Sunday, July 19, 2009

Cinta Di Penghujung Usia

Semua orang ada sebab tersendiri apabila melakukan sesuatu. Perkara baik, tidak baik, jahat, atau tidak jahat pasti ada sebab dilakukan. Jangan kata orang waras akal seperti aku dan anda, bahkan orang yang tidak waras akal, orang gila atau sewel juga ada sebab apabila melakukan sesuatu perkara.

Adakah sesiapa yang melakukan sesuatu perkara tanpa sebab? Kalau ada tolong beritahu agar hipotesis aku dapat ditolak dan dilupuskan.

Bukan sahaja melakukan sesuatu perkara itu bersebab, bahkan untuk tidak melakukan sesuatu juga ada sebabnya. Pelajar sekolah misalnya, tidak membuat kerja rumah juga ada sebabnya. Dahulu aku tergolong dalam pelajar yang malas menyiapkan kerja rumah kerana aku ada sebab untuk tidak menyiapkannya. Walaupun sebab itu tidak perlu aku beritahu orang lain waima ibu aku, namun aku tetap ada sebab tersendiri yang hanya aku yang tahu. Pendek kata, semua perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan manusia pasti ada sebabnya.

Hukum perlakuan manusia dengan tindakannya adalah hukum alam yang tidak boleh diubah-ubah. Hukum kemalasan aku menulis blog sejak kebelakangan ini juga tidak bisa diubah. Walaupun aku tahu ada pembaca blog yang menanti kemunculan tulisan baru aku, tetapi aku tetap malas menulis dalam blog ini. Bukan aku kekeringan idea, kemarau ilham, tetapi aku ada sebab tersendiri untuk tidak menulis. Dan aku tidak perlu memberitahu sebabnya kerana ia tidak membantu apa-apa.

Hari ini - lebih tepat malam yang semakin larut - sewaktu mendengar lagu sentimental kegemaranku dari Channel Music, terdetik di hati keinginan memasuki Cerita Kaki Lima yang telah lama aku sepikan. Jauh di sudut hati, tidak rela aku membiarkan ia sepi terlalu lama, tetapi lumrah manusia kekadang bercanggah dengan realiti.

Dari DJ yang bersuara manis, aku terdengar soalan dilontarkan: "Betulkah cinta menjadi luntur apabila usia meningkat?"

Aku terpegun dengan soalan itu. Mungkin betul dalam kategori tertentu, dan mungkin tidak dalam kategori biasa. Kategori tertentu itu kategori yang bagaimana? Inilah yang akan kukisahkan daripada cerita pendengar Channel Music itu. Luahan perasaan seorang wanita berusia 46 tahun yang dipancung cintanya oleh suami setelah hidup bersama selama 24 tahun.

Dia kakitangan kerajaan dan suaminya kakitangan swasta berusia 50 tahun. Dia diceraikan kerana suaminya mahu berkahwin baru. Alasan suaminya ialah dia telah tua sedangkan suaminya masih muda. Ini ada kaitan dengan cerita atas ranjang. Walaupun dia mampu melayan suaminya seperti biasa, tetapi suaminya seperti menolak dan ingin menggantikannya dengan pasangan yang lebih muda. Dia berusia 46 tahun dikatakan tua oleh suami, sedangkan suami yang berumur 50 tahun masih perasan dirinya "muda". Dia rela bermadu, tetapi suaminya menolak kerana tidak mahu beristeri dua. Jenis tidak sanggup makan pucuk tua dan pucuk muda sekali gus. Itulah yang tidak difahaminya. Hatinya remuk redam diperlakukan begitu. Malu kepada anak-anak, saudara mara dan jiran tetangga. Lazimnya, keadaan begini berlaku apabila si isteri hampir monapouse.

Memang di muka bumi ini terdapat lelaki jenis itu - lebih mementingkan nafsu serakah daripada ikatan kasih sayang.

Maka dengan sedih hati dia membangkitkan satu soalan iaitu adakah cinta lelaki itu hanya wujud dalam nafsu berahi? Apabila nafsu berahinya lupus daripada seseorang, waima isteri yang berkongsi pahit manis selama lebih 20 tahun, maka cintanya juga turut hilang? Aku mengeluh berat. Cinta dan nafsu selalu menyebabkan manusia keliru. Cinta lelaki dan perempuan selalu hadir bersama hawa nafsu. Aku sukar membayangkan cinta seorang lelaki kepada kekasihnya, atau cinta seorang wanita kepada pasangannya datang tanpa secebis nafsu berahi. Malah kekadang, cinta muncul dari celah-celah nafsu. Maksud aku, nafsu datang mendahului cinta.

Adakah apabila selera nafsu hilang, keindahan cinta juga hilang? Dalam kategori biasa, pastilah tidak. Tetapi dalam kategori khas, seperti luahan pendengar Channel Music di atas, mungkin ya. Suaminya menceraikan dia kerana desakan perasaan yang ingin mengahwini perempuan yang lebih muda. Barangkali lelaki ini tidak mengerti maksud cinta, atau dia langsung tidak pernah ada cinta dalam jiwanya, selain cinta nafsu-nafsi.

