Saturday, June 6, 2009

Apa Kata Anda?

"Menjadi lelaki atau wanita tulen membawa padah; seseorang itu mestilah menjadi lelaki yang kewanitaan dan wanita yang kelelakian." - Virginia Woolf.

Apabila bercakap pasal cinta, lelaki dan perempuan ada pendapat masing-masing. Walaupun pendapat lelaki dan perempuan ada yang sama, namun banyak yang berbeza dan bercanggah. Lelaki ada ego lelaki, perempuan ada ego perempuan apabila bersembang tentang cinta.

Bagi perempuan, sukar cari ketulenan dalam cinta lelaki. Cinta tulen mesti satu, tetapi cinta lelaki banyak. Lelaki boleh menabur cinta di merata-rata tempat, kepada setiap wanita yang dia sukai. Oleh itulah dalam satu-satu masa lelaki mampu membahagikan cintanya kepada ramai wanita. Lelaki menabur cintanya seperti menabur benih padi. Malah lelaki rela membohongi orang yang dicintainya semata-mata untuk memuaskan keinginannya. Seribu janji terucap di bibir lelaki hanya sepuluh yang boleh dipercayai. Lebih menyakitkan hati, lelaki sekarang tidak bertanggungjawab. Cinta bagi lelaki hanya nafsu nafsi. Habis madu, sepah dibuang. dalam sehari lelaki boleh meniduri sepuluh wanita. Sedangkan wanita tidak sanggup menduakan pasangannya. Dan sejarah kecurangan manusia melibatkan ramai lelaki daripada wanita.

Sedangkan cinta wanita tidak begitu. Wanita setia kepada cintanya. Wanita tidak terburu-buru menerima atau memberi cinta kerana cinta bagi wanita sesuatu yang mulia. Sejarah kecurangan wanita sekadar kes terpencil. Itupun berpunca daripada lelaki yang mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Suami bagi wanita adalah segala-galanya.

Pendapat lelaki lain pula. Bagi lelaki, cinta wanita boleh dijual beli. Cinta wanita mudah berubah. Hati wanita lembut, maka cintanya juga mudah dilentur oleh kata-kata lelaki. Hari ini cintanya bersemi di ufuk timur, keesokan hari cintanya bersemi di ufuk Barat. Wanita tidak menduakan kasih bukan kerana dia tidak mahu berbuat begitu. Keinginannya untuk bertukar pasangan ada tetapi dunia tidak mengizinkan. Dia setia kepada kekasih yang satu kerana takut dikutuki masyarakat. Lelaki tidak sama. Dalam agama tertentu lelaki diizinkan berkahwin lebih daripada satu sekiranya mampu. Hal ini bukan bermaksud cinta lelaki tidak tulen. Ketulenan cinta bukan terletak pada berapa banyak cinta, tetapi terletak pada berapa jujur cinta tersebut. Kecurangan lelaki berpunca daripada wanita. Kalau wanita tidak membuka jalan, bagaimana lelaki boleh curang.

Alahai, sampai kiamat pun pendapat lelaki dan perempuan tentang cinta tidak akan sama! Ini baru beberapa pendapat, masih banyak lagi percanggahan dan pertelingkahan antara lelaki dan wanita. Sememangnya perbezaan pendapat tentang cinta ini adalah sumber kekuatan manusia sarwajagat. Daripada perbezaan ini, lelaki dan wanita cuba membaiki diri dan cinta mereka - mengorak langkah menuju keagungan cinta.

Perbezaan pendapat antara lelaki dan wanita dalam hal percintaan, salah satunya berpunca daripada kemahuan mereka yang berbeza daripada percintaan. Apa kata anda?










9 comments:

Desbil said...

Cinta tulen seorang lelaki hanya akan diperolehi bila mana seorang lelaki itu sedang bersambung hose di atas katil samaada dirumah atau hospital...kik kik kik..;D

butterfly said...

Memang betul perempuan dan lelaki berbeza pendapat disebabkan ego masing-masing , tapi peredaran masa boleh membuat seseorang wanita atau lelaki berubah pendirian dan juga pendapat mereka. Pendapat atau pendirian baru akan muncul berdasarkan pengalaman cinta yang dialami..

