Sunday, July 25, 2010

Ada Mata Lihat, Ada Telinga Dengar, Ada Mulut Diam!


KUCHING: Sikap tidak ambil peduli masyarakat, khususnya kalangan remaja yang menolak ajaran agama serta budaya masyarakat tempatan adalah antara faktor mendorong golongan itu melakukan maksiat dan kelahiran anak luar nikah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata sindrom negatif itu menyebabkan secara puratanya, seorang bayi luar nikah dilahirkan pada setiap 17 minit di negara ini.


Sambil menyifatkan perkembangan itu amat membimbangkan, Mashitah menegaskan, permasalahan itu menuntut semua pihak terutama ibu bapa, bekerjasama dan tidak menyerahkan tugas mendidik itu semata-mata kepada guru. “Jumlah 250,000 anak luar nikah yang tidak didaftarkan hasil statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jika kita pecahkan kepada purata bulanan, angkanya adalah 80,000 yang bersamaan dengan seorang bayi untuk setiap 17 minit (Berita Harian)

...................................................................................................................................................................


Jikalau seorang bayi luar nikah dilahirkan bagi setiap 17 minit, berapa pula jumlah pasangan luar nikah yang melakukan persetubuhan bagi setiap minit? Pening kepala memikirkannya. Ibu bapa yang mempunyai anak gadis memang bersebab untuk berasa bimbang setiap kali anak mereka keluar rumah. Entah apa yang dilakukan bersama rakan-rakan di luar. Jangan-jangan apabila pulang ke rumah membawa bersama benih anak luar nikah. Ibu bapa tidak lena tidur dibuatnya.


Kerana tiada pilihan lain, terdapat ibu bapa yang mengawal ketat pergerakan anak gadis mereka. Ini perkara yang baik. Pergerakan anak wajib diambil tahu dan dipantau agar pergerakan mereka tidak terkeluar dari batasan yang dibenarkan. Keluar dengan siapa, lelaki atau perempuan, berduaan atau berkumpulan, hendak ke mana, pergi buat apa dan pukul berapa balik harus diambil tahu. Ibu bapa juga tidak harus membenarkan anak gadis keluar pada waktu malam. Waktu malam syaitan gatal keluar berkeliaran, berbahaya kepada anak gadis.


Namun, kata orang hendak berbuat jahat tidak perlu menunggu malam. Siang pun boleh buat. Hendak berbuat tidak baik tidak payah keluar rumah, dalam rumah juga boleh dilakukannya. Sebagimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar beberapa bulan lepas, seorang gadis tidur dengan teman lelaki setiap malam di rumahnya tanpa disedari ibu bapanya. Teman lelakinya masuk melalui jendela pada awal malam dan balik menjelang pagi. Jadi, bukan mudah hendak mengawal anak-anak daripada melakukan kejahatan. Pakaikan cawat besi tentulah tidak praktikal kerana sekarang zaman IT. Cawat besi pun akan terkopak apabila hati sudah tidak tertahan.


Namun, jikalau kawalannya terlalu ketat, rimas anak-anak dibuatnya. Masakan tidaknya, setiap kali hendak keluar rumah, disoal oleh ibu bapa bagai penjenayah disiasat polis. Bukan setakat pertanyaan biasa, soalan remeh-temeh pun diajukan. Tercungap-cungap anak menjawabnya. Setelah kesemua soalan dijawab, disusuli pula dengan berpuluh-puluh pesanan, larangan dan nasihat sehingga sakit telinga. hampir pitam anak gadis dikerjakan ibu bapa setiap kali hendak keluar berjumpa kawan.


Bagaimana dengan anak gadis yang tinggal di asrama? Inilah persoalan yang memberatkan hati ibu bapa. Siapa yang mengawal pergerakan mereka? Pak Guard kerjanya mengawal keselamatan penghuni. Soal mencari keseronokan batin di luar bidang kuasa beliau. Sebab itulah agaknya terdapat penghuni asrama bergaul bebas tanpa batasan jantina, waktu dan tempat.


Misalnya, sebuah asrama sebuah kolej yang terletak di taman perumahan di Cheras, KL tidak pernah ada pengawal. Asrama tersebut terletak di tingkat atas rumah kedai. Penghuninya yang terdiri daripada gadis belasan tahun bebas pergi ke mana-mana pada waktu malam. Pada malam minggu mereka duduk berpasangan di kaki lima asrama, berpelukan dan bercium-ciuman. Ini bukan laporan dari sebuah akhbar, tetapi daripada mata kepala saya sendiri. Lazimnya saya pergi minum malam di sebuah Kopitiam bersebelahan dengan bangunan asrama itu dan akan terlihat aksi-aksi yang tidak sopan begitu. Perasaan malu langsung tiada. Hendak malu apa kerana kita tidak kenal mereka dan mereka tidak kenal kita. Terfikir juga ingin menegur, tetapi takut dikatakan menjaga tepi paha anak gadis orang.


