Wednesday, September 16, 2009

Menjelang Hari Lebaran

Hari Lebaran semakin hampir. Jalan raya di sekitar ibu kota sesak gila. Masuk sahaja pusat bandar, kepala mula berdenyut-denyut. Kenderaan merangkak-rangkak, lebih perlahan daripada kura-kura. Lampu signal lip-lap, lip-lap, kereta kiri mahu belok kanan, kereta kanan mahu pusing kiri. Pemandu Malaysia memang terkenal dengan sikap tidak ambil berat pasal lorong yang patut digunakan. Tiba pada tempat yang hendak dipusing barulah bagi lampu signal. Bukankah elok kiranya mengambil lorong yang betul sejak awal-awal. Tidak perlulah berebut-rebut di simpang yang menyumbang kepada kesesakan.

Pusat beli-belah sendat. Masing-masing menampilkan iklan jualan murah untuk menarik pengunjung. Potongan harga 50% atau 70% menjadi tumpuan ramai. Tetapi berhati-hati kerana ada yang tidak jujur. Mereka menggunakan tektik menipu harga - menaikkan harga asal, kemudian bagi diskaun gila. Apa lagi, berkerumunlah kita. Pesan FOMCA jangan dilupakan. Jadi pembeli yang bijak lagi berhemat.


Kata ekonomi merudum, anehnya perbelanjaan warga kota tidak merudum. Seorang sahabat saya merungut-rungut kerana dua orang anak lelakinya berbelanja hampir RM1000 (seorang RM500) untuk membeli baju, seluar dan kasut. Baju RM99 sehelai, seluar RM200 sehelai, dan kasut RM199 sepasang. Sedangkan dia hanya menghabiskan RM300 untuk membeli baju, seluar, kasut dan songkok baru. Dia bukan merungut kepada anak-anaknya, tetapi merungut sikap isterinya yang terlalu mengikut kehendak hati anak-anak.


Biasalah budak-budak, suka benda yang mahal-mahal. Kita dahulu pun masa muda-muda, masa tengah tergila-gilakan Minah sepejabat, suka juga pakai benda yang berjenama, misalnya seluar jeans Levi's, kasut Clarks atau Timberland. Padahal Minah tersebut tidak pandang pun kasut. Seluar ada juga dijeling sekali dua - entahlah jeling seluar atau jeling benda dalam seluar. Benda dalam seluar lebih penting daripada segala-galanya kerana tanpanya, KFC atau McDonald atau tiket wayang tidak diberikan percuma. RM dalam seluar itulah pertukarannya.


Berbalik kepada perbelanjaan untuk hari raya, adalah baik kalau dapat berjimat. Tetapi kalau terpaksa juga membeli, maka beli saja. Setahun sekali meraikan kemenangan sebulan berpuasa. Tetapi bagi yang tidak cukup sebulan berpuasa, jangan terlupa menggantikannya. Dalam sibuk-sibuk membuat persiapan hari raya, jangan pula sampai terlupa bayar zakat. Sedekah juga jangan tertinggal.


Menggantikan perabot baru, meja makan baru, langsir baru, katil baru, tilam atau cadar baru, andainya perlu tidak menjadi hal. Namun, yang lama sekiranya masih elok dan boleh dipakai lagi, eloklah berikan kepada mereka yang memerlukannya. Barang yang pada pandangan kita sudah buruk, tetapi pada pandangan orang lain mungkin masih baru. Yang penting niat memberi itu harus ikhlas.


Dalam sibuk-sibuk mengemas rumah, menyediakan kuih raya dan sebagainya, jangan terlupa kepada anak-anak yang bermain bunga api atau mercun. Orang tua wajib kawal permainan mereka. Walaupun kerajaan melarang permainaan mercun, tetapi anak-anak mana peduli. Kita faham kerana kita juga pernah melalui zaman kanak-kanak. Mercun sekarang boleh membunuh. Raya belum tiba, tetapi yang putus jari, putus tangan sudah berapa orang.


Tiap-tiap tahun ada-ada sahaja malapetaka yang menimpa kanak-kanak akibat mercun. Sedih kita dibuatnya. Kanak-kanak yang sempurna fizikalnya terpaksa kehilangan tangan atau jari kerana kecuaian ibu bapa "melepas-bebaskan" anak-anak mereka bermain mercun. Orang kata tidak boleg menyalahkan ibu bapa sahaja kerana mereka pun sibuk dengan kerja lain. Kalau tidak menyalahkan ibu bapa, hendak menyalahkan siapa kerana mereka yang bertanggungjawab menjaga anak.


