermaksud menuding kaum ibu yang selalu menjerit-jerit kepada anak kecilnya yang nakal. Ibu aku sendiri juga gemar menjerit-jerit. Malahan, jeritannya begitu mujarab mendisiplinkan anak-anak. Aku tak dapat bayangkan betapa ibu yang selalu menjerit-jerit sebenarnya melimpah dengan kasih sayang.

Bahkan aku tidak bermaksud menuding penjaga lembu di belakang kampung aku yang sering menempik lembu-lembunya. Degil sekali barangkali lembu-lembu tersebut sehingga memaksa tuannya menengking setiap hari.

Dan aku tidak bermaksud menuding mana-mana majikan yang mempunyai tabiat memandang bodoh orang gaji sendiri lalu dia akan memekik-mekik apabila berlaku sedikit kesilapan. Bagi mereka, orang bodoh memang patut dijerit-jerit agar bodohnya hilang.

Orang bilang, satu kepuasan apabila kita dapat menjerit kepada orang lain. Mungkin inilah puncanya kebanyakan orang yang bergelar tuan suka menjerit kepada hambanya; majikan kepada pekerja; orang besar kepada orang kecil; orang berpangkat tinggi kepada orang berpangkat kecil; ibu bapa kepada anak-anak; suami kepada isteri (atau isteri kepada suami) dan guru kepada murid. Seronoknya dapat menjerit kepada orang lain.

Bagaimana kalau orang menjerit kepada kita? Kalau orang itu "lebih besar" daripada kita, mungkin dapat kita terima kerana lumrah dunia orang kecil ibarat "tong sampah" tempat orang besar meludahkan perasaan. Bagaimana jikalau orang yang menjerit kepada kita adalah orang kecil? Atau orang yang berpangkat lebih rendah daripada kita?

Perkara begini sering terjadi apabila terdapat pekerja berpangkat biasa tetapi hubungannya dengan bos begitu intim. Dalam kata lain, bos memberi muka kepada dia. Entah seintim mana hubungan mereka, bukan urusan kita. Namun, dia sering menunjukkan kuasanya kepada rakan-rakan lain dengan meninggikan suara, menjerit atau memekik sesuka hati. Sikit-sikit menjerit-jerit. Meluat orang lain dibuatnya. Kalau ikutkan hati mahu digocoh-gocoh mukanya. Tetapi masakan boleh dilakukan begitu kerana dia sangat intim dengan bos. Bermusuh dengan dia bererti bermusuh dengan bos juga. Selagi boleh tahan, tahanlah. Jikalau tak boleh tahan, belah sajalah. Walaupun tak ramai pekerja biasa bernasib 'sebaik' ini, tetapi kehadirannya bisa memuntahdarahkan ramai orang.

Akhir kata, jadilah manusia yang tidak menjerit-jerit kepada orang lain, sama ada orang itu besar atau kecil, tua atau muda. Tidak baik berperangai seperti itu. Manusia dicipta bukan untuk dijerit-jerit.

Menjerit-jerit hanya membuat bising, membingitkan telinga dan membuakkan darah kemarahan. Tidak ada hasil kerja yang dapat diselesaikan dengan menjerit-jerit. Jerit pekik nilainya sama dengan kosong.

Di tempat kerja aku, terdapat 3 bos yang suka menjerit-jerit, termasuk menjerit sesama mereka. Maklumlah 3 bos ini berpangkat sama besar, sama tinggi dan sama bodoh. Mereka ingat mereka bijak, padahal sebenarnya bodoh - jenis bodoh tak boleh diajar. Akibatnya tiada seorang pekerja pun yang menghormati mereka. Di luar mengangguk, tetapi di dalam minta mereka cepat-cepat mati.

Anda tentu tak mahu orang di sekeliling anda mendoakan kematian anda!

Wednesday, March 24, 2010

Antara Cinta Dan Keluarga

Cinta dan keluarga yang mana lebih penting?

Kenapa tiba-tiba saja saya melontarkan soalan ini? Kerana ada orang yang membuang cinta kerana keluarga dan ada juga orang yang membuang keluarga kerana cinta.