Mempunyai anak gadis umpama membina tandas di depan rumah. Ini bukan saya yang kata, tetapi tertulis di dalam sebuah buku novel Sasterawan Negara. Ada benarnya, tetapi bukanlah semua. Ramai anak gadis yang baik-baik. Namun, pergaulan bebas sehingga melahirkan anak luar nikah umpama nila setitik, rosak susu sebelanga. Akibatnya, anak gadis yang baik-baik juga turut dipandang serong.


Isu persetubuhan dan anak luar nikah ini bukan sahaja membimbangkan ibu bapa yang mempunyai anak gadis. Ibu bapa yang mempunyai anak jantan juga risau. Semua ibu bapa menyimpan impian mempunyai menantu yang bermoral tinggi. Apabila sudah melahirkan anak luar nikah, sukarlah hendak dikatakan bermoral tinggi. Perihal kelapa ditebuk tupai dan bohsia menyebabkan ibu bapa berpesan kepasa anak jantan mereka agar berhati-hari mencari pasangan. Jodoh di tangan Tuhan, tetapi mata sendiri harus celik. Jangan sampai terpilih "mangkuk kosong" bekas makanan orang.


Kini isu "ibu muda" tanpa surat nikah pula menyusul. Bukanlah penting sangat pasal perawan atau tidak, tetapi persolan moral dan maruah tidak boleh dipandang enteng. Ramai keluarga yang mementingkan moral, maruah dan harga diri. Masyarakat juga memandang rendah dan hina terhadap gadis yang melahirkan anak luar nikah.


Jangan main ikut sedap sahaja. Sedapnya cuma sekejap, tetapi kesan buruknya membayangi kehidupan seumur hidup. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian sesen pun tidak laku. Bukan setakat ibunya mendapat malu, anak yang dilahirkan akan turut mendapat malu apabila dia besar dan tahu bahawa dia anak luar nikah.


Akan tetapi, mempersalahkan golongan Hawa semata-mata tidak adil. Golongan Adam juga harus dipertanggungjawabkan. Anak gadis tidak akan hamil seandainya tidak mendapat kerjasama daripada manusia yang bernama lelaki. Sekiranya remaja perempuan sahaja ditekankan perihal pendidikan agama, moral, maruah dan harga diri, sedangkan remaja lelaki masih dengan sikap liarnya, suka menggoda gadis dan hidup bertuhankan nafsu serakah, masyarakat tetap pincang. Gejala pergaulan bebas, persetubuhan haram, seks berkumpulan, rogol dan anak luar nikah mustahil dibendung. Ibu bapa yang mempunyai anak lelaki juga mesti memainkan peranan mendidik anak lelaki mereka. Mereka mesti diajarkan bertanggungjawab ke atas kesemua perbuatan mereka. Main lepas tangan selepas kenyang bukan anak jantan namanya.


Isu pergaulan bebas dan anak luar nikah harus ditangani dengan bijak oleh semua pihak. Masyarakat wajib jadi "mata" kepada ibu bapa. Ibu bapa pula harus berfikiran terbuka dan matang. Mereka tidak boleh menuduh orang lain menjaga tepi kain mereka apabila anak-anak mereka ditegur. Sikap menyebelahi anak sendiri hanya merugikan diri sendiri. Namun, sikap inilah yang menghalang masyarakat memainkan peranan sewajarnya. Oleh itu, ramai yang mengambil sikap berkecuali - ada mata lihat, ada telinga dengar dan ada mulut diam.




Wednesday, July 14, 2010

Jangan Membudayakan Seks Bebas!

Petang tadi, jalan Duta sesak gila. Maklumlah KL apabila hujan, kesesakan lalu lintas tak usah diharapkan tidak akan berlaku. Sambil mengharung kesesakan, pasang radio. Entah macam mana, jodoh barang kali, diketemukan dengan radio Bernama. Kebetulan isu semasa yang meletup-letup sedang diperbincangkan. Seronok juga mendengarnya. Ada pro dan kontra. Biasalah, semua benda di dunia ini ada pro dan kontranya.