Dan yang peliknya, pasangan yang bercerai ketika usia lanjut bukan sedikit jumlahnya. Kebanyakannya memberi alasan "tidak sehaluan" biarpun hakikatnya kerana suami ingin berkahwin lain dan isteri pula tidak rela bermadu. Inilah akibatnya apabila cinta dipimpin oleh hawa nafsu. Sikap bertolak ansur, atau berkorban demi pasangan yang hidup bersama sekian lama langsung tiada.

Cinta dan nafsu sukar dipisahkan. Kadang-kadang kerana nafsu yang tidak terkawal, cinta musnah di tengah jalan. Dan jagalah cinta di penghujung usia dengan baik kerana apabila termusnah sukar untuk dicari ganti. Bertolak ansur dan berkorban amat diperlukan, terutama untuk si isteri yang secara biologinya lebih cepat tua daripada lelaki. Hakikatnya, manusia secara biologi mengalami proses penuaan setiap hari, tetapi cinta abadi senantiasa muda seandainya disirami kasih sayang saban waktu.

Nafsu serakah tidak perlu dilayan sehingga ke penghujung usia.

8 comments:

Dhani said...

salam. dijemput datang menonton GADOH di USM pada 8.8.09 nanti. ajak kawan-kawan skali ok. :)

tengok flyers kat sini: http://2.bp.blogspot.com/_VNg9zxVOC4E/Sl8h_B3gqYI/AAAAAAAAAx4/jiw9JqBVZwU/s1600-h/gadoh_at_kb.jpg

ikan emas said...

Salam,
ini kunjungan pertama saya.
Isu yg menarik.Byk yg boleh dikupas terutama dr sudut psikologi.

Cinta byk jenis..
Ia suatu nikmat dan anugerah.Rugi sesiapa yg tidak menikmatinya.Dtg tanpa mengira usia, kepercayaan. Cinta kisah tu td sekadar alasan seorang lelaki yg dah perasan jatuh cinta lagi!!

Desbil said...

Itulah realiti kehidupan manusia.Keinginan seorang yang bergelar manusia tak pernah sampai kepenghujung selagi nyawa dikandung badan. Yang sakit ingin dicintai yang tua ingin disayangi yang muda ingin dibelai.

Keinginan nafsu lebih dari cinta dan kasih sayang dikala penghujung usia seorang lelaki memang sukar di fahami. Seandainya di beri peluang untuk merasakan cinta sehingga di hujung usia bagi seorang perempuan maka kaum ini adalah manusia yang sangat bahagia namun jika terjadi apa yang wanita seperti dalam channel radio tu alami sememangnya ia amat menyakitkan.

Namun lelaki perlu ingat bukan hanya kaum hawa yang mengalami menopause kaum lelaki juga mengalami andropause.Disebabkan keegoan maka lelaki akan curang dipenghujung usia namun jauh disudut hati mereka dapat merasakan kekurangan yang mula dirasai. Betul atau tidak bagi kaum adam ini " Tepuk Dada Tanya Selera "

Namun tak dinafikan seorang lelaki yang berada dipenghujung usia sangat penyayang itulah kenyataan yang seorang wanita perlu terima.

Untuk Tuan Blogger Desbil persilakan hayati bait2 lirik lagu ini yang mungkin dialami oleh wanita2 seperti dichannel radio itu.

http://www.youtube.com/watch?v=SLMGrux86L8

Matahariku

Tertutup sudah pintu .. pintu hatiku
Yang pernah dibuka waktu hanya untukmu
Kini kau pergi dari hidupku
Kuharus relakanmu walau aku tak mau

Berjuta warna pelangi didalam hati
Sejenak luluh bergening menjauh pergi
Takada lagi cahaya suci
Semua nada beranjak aku terdiam sepi

Dengarlah matahariku suara tangisanku
Kubersedih kerna panah cinta menusuk jantungku
Ucapkan matahariku puisi tentang hidupku
Tentangku yang tak mampu menaklukan waktu

Berjuta warna pelangi didalam hati
Sejenak luluh bergening menjauh pergi
Takada lagi cahaya suci
Semua nada beranjak aku terdiam sepi

Baimai said...

Isu yang menarik dari penulis sampai saya tak tahu nak komen apa tapi bagus untuk dibaca dan jadi pedoman.

Apa yang tak kena dengan tuan blogger kita ni Des?. Yang kau bagi lirik lagu Agnes Monica tu tambah sayu lah para wanita yang di curangi suami di usia lanjut. Jangan jangan si Des ni pun salah seorang dari wanita itu. ??? Betoi tak tuan blogger?

Anonymous said...

Ada udang di sebalik batu ke si dia itu?

Desbil said...
This comment has been removed by the author.
Desbil said...

Baimai ni macam2 lah Komen tersebut tak ada kena mengena dengan siapa2 sama ada yang hidup ataupun mati mahu pun diri sendiri.Cuma kena mengena dgn cerita dalam entri blog ini.Lirik lagu pun sekadar hiburan dan penyeri komen.Begitulah alam fantasi umpama realiti, jangan tertewas olehnya nanti jadi macam cerita dalam entri ni pulak.Desbil Sekadar memeriahkan blog ini.

siti ajar bt yaakob said...

salam ukhwah..lelaki selalu menilai wanita melalui kecantikan namun wanita pula bersandarkan lelaki dengan harapan..seringkali wanita yg memiliki suami yang telah kekurangan dari segi batin tidak pernah merungut malah sentiasa menerima dengan penuh sabar..itulah perbezaan jelas antara lelaki dan wanita...