Orang yang cintanya sesuci embun, tetapi terhalang oleh keluarga sanggup membuang cinta tersebut biarpun sakit kerana sayangnya kepada keluarga melebihi nilai cintanya. Manakala orang yang mengagungkan cinta pula rela membuang keluarga kerana keagungan cintanya mengatasi keagungan cinta Romeo dan Juliet.

Orang pertama yang membuang cinta kerana keluarga dipandang mulia kerana tidak rela menyakiti hati keluarga yang disayangi. Manakala orang kedua yang membuang keluarga dilabel anak derhaka kerana menukarkan cinta dengan kasig sayang keluarga.

Namun, cinta itu sesuatu yang halus, indah dan sukar difahami. Perikatan keluarga pula sukar diputuskan. Apabila terdesak, tidak kurang yang memilih bersekedudukan tanpa pengetahuan keluarga, kononnya inilah jalan keluar yang paling baik. Aduhai, tiada pilihan lain lagikah? Cinta suci tak patut dilumuri dosa-dosa.

Dan yang paling teruk lagi apabila ada yang memilih untuk terjun sungai, menjerat leher sendiri atau meneguk racun rumpai. Ini bukan jalan keluar, tetapi jalan jahanam. Tetapi apabila terdesak, dunia seperti akan menyerkup bumi, individu akan memilih untuk "tidur" selamanya dengan harapan apabila bangun semula semua masalah telah selesai. Hakikatnya, tidak semudah itu. Masalah umpama bebayang yang akan mengekori kita ke alam mana jua.

Akhir-akhir ini ramai pasangan bercinta yang memilih mana-mana satu daripada 4 jalan di atas walaupun jalan lain masih ada. Jalan lain itu jalan mana? Cari penasihat. Ya. Carilah kaunselor cinta, pakar motivasi, pakar agama atau apa-apa yang dapat membantu keluarkan kita daripada kekusutan cinta. Betapa hebatnya cinta pasti ada kurangnya. Betapa kerasnya keluarga pasti ada lembutnya. Cinta tak boleh bernafas seenaknya tanpa restu keluarga. Keluarga akan sepi tanpa kasih sayang sejati. Kasih sayang sejati pastinya tiada dalam paksaan, termasuk paksaan dalam bercinta.

Cinta suci dan keluarga mesti diupayakan agar tidak terbuang mana-mana satu kerana kedua-duanya amat bernilai.

Cinta kepada pasangan dan kasih sayang keluarga mesti hidup dan subur beriringan. Sekiranya kedua-duanya dipisahkan, manusia tiada banyak pilihan untuk menikmati hidup yang bahagia!

Tuesday, February 23, 2010

Benda Baru Susah Dibuka

Benda baru dapat memberi pelajaran dan pengajaran baru kepada kita. Hari itu ketika bersiar-siar di pusat beli-belah sekitar KL, aku entah kenapa terpandang hand phone Nokia N85 di dalam sebuah kedai lalu terpikat. Seperti lazim, tanpa banyak bicara aku pun beli 1 set. Kebetulan hp lama aku tak berapa elok. Sejak jadi katak, melompat ke tanah beberapa kali, asyik meragam. Jadi, tukar baru adalah keputusan paling tepat.

Selepas balik ke rumah, aku berasa gatal tangan hendak buka hp tengok isi perutnya. Fungsinya yang pelbagai pasti mempunyai isi perut yang pelbagai juga. Malangnya, bukan senang hendak dibuka. aku cuba beberapa kali tetapi tak boleh buka - ia seperti malu-malu tak mahu dibuka. Benda baru bukan senang dibuka. Puas dicuba, hampir putus asa aku dibuatnya barulah berjaya dibuka. Bukan susah dibuka, tetapi aku buka tak ikut cara yang betul. Kali kedua, mudahnya. Sekali klik sudah terbuka.

Adakah semua benda, kali pertama susah dibuka? Maklumlah benda baru dengan orang yang tak berapa pandai seperti aku?