Isu apa? Isu pusat penjagaan bayi yang kelahirannya tidak diundang. Ibu bapanya belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa. Maklumlah proses pembikinannya cuma untuk seronok-seronok. Sekadar melayani nafsu yang tidak terbendungkan. Siapa sangka dalam seronok-seronok itu, benihnya menjadi. Tanahnya subur. Maka tercambah juga zuriat yang tidak diingini. Apabila sudah berisi, ke mana mahu membawa diri?

Ah, biarkan sahaja kelahirannya! Selepas itu, dibuang saja. Lantas hampir saban minggu berita pembuangan bayi menghiasi dada akhbar. Betapa mudahnya pasangan muda membuat suatu keputusan yang besar.

Tetapi itulah hakikat ramaja kita hari ini. Mereka tidak mampu berfikir lebih mendalam - selain keseronokan sementara - apakah mereka pernah memikirkan risikonya kemudian hari? Kenapa tidak memikirkan jalan yang lebih selamat? Bukankah kedai 7 Eleven dibuka 24 jam sehari? Kenapa pemikiran harus ditutup dalam soal besar begini?

Kerana kes pembuangan bayi yang semakin meningkat dan amat membimbangkan, maka dianjurkan penubuhan pusat penjagaan bayi yang "tidak diingini" ibu bapanya. Bagi yang menyokong, mereka melihat pusat ini mampu menyelamatkan bayi yang tidak berdosa. Manakala bagi yang tidak menyokong, mereka berpendapat pusat seumpama ini akan lebih menggalakkan pasangan muda berzina. Mereka tidak perlu takut lagi akan risiko membuang bayi di tepi jalan kerana ada badan yang rela menerima dan menjaganya.

Sekarang ini terdapat sebuah pusat kebajikan kanak-kanak yang menyediakan "bilik khas" berhawan dingin yang pintunya sentiasa terbuka 24 jam. Ibu muda yang ingin membuang bayi boleh meletakkan bayinya di dalam bilik tersebut. Persoalannya, beranikah ibu muda yang bermasalah itu tampil membawa bayinya ke bilik tersebut? Walaupun dikatakan tiada CCTV bagi merakam individu yang membawa bayi datang, tetapi mereka tetap was-was. Bagaimana sekiranya mereka dicekup sewaktu meletakkan bayi? Walaupun meletakkan bayi di "bilik khas" tidak dianggap sebagai kesalahan sebagaimana membuang bayi di tepi jalan, namun melahirkan anak luar nikah tetap bersalah dan akan dihukum. Itulah persoalannya.

Berbalik kepada kes membuang bayi yang semakin ketara di kalangan remaja kita. Apakah tiada pendekatan yang sesuai bagi menagani masalah ini? Sesetengah pihak mencadangkan pendidikan seks diajarkan di sekolah. Kalau kita tidak mampu menghalang seks luar nikah, sekurang-kurangnya kita boleh mencegah kehamilan sebelum kahwin. Pendidikan seks merangkumi kaedah seks selamat yang patut diamalkan oleh pasangan yang ingin melakukannya.

Malangnya, pendidikan seks ditentang oleh golongan tertentu. Bagi mereka, pendidikan seks akan menggalakkan seks luar nikah. Sekarang ini tahap seks bebas atau seks luar nikah pun telah menjangkau ke tahap yang amat merisaukan dan tidak terkalahkan oleh negara Barat.

Kajian yang dijalankan oleh sebuah universiti baru-baru ini mengejutkan kita. Majoriti respondens yang terdiri daripada pelajar sekolah mengaku pernah melakukan seks. Mereka bukan sahaja tidak menyesal atau berasa berdosa, tetapi mengaku sangat seronok melakukannya. Namun, tidak ramai yang memikirkan risikonya. Jikalau pelajar sekolah boleh bertindak sejauh ini, bagaimana dengan penuntut IPTA atau IPTS?

Remaja kita seolah-olah sedang membudayakan seks luar nikah. Mereka bukan sahaja tidak takut dosa, bahkan tidak malu berpelukan dan berciuman di khalayak. Hotel bajet merupakan tempat mereka melempiaskan nafsu serakah. Mungkin gejala negatif ini adalah kesinambungan daripada gejala bohsia - bohjan yang sohor suatu ketika dahulu.

Dahulu saya pernah diberitahu bahawa ibu bapa di Barat akan mengingatkan anak gadis mereka membawa kondom - perisai mempertahan diri daripada hamil - setiap kali keluar dari rumah. Saya tidak tahu sama ada ibu bapa di Malaysia akan menggunakan cara yang sama?