Apabila hendak makan kita selalu mempertimbangkan beberapa perkara antaranya adalah halal dan bersih. Harga juga dipertimbangkan tetapi tidak ada maknanya makanan murah tetapi kotor. Makanan yang tidak bersih bisa membawa kepada keracunan makanan. Kita tentu sekali tidak mahu dibawa ke klinik sesudah menjamu selera kerana keracunan makanan. Oleh itu, selain halal, faktor kebersihan perlu diberikan keutamaan.
Itu makanan tubuh. Bagaimana dengan makanan rohani? Rohani kita juga memerlukan makanan - halal dan bersih. Namun sesetengah antara kita kurang menitikkan makanan rohani yang sememangnya sama penting dengan makanan tubuh. Apa gunanya tubuh kita diberikan makanan halal, bersih dan berzat sekiranya rohani kita atau minda kita hari-hari disuapkan makanan beracun? Makanan rohani yang beracun adalah makanan berbahaya yang akan membantutkan kejayaan kita. Makanan beracun ini akan meracuni seluruh kehidupan kita.
"Ah, kamu tak akan berjaya mencapai cita-cita kamu. Kamu ingat senang nak jadi usahwan muda yang berjaya?" Ini contoh makanan rohani yang beracun. Sekiranya anda berkawan dengan orang seperti ini, nescaya anda akan gagal dalam kehidupan kerana mindanya dipenuhi dengan racun. Dan racun tersebut akan mempengaruhi fikiran anda.
"Kamu nak beli rumah banglo di lereng bukit yang harganya RM2 juta? Tak mungkin. Itu rumah jutawan, bukan rumah orang seperti kita!" Ini juga contoh makanan beracun. Minda yang beracun tidak dapat berfikir di luar kepompongnya. Fikirannya sempit.
Ini pula contoh makanan rohani yang tidak beracun, malahan dipenuhi dengan zat dan vitamin.
"Kamu boleh jadi usahawan muda berjaya sekiranya kamu berusaha bersungguh-sungguh dengan bimbingan pakar yang berpengalaman!"
"Beli rumah dengan harga RM2 juta tidak mustahil bagi seorang yang rajin, tekun dan bercita-cita tinggi. semua orang dilahirkan dengan tangan kosong. Berkat usaha, orang itu berjaya."
Dalam pergaulan harian, memilih kawan adalah penting kerana pemikiran kawan akan mempengaruhi pemikiran kita. Apabila kita berkawan dengan orang yang berfikiran negatif, tiada semangat dan berjiwa kecil, kita juga akan menjadi seperti dia. Waspadalah memilih kawan. Kawan yang suka mengutuk orang, menggosip orang dan merampas suami atau isteri orang elakkan sama sekali. Kawan yang memandang dunia dari sudut negatif juga harus dijauhi kerana akan meracuni kehidupan anda.
Orang-orang yang berjaya adalah orang-orang yang berjiwa besar. Orang yang berjiwa besar adalah orang yang pemikirannya positif.
Jagalah makanan anda - jasmani dan rohani - agar anda sentiasa mendapat makanan yang halal, bersih, berzat dan bervitamin.
5 comments:
Memang mmetahkan selera menghadapi hidangan atau suasana yang tidak bersih.. tapi, kita jarang mual bila berkata2 yang tidak bersih.. mengapa ye? :(
a great writing from a great man..tulisan yg menymbang sesuatu kpd pembangunan msykt secara keseluruhannya tanpa unsur merapu tak tentu psl...hebat tulisan tuan..
jiwa yang kuat punca dari makanan rohani...jiwa yang penuh dgn CINTA Allah juga makanan rohani yang paling mengenyangkan krn mampu menghadapi apa saja ujian untuk berjaya demi mendapat keredhaanNYA..
syabas..isu tn yg hebat..
makan untuk hidup atau hidup untuk makan???
Awal bulan, masa poket tebal hidup untuk makan. Akhir bulan, bila poket kering makan untuk hidup.
Post a Comment