Hari ini merupakan hari yang malang dan memalukan. Aku kata hari yang malang kerana setiba sahaja di tempat kerja, seorang member meluru datang. Dia berbisik:"Bang ada RM200, pinjam dulu kereta rosak." Aku menelan liur, buka dompet ada empat keping RM50. Aku bagi dia 3 keping. Hujung bulan begini memang member suka sangat membisik-bisik. Sengal gigi mendengarnya.
Selepas pulang dari kerja aku seperti biasa singgah di kedai Mamak untuk pekena teh tarik sama roti kosong dulu sebelum balik rumah. Kekadang sembang-sembang bersama kawan sejenak sambil menghilangkan penat. Ketika hendak pulang, seorang kanak-kanak lelaki, lingkungan 11 tahun, muncul di depan aku. Dia bertanya:"Kereta abang tak ada bendera?"
Aku tercegat kehairanan mendengar pertanyaan itu. "Err... belum pasang!" Aku sengaja berkata begitu. hakikatnya aku tidak pernah pasang Jalur Gemilang pada kereta. Bukan tidak ada semangat patriotik tetapi malas.
"Nah!" Kanak-kanak itu tarik satu bendera dari basikalnya dan menghulurkannya kepada aku. Apa yang patut aku lakukan selain menerima dan mengucapkan terima kasih. kanak-kanak itu senyum kepada aku sebelum beredar pergi. Mata yang berada di dalam warung Mamak tertumpu ke arah aku. Aku lekas-lekas beredar.
Memang memalukan. Seorang kanak-kanak yang entah mengerti atau tidak erti semangat cintakan tanah air, tetapi dia memberikan aku bendera. Dia lebih menghargai Hari kebangsaan berbanding aku yang sudah dewasa. Aku tidak kecewakan harapanya. Setiba di rumah aku terus pasang "cendera hati" yang masih baru itu pada kereta.
Hari esok ketika kereta meredah embun di Jalan KL - Putrajaya, aku akan menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di depan aku!
No comments:
Post a Comment