Menyalahkan kerajaan yang tidak mengambil tindakan tegas terhadap penjual mercun yang diharamkan? Boleh juga menyalahkan kerajaan. Tetapi kerajaan ada berapa ramai kakitangan yang hendak mengawal penjual, pengedar dan pembekal mercun yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan setiap kali menjelang hari perayaan. Malah orang-orang kita sendiri yang bertindak menjadi agen penjual mercun kepada anak-anak kita. Maklumlah komisennya agak tinggi. Main mercun merupakan "cara bakar duit" yang paling pantas, lebih pantas daripada membakar rokok.


Bagi yang hendak balik kampung dengan kenderaan sendiri, pastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat digunakan. Susah sekiranya kenderaan meragam di tengah jalan. Berhati-hati memandu. Patuhi had laju. Jangan terlalu dipengaruhi mood raya sehingga mengabaikan faktor keselamatan di jalan raya. Sekiranya ada orang yang mahu menunjukkan "hero" di jalan raya, biarkan dia, tetapi kita tidak usah. "Hero" jalan raya selalu berakhir dengan berita sedih. Peribahasa "pandu cermat, jiwa selamat" dan "biarkan lambat, asalkan selamat" wajib dijadikan pedoman.


Kunci rumah baik-baik sebelum balik. Seeloknya beritahu kepada abang polis berapa hari mahu balik kampung agar abang polis boleh tolong jenguk-jenguk rumah kita. Sekiranya perlu, serahkan kunci kepada jiran supaya dia boleh tolong jaga rumah kita. Tetapi mesti jiran yang boleh dipercayai sahaja. Tersilap serah kunci, lesap barang dalam rumah. Kalau ada bela kucing atau tikus jangan terlupa pesan kepada jiran agar memberi makan. Atau kalau sudi bawa balik sekali binatang itu. Dapatlah si kucing atau si tikus menikmati udara kampung yang nyaman lagi bersih.


Bagaimana dengan pasangan yang seorangnya kampungnya di utara tanah air dan seorang lagi di selatan tanah air? Sudah sepakat mahu balik kampung siapa dahulu? Jangan pula sampai bertengkar dan bermasam muka semata-mata kerana soal balik kampung. Kalau tahun lepas menyambut raya bersama saudara mara sebelah suami di kampungnya, adalah elok tahun ini menyambut raya dengan saudara mara sebelah isteri pula. Bagi orang KL yang tidak ada kampung, tetapi mahu merasai suasana raya di kampung, pergilah ke Kampung Baru, Kampung Kerinci, Kampung Abdullah Hukum atau Kampung Pandan. Kampung Atap pun boleh.


Raya tetap raya. Puasa yang berbaki beberapa hari lagi jangan diabaikan. Dalam suasana ekonomi yang kurang menggalakkan begini, eloklah berjimat cermat. Kemeriahan raya tidak akan berkurang dengan berjimat cermat. Pahala puasa juga tidak akan bertambah dengan berbelanja lebih, kecuali berbelanja ke jalan yang betul.



7 comments:

al-lavendari said...

satu nasihat yang cukup berguna dan komprehensif. saya orang selatan dan isteri orang utara. kami bergilir2. tahun lepas beraya di utara, tahun ni di utara lagi, tahun depan di utara juga. kami bergilir2 bawa kereta !

imHepPie said...

men mercun putus jari putus tgn..

err putus sedare ade???

Kakcik Seroja said...

Selamat Hari Raya Saudara...

Kakcik tak balik kampung.. Semuanya Tak!.. Beruntung suami kakcik (hehehe..) kernan kakcik bukanlah orang yang teruja untuk menukar itu ini di Hari Raya atau bila-bila saja... banyak keperluan lain yang lebih penting yang perlu diutamakan....

kimisai said...

***********************************
mcam main bola,
lu skor 1 wa kosong,
pastu wa skor 1 lu tak skor dah,
kita seri,

lu skor 2 wa 1,
wa skor balik 1,
kita seri,

lu skor la berapa pun,
wa pun skor la bejuta pun,
tapi bila di luar padang,
anggap la ianya hanya permainan,
jadikannya 0-0 balik,
walaupun hakikatnya,
lu mungkin 5,
wa mungkin 0,

lu mungkin 0,
wa pulak 5..6..7..8...,
tapi bila dah keluar padang,
0-0 balik..

apa salahnya....



SELAMAT HARI RAYA AIDILFTRI
MAAF ZAHIR BATIN
0-0 ok..!!
***********************************

Prasert Chaipradit said...

al-lavendari: asyik utara aje, tak rindu kat selatan ke?

imHepPie: main mercum putus sedare entah ada ke tidak, tapi kalau bagi jari anak sedare putus, emak dia pasti mengamuk.

kakcikseroja: baguslah dapat berjimat, tapi jangan lupa bersedekah.

kimisai: gua tak paham, lu cakap apa.

SELAMAT HARI RAYA SEMUA!

abu muaz said...

Yang dalam seluar tu saya ingat seluar dalam....

Salam aidilfitri

annie said...

Salam perkenalan, SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI, hati2 memandu...