Friday, September 11, 2009

Sekadar Menyibuk

Penyibuk ada banyak jenis. Ada yang suka menyibuk dengan harta pusaka orang; ada yang suka menyibuk dengan urusan kerja orang; ada yang gemar menyibuk dengan anak isteri orang; ada yang menyibuk dengan suami orang atau tunangan orang; dan sebagainya. Kerana banyaknya manusia yang suka menyibuk, maka golongan pemikir Melayu dahulu kala mencipta pelbagai peribahasa yang ada kaitan dengan sikap menyibuk ini. Salah satu daripada peribahasa tersebut ialah "menjaga tepi kain orang". Walaupun "menjaga tepi kain orang" tidak baik, namun lebih baik daripada "menjaga dalam kain orang."

Peribahasa "menjaga tepi kain orang" bermaksud mencampuri urusan orang lain. Hanya penyibuk sahaja yang suka mencampuri urusan orang lain. Orang yang bukan penyibuk tidak akan mencampuri urusan orang lain, kecuali diminta berbuat begitu. Itupun bukan semua hal. Hal-hal berkaitan rumah tangga orang walaupun diminta campur tangan, baik tidak usah kerana balanya akan berbalik kepada kita. Lainlah kalau rumah tangga anak-anak kita. Itupun kena ada batasannya; campur tangan melebihi batasan akan menambahkan lagi masalah sedia ada.

Penyibuk bukan sahaja tidak baik, bahkan dibenci orang. Kita sering mendengar ada orang berkata begini: "Jangan menyibuklah. Ini bukan urusan kamu!" Inilah bukti bahawa orang membenci manusia penyibuk.

Aku pun tidak suka penyibuk, walaupun aku sendiri kekadang suka menyibuk. Tengah hari tadi aku pergi menyibuk dengan warga Putrajaya di tapak beli-belah di Presint 2 yang diadakan khas menjelang sambutan Hari Lebaran yang bakal tiba. Walaupun puasa masih berbaki 9 hari, tetapi warga Putrajaya (warga lain juga) sudah sibuk membeli-belah. Dan aku turut menyibuk dengan mereka. Banyak produk, antaranya pakaian, kasut, beg, makanan dan lain-lain dijual dengan harga berpatutan. Bukan aku yang kata dijual dengan harga berpatutan. Kerajaan yang kata. Menteri yang umumkan begitu.

Sambil berjalan memerhatikan barangan, aku terfikir apa yang dimaksudkan dengan "harga berpatutan" itu? Setiap orang mempunyai tanggapan yang berbeza dengan harga barangan. Jadi, harga berpatutan itu juga berbeza antara satu orang dengan orang lain. Yang pasti harga berpatutan tidak membawa maksud harga murah.

Aku kata aku menyibuk kerana aku cuma berjalan-jalan tanpa membeli sebarang benda. Berbeza dengan kaum ibu yang berbelanja sakan. Kaum ibu memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan ekonomi negara. Tanpa kaum ibu, nescaya ekonomi negara, malah ekonomi dunia akan lumpuh. Harapkan kaum bapa, kebanyakannya seperti aku - sekadar menyibuk.

Penyibuk seperti aku ada juga faedahnya. Sekurang-kurangnya boleh meriahkan suasana yang pastinya disukai oleh peniaga.

Selamat berpuasa. Berbelanjalah apa yang patut!

4 comments:

al-lavendari said...

lama tak ada en3. sibuk ke? menyibuk dengan mengambil berat, garis pemisahnya amat tipis. kadang2 orang kata kita menyibuk, tapi sebenarnya kita mengambil berat. contohnya kalau kita nasihatkan remaja jgn merempit, pasti dia kata "orang tua ni menyibuk je", sedangkan kita mengambil berat keselamatan nyawa mereka dan orang lain. Entahlah ... menyibuk salah tak menyibuk pun salah, jadi semua sereba salah!

imHepPie said...

kalo sibuk mengejar ukhrawi???hehe...insaf jap

Prasert Chaipradit said...

Betullah, menyibuk dengan mengambil berat terpisah oleh garisan tipis aje. Budak-budak sekarang, kita bagi nasihat sikit, dia orang kata kita menyibuk. Secara jujur, menyibuk dengan cara yang betul, dengan niat yang ikhlas, lebih baik daripada tak ambil tahu langsung.

Sibuk mengejar ukhrawi sangat mulia, tapi duniawi juga jangan diabaikan!

wanita mutalib said...

hmm..

jika menyibuk untuk perkara yang ada faedahnya tak mengapa saya rasa :)