Sunday, May 16, 2010

Antara Kita Berbeza


Lazimnya kita melihat orang lain melalui kaca mata kita semata-mata. Jikalau kita orang senang, atau orang berada kita cenderung menganggap orang lain juga orang senang atau orang berada. Jikalau kita orang tidak bermoral, kita juga sering melihat orang lain juga tidak bermoral. Dan sekiranya kita jenis manusia yang tidak boleh dipercayai kerana pantang melihat benda orang pasti meleleh air liur, kita juga akan menganggap orang lain juga seperti kita iaitu tidak boleh dipercayai.

Jarang kita melihat orang lain melalui kaca mata orang tersebut. Apabila melihat orang lain susah, kita berasa simpati, malah turut melahirkan perasaan sedih. Hanya setakat itu. Jarang kita berfikir secara bersungguh-sungguh untuk menghulurkan bantuan. Bukan tidak ada, tetapi jarang. Bahkan yang ada pun, tahap kesungguhannya masih meragukan, umpama kata pepatah 'melepaskan batuk di tangga'.

Sikap melihat orang lain juga seperti kita adalah sikap yang tidak baik diamalkan. Seandainya kita bersikap dengki dan suka mengadu kepada bos tentang rakan-rakan sepejabat, maka kita juga cenderung menganggap rakan-rakan kita juga bersikap seperti kita. Contohnya, apabila kita melihat rakan sepejabat yang kebetulan tidak sebulu dengan kita masuk bilik bos, maka mulalah kita membuat pelbagai tanggapan negatif. Padahal hakikatnya dia masuk bilik bos kerana urusan kerja dan tiada sepatah kata pun tentang kita disebutnya. Sikap buruk sendiri menyebabkan kita sering prasangka terhadap orang lain.

Menggunakan diri sendiri sebagai pembaris bagi mengukur orang lain adalah tidak wajar sama sekali. Namun, perkara inilah yang sering terjadi di dalam kehidupan manusia. Di rumah, sekolah, universiti, pejabat, lapang sosial, arena politik bahkan di mana-mana sahaja yang ada manusia, amalan buruk ini terus menjadi anutan umat manusia. Lelaki yang kasanova cenderung meliat lelaki lain juga kasanova. Perempuan yang jurang selalu melihat perempuan lain juga curang. Keluarga yang anak-anaknya nakal selalu melihat anak-anak orang lain pun nakal.

Sikap begini harus dihapuskan. Tidak baik, malahan berdosa apabila kita 'jahat' kita melihat orang lain juga jahat seperti kita. Apabila kita bercinta, bercumbu dan melakukan dosa besar, kita tidak boleh melihat orang lain yang bercinta melakukan perkara sama seperti kita. Rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain. Bukan semua orang yang masuk kebun limau akan memetik dan makan buah limau. Mungkin dia sekadar melawat keindahan kebun limau sahaja.

Cubalah lihat orang lain melalui kaca mata orang tersebut - dengan jujur tanpa prasangka - barulah kita dapat mengetahui sikap sebenar orang itu. Kita mesti bertindak adil terhadap semua orang!

2 comments:

ikan emas said...

Inilah antara kelemahan kita (???)
(kadangkala tak nak mengaku !!!)


...kita lemah dari segi pengurusan persepsi.Persepsi yang tidak seimbang ..mana positif mana negetif..sukar mentafsir apa minda orang lain berbanding fikiran kita..

usah kata org lain...minda kita sendiri pun kekadng mentafsir berbeza..minda bawah sedar kekadng mempengaruhi realiti begitu juga sebaliknya..

Pok Li said...

Kita selesa dengan pendapat kita, kaca mata kita. Sesekali pinjam le kacamata orang lain pulak.. Boleh nampak ke he he he.