Friday, June 15, 2012

Cemburu Itu Sahabat Kepada Cinta

Cinta tidak selalunya mendatar. Adakala lurus, adakala bengkang-bengkok umpama lebuh raya yang melilit pada pinggang pergunungan. Cinta yang mendatar itu tawar bagai teh tanpa secubit gula. Cinta yang bengkang-bengkok menyeronokkan biarpun kekadang bisa muntah-muntah kerana kepeningan. Bercinta tidak tumpah seperti pemain motosikal. Pemain motosikal tidak gemar jalan yang lurus. Tidak mencabar dan tidak seronok. Jalan berselekoh begitu nyaman dilayan. Namun, segenggam pasir yang bertaburan di muka jalan boleh mengundang malapetaka.

Anda pernah jatuh motosikal? Jikalau pernah, anda tentu pernah merasa sakitnya. Anda pernah jatuh cinta? Oh, jatuh cinta tidak sakit seperti jatuh motosikal. Jatuh cinta indah, seronok dan sukar dilupakan. Orang bilang detik-detik di mana kita jatuh cinta adalah detik-detik yang manis. Detik yang merakam dan menyimpan seribu kenangan. Aku bilang detik-detik kita jatuh motosikal juga detik-detik yang tidak boleh dilupakan. Ini detik hitam yang dimohon tidak diketemukan untuk kali kedua. Jatuh motosikal dan jatuh cinta detik yang penting dengan dua perasaan yang berbeza.

Orang jatuh motosikal kerana dia menunggang atau membonceng motosikal. Orang jatuh cinta bukan kerana dia menunggang atau membonceng cinta. Cinta tidak boleh ditunggang atau dibonceng seperti motosikal. Orang jatuh cinta kerana dia mendambakan cinta. Merah senja tatkala mentari terbenam di ufuk Barat begitu indah, kata penyair, tetapi indah lagi cinta. Kelipan sejuta bintang di langit luas indah sekali kata pujangga, tetapi indah lagi cinta. Keindahan cinta tidak mungkin dapat digambarkan dengan bahasa yang serba kekurangan ini. Betapa indahnya cinta, lihatlah kepada orang yang dilamun cinta; dia bisa saja tersenyum kepada sebatang pokok yang berdiri kaku di depannya.

Orang selalu berkata, seronoknya bermain cinta. Adakah cinta satu permainan? Cinta bukan permainan tetapi manusia yang tersilap suka mempermainkan cinta. Kita mungkin biasa-biasa sahaja apabila mempermainkan cinta orang. Namun, apabila orang mempermainkan cinta kita, barulah kita tahu betapa sakitnya hati apabila cinta kita menjadi mainan orang. Sebenarnya cinta tidak boleh dipermainkan sesiapa atau sesiapa tidak boleh mempermainkan cinta. Cinta terlalu mulia untuk dijadikan permainan. Yang dipermainkan ialah perasaan, bukan cinta. Perasaan orang yang bercinta begitu sensitif dan mudah tergores. Oleh itu, apabila berasa sakit lantas dituduh cintanya dipermainkan.

Sahabat kepada cinta ialah cemburu. Di mana ada cinta, di situ ada cemburu. Cemburu ini sahabat paling setia yang mengikuti ke mana sahaja cinta pergi. Ke hutan belantara cinta pergi, ke situ juga cemburu mengekorinya. Ke kota Metropolitan cinta beradu, ke situ juga cemburu menunggu. Cemburu umpama rempah ratus kepada sebuah cinta. Rempah ratus harus dikawal dan digunakan secukup rasa. Langsung tiada rempah ratus, cinta akan menjadi tawar.

Orang berkata, cemburu sebagai tanda sayang. Ini tidak dinafikan. Cemburu tidak lahir pada orang yang tidak kita cintai. Kita hanya cemburu kepada orang yang kita cintai kerana kita sayang kepadanya. Namun, cemburu yang keterlaluan, cemburu buta boleh membawa padah, menyebabkan cinta rebah di pertengahan jalan. Jatuh cinta itu indah, tetapi rebah dalam percintaan itu sakit.

Cinta tidak mungkin dapat menghindari kesilapan. Kesilapan yang kecil tidak memberi kesan yang besar. Akan tetapi kesilapan yang besar, mungkin membawa kepada putus cinta. Inilah detik-detik yang paling sukar, saat-saat yang paling sakit. Ramai yang menangis tidak berlagu kerana putus cinta. Ramai yang menjadi seperti orang gila kerana cinta diputuskan orang. Cinta ditolak pun sakit, tetapi sakit lagi cinta diputuskan.

Apabila orang yang kita cintai menjauhkan diri kerana kesilapan kita, kita mesti memujuknya kembali. Ini fasa yang sukar. Memujuk orang bukan senang. Tambah-tambah lagi sekiranya kesilapan kita terlalu besar sehingga merobek hatinya.

Kita mesti jujur mengakui kesilapan kita. Kita mesti menyakinkan dia bahawa kita telah mempelajari sesuatu daripada kesilapan tersebut dan tidak akan mengulanginya lagi. Dan yang paling penting, yakinkan dia bahawa kita tidak boleh hidup tanpanya. Ini boleh melembutkan hatinya.

