Petang tadi, jalan Duta sesak gila. Maklumlah KL apabila hujan, kesesakan lalu lintas tak usah diharapkan tidak akan berlaku. Sambil mengharung kesesakan, pasang radio. Entah macam mana, jodoh barang kali, diketemukan dengan radio Bernama. Kebetulan isu semasa yang meletup-letup sedang diperbincangkan. Seronok juga mendengarnya. Ada pro dan kontra. Biasalah, semua benda di dunia ini ada pro dan kontranya.
Isu apa? Isu pusat penjagaan bayi yang kelahirannya tidak diundang. Ibu bapanya belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa. Maklumlah proses pembikinannya cuma untuk seronok-seronok. Sekadar melayani nafsu yang tidak terbendungkan. Siapa sangka dalam seronok-seronok itu, benihnya menjadi. Tanahnya subur. Maka tercambah juga zuriat yang tidak diingini. Apabila sudah berisi, ke mana mahu membawa diri?
Ah, biarkan sahaja kelahirannya! Selepas itu, dibuang saja. Lantas hampir saban minggu berita pembuangan bayi menghiasi dada akhbar. Betapa mudahnya pasangan muda membuat suatu keputusan yang besar.
Tetapi itulah hakikat ramaja kita hari ini. Mereka tidak mampu berfikir lebih mendalam - selain keseronokan sementara - apakah mereka pernah memikirkan risikonya kemudian hari? Kenapa tidak memikirkan jalan yang lebih selamat? Bukankah kedai 7 Eleven dibuka 24 jam sehari? Kenapa pemikiran harus ditutup dalam soal besar begini?
Kerana kes pembuangan bayi yang semakin meningkat dan amat membimbangkan, maka dianjurkan penubuhan pusat penjagaan bayi yang "tidak diingini" ibu bapanya. Bagi yang menyokong, mereka melihat pusat ini mampu menyelamatkan bayi yang tidak berdosa. Manakala bagi yang tidak menyokong, mereka berpendapat pusat seumpama ini akan lebih menggalakkan pasangan muda berzina. Mereka tidak perlu takut lagi akan risiko membuang bayi di tepi jalan kerana ada badan yang rela menerima dan menjaganya.
Sekarang ini terdapat sebuah pusat kebajikan kanak-kanak yang menyediakan "bilik khas" berhawan dingin yang pintunya sentiasa terbuka 24 jam. Ibu muda yang ingin membuang bayi boleh meletakkan bayinya di dalam bilik tersebut. Persoalannya, beranikah ibu muda yang bermasalah itu tampil membawa bayinya ke bilik tersebut? Walaupun dikatakan tiada CCTV bagi merakam individu yang membawa bayi datang, tetapi mereka tetap was-was. Bagaimana sekiranya mereka dicekup sewaktu meletakkan bayi? Walaupun meletakkan bayi di "bilik khas" tidak dianggap sebagai kesalahan sebagaimana membuang bayi di tepi jalan, namun melahirkan anak luar nikah tetap bersalah dan akan dihukum. Itulah persoalannya.
Berbalik kepada kes membuang bayi yang semakin ketara di kalangan remaja kita. Apakah tiada pendekatan yang sesuai bagi menagani masalah ini? Sesetengah pihak mencadangkan pendidikan seks diajarkan di sekolah. Kalau kita tidak mampu menghalang seks luar nikah, sekurang-kurangnya kita boleh mencegah kehamilan sebelum kahwin. Pendidikan seks merangkumi kaedah seks selamat yang patut diamalkan oleh pasangan yang ingin melakukannya.
Malangnya, pendidikan seks ditentang oleh golongan tertentu. Bagi mereka, pendidikan seks akan menggalakkan seks luar nikah. Sekarang ini tahap seks bebas atau seks luar nikah pun telah menjangkau ke tahap yang amat merisaukan dan tidak terkalahkan oleh negara Barat.
Kajian yang dijalankan oleh sebuah universiti baru-baru ini mengejutkan kita. Majoriti respondens yang terdiri daripada pelajar sekolah mengaku pernah melakukan seks. Mereka bukan sahaja tidak menyesal atau berasa berdosa, tetapi mengaku sangat seronok melakukannya. Namun, tidak ramai yang memikirkan risikonya. Jikalau pelajar sekolah boleh bertindak sejauh ini, bagaimana dengan penuntut IPTA atau IPTS?
Remaja kita seolah-olah sedang membudayakan seks luar nikah. Mereka bukan sahaja tidak takut dosa, bahkan tidak malu berpelukan dan berciuman di khalayak. Hotel bajet merupakan tempat mereka melempiaskan nafsu serakah. Mungkin gejala negatif ini adalah kesinambungan daripada gejala bohsia - bohjan yang sohor suatu ketika dahulu.
Dahulu saya pernah diberitahu bahawa ibu bapa di Barat akan mengingatkan anak gadis mereka membawa kondom - perisai mempertahan diri daripada hamil - setiap kali keluar dari rumah. Saya tidak tahu sama ada ibu bapa di Malaysia akan menggunakan cara yang sama?
No comments:
Post a Comment