Baimai said...

Desbil, nasib baik awak tu wanita?? dalam alam maya pulak tu.Kalau tak dah lama aku bagi hang buku lima.

Tuan blogger ni asyik nak mengata kaum sejenis!. Teruk sangat kah kaum adam ni.

Anonymous said...

Asyik dia ajer yang dok komen.bosan lah.

Prasert Chaipradit said...

Aku tak mengata kaum sejenis, tapi dua-dua jenis pun aku sanjung dan kutuk pada tempatnya yang sesuai. Dua-dua jenis ada harga tersendiri. Ghaib sejenis dari muka bumi, sejenis lagi langsung tak ada nilainya. Betul tak, heh, heh, heh!!!!

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Salam singgah, walau apapun argumentasinya, aku suka catatan ini. Pohon disedut ke laman CelikHuruf.

tk

lo mo so said...

Khun Baimai usah terkecil hati dg.coretan khun sert dan sindiran si professor desbil tu.
Sejarah telah membuktikan bahwa cinta seorang lelaki terhadap seorang wanita lebeh agong dan tulen daripada cinta seorang wanita terhadap seorang lelaki.

Lihat saja pada Seri Rama,beliau sanggup meneruskan pengembaraannya menjejaki isteri tercinta Sita Dewi yang dilarikan Maharaja Raksaksa Rawana padahal adiknya Laksamana sedang menyabung nyawa terkena anah panah sakti itu!

Kerana menyanjung kesetiaan cinta Seri Rama,Sang Hanuman, si raja monyet jantan yg gagah perkasa itu pun sanggup mengabdikan diri pada Seri Rama dan berganding bahu bersama Seri Rama menghadapi segala rintangan demi kerana cinta terhadap seorang wanita.

Taj Mahal, salah satu drp benda ajaib dunia adalah bukti dan fakta tentang keagongan cinta seorang lelaki terhadap seorang wanita.
Shah Jahan sanggup melakukannya meskipun dg air mata darah mengalir dan ribuan nyawa manusia melayang hanya kerana ingin membuktikan pada "DUNIA" ketulinan cinta pd isterinya.. seorang wanita.

Lelaki playboy dan mata keranjang di puji malah ada yang memuja.
Lihat saja KHUN PAN,lagenda playboy masyarakat Thai tu.Dia sudah mati beratus tahun dah, tapi sampai sekarang masih di puja masyarakatnya,bahkan dibuat tangkal untuk digantung dileher oleh segenap lapisan masyarakat.

P.RAMLEE pun apa kurangnya? Sejarah ada tercatat...ramai wanita berbagai lapisan masyarakat tergila dan terkulai di pangkuannya.Masyarakat maseh menerimanya.

TETAPI TIDAK PADA WANITA. SEKIRANYA SEORANG ISTERI ITU BERLAKU CURANG, DUNIA AKAN MENGHUKUM DAN MELABELKANNYA SEBAGAI PEREMPUAN JALANG! AMAT TERHINA SEKALI.

DES..apa macam? saya mohon kontra dg pendapat anda.bagi saya dlm soal cinta tulen ni lelaki melebehi wanita.

Hakikat dan realitinya, dalam apa hal sekalipun lelaki mesti melebehi wanita lah!!

HAIWAN JANTAN PUN KETULINAN CINTANYA MELEBEHI HAIWAN BETINA!

Saya fikir baik lelaki atau wanita mengaku dan menerima kenyataan ini...LELAKI MELEBEHI WANITA,lainlah klu dia tu "DU* A**M".

DESBIL KAWAN KU SAYANG..APA KOMEN ANDA?

Maaf ya khun sert,terlajak tulis berjela-jela.Anggap sajalah saya salah seorang peminat dan pengikut setia blog khun .

Desbil said...