Berikan dia hadiah, biarpun tidak mahal tetapi mesti istimewa. Cari hadiah yang boleh mengingatkan dia kepada kenangan manis yang pernah dilalui bersama.

Memujuk mungkin mengambil masa. Sepanjang tempoh percubaan tersebut, kita mesti membuktikan bahawa kita betul-betul berubah. Jikalau dia dapat tahu bahawa kita sekadar bermain kata-kata, sedangkan hati masih seperti sebelumnya, dia mungkin akan terus hilang kepercayaan terhadap cinta kita. Cinta yang telah hilang kepercayaan amat sukar dikembalikan.

Anda sedang bercinta?

Jagalah cinta anda dengan baik. Kita boleh memberikan seribu cinta kepada orang lain, tetapi belum tentu orang lain boleh berbuat begitu kepada kita. Hargai orang yang memberikan cintanya kepada kita. Dan jagalah cinta tersebut dengan sepenuh hati. Jangan sampai kehilangan cinta barulah hendak berkata: "Oh, cinta dia sangat bermakna kepada kehidupanku, tetapi sayang sekali telah diberikan kepada orang lain!"




Saturday, May 7, 2011

Bukan Semua Manusia Berbakat Itu Baik!

Manusia dilahirkan dengan pelbagai bakat semula jadi. Manusia yang berbakat ini buat apa pun semuanya menjadi; apabila melukis, hasil lukisannya kelihatan hidup; apabila menulis, hasil tulisannya sedap dibaca; apabila berlakon, hasil lakonannya memukau mata. Pendek kata manusia yang dikurniakan bakat semula jadi ini bukan manusia sembarangan. Semua hasil kerjanya memikat hati manusia lain. Orang berbakat ini memang dicari orang - cari bakat.

Namun, manusia berbakat ini, kekadang menggunakan bakatnya untuk tujuan yang tidak baik. Kedengarannya pelik, tetapi itulah hakikatnya. Bakat istimewa tidak semestinya digunakan untuk melukis, menulis dan berlakon sahaja. Berbohong, menipu dan memperdayakan orang juga memerlukan bakat luar biasa. Kalau tidak, masakan orang yang belajar tinggi-tinggi sehingga ada PhD boleh ditipu oleh orang yang tamat sekolah atap. Orang yang lahir, besar dan dewasa di negara maju tertipu oleh orang yang berasal dari negara miskin dan mundur.

Sekarang ini dunia semakin terdesak. Oleh itu, manusia menggunakan bakat semua jadi yang tidak ada pada orang lain untuk tujuan jahat. Manusia berbakat ini selain bijak menggunakan bakatnya, bijak juga menggunakan kesempatan. Misalnya, jikalau mereka hendak menipu duit seseorang, mereka akan cari orang yang tamak duit. Orang tamak selalu rugi menjadi kunci pegangan mereka. Bermacam-macam cara dicipta bagi memperdaya mangsa. Kekadang mereka main tabur duit bagi mendapatkan pulangan duit dalam jumlah gandaan. Boleh kata, mereka cukup berbakat sehingga penipuan mereka sukar diketahui mangsa sehinggalah mangsa tersebut terpedaya. Sedar-sedar ribuan, malah jutaan telah lesap.

Bagi lelaki kasanova, mereka mencari mangsa yang kebutuhan cinta. Orang kebutuhan cinta tidak kira anak dara, emak dara atau isteri orang apabila kebutuhan cinta, begitu mudah diperdayakan oleh lelaki kasanova. Jikalau kebetulan lelaki berwajah kacak ini dikurniakan bakat istimewa, lagilah cepat mangsa rebah di dadanya. Lelaki kasanova lazimnya bermulut manis, berlidah lincah dan romantis apabila disulami bakat istimewa, jangan kata wanita biasa, datin seri pun boleh hilang gincu dibuatnya. Lelaki kasanova ini begitu bijak memilihj masa bila hendak bertahan, menyerang atau mengalah.

Kasanova umpama seekor harimau yang menghendap, memerhati dan akan menerkam mangsa hanya pada masa yang dirasakan sesuai. Gigitannya pula tepat pada leher. Sekali gigit, mangsa terus lemah dan mati. Gigitan yang silap akan menyebabkan mangsa terlepas. Begitu juga dengan kasanova. Ketepatan membuat pilihan merupakan kunci kejayaan mereka.

Orang politik mempunyai bakat istimewa dalam ceramah atau syarahan. Orang politik tidak perlu bijak dan bermoral tinggi. Cukuplah sekadar memperlihatkan seperti orang bijak dan bermoral tinggi. Bakat istimewa yang ada pada mereka mampu menutup segala kelemahan yang ada. Sebab itulah kita akan kesal setiap kali kita mahu mencari kebijakan dan moraliti pada orang politik.

Malahan perompak, penyamun dan pembunuh upahan juga harus berbakat bagi menjayakan kerja jahat mereka.