Tuesday, February 2, 2010

Fesyen Seram 18sx

Tulisan kali ini terkeluar tajuk sedikit. Kalau karangan pasti gagal. Biarlah gagal sekali-sekala, lebih baik daripada tidak mencuba langsung. Dengan izin, minta memecahkan klise posting sebagai selingan sempena Februari yang penuh makna; Hari Wilayah Persekutuan yang diraikan dengan meriah.

Apakah perasaan anda jikalau fesyen ini melintas di depan anda? Aku tanya kepada yang lelaki, yang wanita tunggu dulu. Telan liur? Berdehem? Berpeluh? Mengucap panjang atau menyumpah seranah?

Kepada wanita, beranikah anda memakainya?

Fesyen ini hangat di Jepun dan sedang menular ke Amerika Syarikat. Jangan tersentak jikalau fesyen seram ini berjangkit ke negara kita. Maklumlah rakyat kita termasuk spesis yang lemah anti bodi dan mudah dijangkiti penyakit begini.

Namun, anda jangan terkeliru. Ini hanya fesyen. Tiada wanita bermaruah yang sudi menayangkan "benda dalam" kepada orang lain di khalayak ramai. Ini hanyalah skirt biasa yang dilukis gambar seram di atasnya untuk kelihatan 18sx. Hakikatnya sekadar campuran warna di permukaan kain.

Wednesday, January 20, 2010

Yang Pertama Dan Yang Terakhir













Banyak orang berpendapat bahawa pasangan kekasih atau suami isteri tidak seharusnya membina tabir rahsia antara mereka. Mereka sepatutnya berterus terang dan tidak mempunyai rahsia antara satu sama lain. Setujukah anda dengan pendapat ini?

Saya tak setuju. Pada saya, tidak semua rahsia bisa didedahkan untuk dikongsi bersama pasangan yang kita cintai, terutamanya rahsia masa silam yang kita sendiri mahu melupakannya.

Misalnya, kisah cinta silam kita dan hubungan intim kita dengannya tidak molek diceritakan kepada pasangan baru kita. Bukan semua orang boleh terima hakikat. Apa yang kita ceritakan bagi kita perkara biasa, tetapi bagi dia mungkin sebaliknya. Mungkin perkara itu akan menghantui fikirannya.

"Siapa dia sebelum daku" merupakan pertanyaan yang selalu bermain di fikiran kebanyakan lelaki. Orang lelaki mahu jadi "orang pertama" dalam hidup perempuan yang dicintainya. Manakala orang perempuan pula mahu jadi "orang terakhir" dalam hidup lelaki yang dikasihinya. Namun, kemahuan keturunan Adam dan Hawa ini sering tidak tercapai. Lelaki tidak selalunya jadi "orang pertama" dan perempuan tidak selalu jadi "orang terakhir".

Bahkan perkara yang terjadi dalam hayat kehidupan kita dan dia juga tidak semua bisa dikongsi. Jikalau pasangan kita jenis kuat cemburu, tidak berapa elok kita cerita kepada dia bahawa kita keluar makan berdua-duaan dengan kawan sepejabat yang berlainan jantina. Walaupun kita tak ada apa, tapi dia tak mampu membaca hati kita. Orang kuat cemburu hanya tahu berfikir dalam kepompong cemburu sahaja. Berfikiran realistik usah dicari pada dia.

Bukan kita tak jujur kerana ingin berahsia-rahsia dengan pasangan hidup. Tetapi demi kebahagiaan dan keamanan hubungan, perkara-perkara yang patut jadi rahsia harus dirahsiakan. Rasionalnya setiap manusia mempunyai rahsia tersendiri yang tidak mahu dan tidak boleh dikongsi dengan sesiapa termasuk orang yang hangat dalam pelukan kita saban malam. Dan kita sendiri juga tidak sepatutnya melangkaui "sempadan rahsia" pasangan kita kerana dia juga ada hak untuk tidak mendedahkan semua sudut kehidupannya kepada kita.