Baimai : sanggup ker nak bagi buku lima kalau tengok wajah Desbil yang macam kucing kena hujan ni. ;)

Lo Mo So : Desbil umpamakan kes ini seperti tukang masak profesional dan terkenal dimana ramai kaum lelaki meskipun pada hakikatnya lebih ramai kaum wanita yang pandai masak. kenapa?? kerana bila perkara itu terjadi dalam jumlah yang sedikit ianya menjadi satu kebanggaan dan diheboh hebohkan, tapi jika bilangannya ramai ianya sudah jadi kebiasaan yang tak lagi menjadi satu kebanggaan kerana ramai yang dah boleh buat. Fikir sendiri situasi ini dan apply kepada kes yang melibatkan cinta tulen di antara lelaki dan wanita.

Cinta tulen seorg wanita disemat dalam sanubari tanpa melibatkan material tapi lebih kepada perbuatan. Seorg wanita menunjukkan cinta tulennya pada seorg lelaki dgn menerima kekurang kaum adam. Seorg isteri sanggup menjaga seorg suami yg sakit kronik bertahun tahun hingga kehujung nyawa suaminya dengan penuh kasih sayang dan cinta.Malangnya perkara ini tak lah dihebohkan mau pun dijadikan lagenda sebagai mana hikayat Seri Rama, Taj mahal mahu pun Shah Jahan.

Kaum hawa yang kematian suami diusia muda juga gagal meluputkan cinta pada suami yang dah 7 kaki dibawah tanah.malah ada yang tak kawin seumur hidup kerana cinta pada suami tak pernah pudar. berbanding dgn lelaki tanah kubur masih merah dah ada penyeri baru atau setidak2nya ada bunga muda yang di heret ke hulu dan ke hilir;D

Kerana cinta seorg isteri sanggup menunggu suami keluar dari penjara atau pusat serenti. Perkara ini ada yang heboh ker? tak ader kan sebab hampir semua wanita itu memiliki cinta yang tulin pada pasangannya. bagi wanita cinta selain dari pengorbanan tapi cinta juga sanggup memaafkan kesalahan yang meskipun amat memalukan.

Kalau bukan kerana ketulenan cinta tentu ramai wanita curang tapi terbukti sejak dahulu hingga kini bilangan lelaki curang tetap melebihi bilangan wanita curang.

Sebenarnya jika nak curang dan nak elak di tuduh jalang dan dicemuh masyarakat senang ajer. caranya suami keluar pintu depan isteri keluar pintu belakang.Suami outstation, isteri boleh tinggalkan anak2 bersama pembantu dan buat operasi curang kat luar sana yang penting tahu makan tahu lah lap mulut tu...he he he. Kini zaman dah berubah seandainya ketulenan cinta seorg lelaki melebihi ketulenan cinta seorg wanita sudah pasti bilangan wanita yang curang ramai. Pasti ramai suami dikhianati. Pasti ramai suami terjun kat jambatan pulau pinang tu.

Kesimpulannya, Desbil akui dari semua segi lelaki melebihi wanita tapi dari segi ketulenan cinta perempuan tetap melebihi kaum adam ini. Cinta seorang wanita tulus dan ikhlas serta penuh kasih sayang kerana bila suaminya dah tua, cacat dek darah tinggi ker, hodoh sebab buncit perut dan kepala botak ker cintanya tetap utuh. Tapi lelaki ni cinta hanyalah nafsu semata2. bila isteri dah tua, tak lawa , body dah mengelaber dah mula lah cari pucuk muda dia ingat dia tu muda lagi kot??:D razzzz wink wink.

demikian lah jawaban dari sang peminat blog ini. harap2 tak ada yang bosan lah . Desbil sekadar menjawab soalan memandangkan sejak tadika lagi kena ajar mesti jawab setiap soalan. he he he..mcm mana Lo Mo So ?? Desbil harap Lo Mo So sebagai pemeriksa pertama bagi lah A+++ dan tuan blogger nak bagi berapa yer?? wink wink

Prasert Chaipradit said...

Itu dia penjelasan panjang lebar cinta lelaki tulen oleh lo mo so. Untungnya sapa dapat jadi teman hidup lo mo so! Aku pun mahu jadi macam Khun Phen, kah,kah,kah!!!!