Kesimpulannya, manusia berbakat tidak semestinya menggunakan bakat ke arah kebaikan sahaja. Tidak kurang yang menggunakan bakat ke arah kejahatan. Walaupun kita tidak memanggil pembohong, penipu atau perompak sebagai manusia berbakat, tetapi kerja mereka dilakukan dengan jayanya kerana mereka berbakat istimewa dengan kerja-kerja tersebut. Maka, berwaspadalah dengan manusia berbakat jahat ini sebelum kita jadi mangsanya.

Monday, August 23, 2010

Katak Puru Yang Baik Hati!



Cikgu Wanita: Tengok apa adik-adik?

Adik 1: Jangan bising Cikgu, nanti dia terkejut!

Cikgu Wanita: Apa? Apa yang terkejut?

Adik 2: Katak puru. Katak puru yang baik hati.

Cikgu Wanita: Mana? Baik hati macam mana?

Adik 3: Itu ... dia pikul adik kecil dia atas belakang.

Cikgu memandang ke arah yang ditunjukkan oleh kanak-kanak (tergamam).

Adik 2: Dia baik hati sungguh. Adik dia kecil ... masa berjalan tak letih. Sebab dipikul oleh abangnya.

Adik 1: Cikgu, dah lama dia pikul, tak merungut pun. Baik hati betul si abang ni. Si adik pun diam saja!

Cikgu Wanita: Ya ... ya ... dia baik hati (Budak, oh budak!) ????

????

????

????

????

???? Katak yang baik hati

Friday, August 20, 2010

Lelaki Tolong Baca Ini! (Wanita Tak Perlu Baca)

Wahai lelaki yang dilahirkan sebagai lelaki ... tahukah anda bahawa wanita (wanita Melayu mahupun wanita bukan Melayu) suka lelaki yang bagaimana? Bacalah kalau nak tahu, kemudian cuba buat renungan pada diri sendiri, ada berapa peratus daripada 10 perkara yang disenaraikan.

Antara ciri-ciri lelaki idaman wanita ialah:

1. Lelaki yang menghormati wanita dan reti menjaga maruah wanita, di depan mahupun di belakang.
(Tolong kurangkan sedikit ego. Jangan takut dikatakan takut isteri. Takut isteri sendiri lebih baik daripada takut isteri orang.)

2. Lelaki yang lembut bicaranya, sopan dan sedap didengar, tetapi tersembunyi kekerasan dan ketegasan di dalamnya.
(Bahasa kasar biarlah digunakan untuk berbicara dengan kawan. Dengan kekasih atau isteri mesti bahasa lembut.)

3. Lelaki mudah senyum dan sentiasa ceria.
(Muka jadi asam jawa memanjang saja tak menambahkan ketampanan. Muntah wanita memandangnya. )

4. Lelaki mesti pandai mengambil hati dan jangan lupa hari-hari penting kekasihnya.
(Hadiah hari jadi tak semestinya mahal, tetapi sangat bernilai bagi seorang wanita. Jangan kedekut tak reti tempat.)

5. Lelaki yang kelihatan boleh jadi pelindung dan penyelamat.
(Jangan pula berebut panjat kerusi dengan wanita kerana lari daripada seekor lipas.)


6. Lelaki yang bijak, berani dan mempunyai ketokohan jadi pemimpin di samping tidak terlalu mementingkan diri sehingga membelakangkan orang lain.
(Wanita lemah, jadi mereka memerlukan seorang pemimpin.)

7. Lelaki mesti pandai memujuk dan mengalah sekali-sekala.
(Walaupun pasangan anda yang salah, pujuk saja, tak rugi apa-apa. Lepas memujuk pasti ada habuannya.)

8. Lelaki mesti berpakaian kemas dan bersih.
(Semasa jalan berduaan, kekasih hati tak berasa malu, malah berbangga kerana pakaian kita tak selekeh.)

9. Lelaki mesti bersikap seimbang dalam percintaan. Ucapkan kata-kata cinta selalu. Jangan hari ini cinta melambung tinggi bagai tsunami, hari esok surut tinggal lumpur.
(Hati mesti teguh seperti pokok besar, bukannya pokok menjalar yang memanjat sana, memanjat sini.)

10. Lelaki apabila nak ke mana-mana mesti beritahu kekasih atau isterinya.
(Jangan pergi ke mana-mana tanpa beritahu orang yang tersayang. Bukan apa, si dia akan bimbang, jangan-jangan telah pasang dua.)

Bagaimana? Berapa peratus anda miliki ciri-ciri lelaki yang disukai wanita? Kalau tak ada, cubalah wujudkan. Saya sendiri ... kah ... kah ... kah ... tak lulus. Saya bukan lelaki idaman wanita. Menyampah wanita pandang muka saya. Biarlah!

Wednesday, August 11, 2010

Wow, Besar Begini Boleh Masuk Ke?

Wow, kalau tersilap, kepala kapal sondol tebing, ranap rumah di kiri kanan.


Ngam-ngam saja ruangnya!



Hebat sungguh kapten kapal! Tentu bukan lesen kopi. Tempat sesempit itu, boleh masuk dengan cantik sehingga berjaya lolos!