Betapa beruntungnya pasangan yang berkahwin atas dasar cinta sama cinta, suka sama suka, minat sama minat atau selera sama selera. Perkahwinan begini kalau tak dapat mengecapi kebahagiaan lagi, entah apalah nak dikatakan. Makan, minum, sembang, mandi, ketawa, duduk, berjalan, dan tidur dilakukan bersama-sama dan dengan penuh gembira. Berpeluk, bercium dan bercumbu juga suka sama suka, rela sama rela, dan bahagia sama bahagia. Apa lagi yang dikehendaki kalau semuanya adalah saling memberi dan menerima.
Sebaliknya, bagaimana pula dengan pasangan yang berkahwin bukan atas dasar cinta? Walaupun sekarang zaman moden, dasar kahwin paksaan telah diharamkan, tetapi masih ada individu yang terpaksa berkahwin bukan atas dasar suka sama suka, tetapi atas dasar lain. Dasar lain ini teramat banyak, antaranya mungkin untuk memenuhi kehendak ibu bapa, akibat terlanjur ketika mabuk nafsu berahi lalu terpaksa bertanggungjawab, kerana tamak akan harta, menutup malu kerana ditangkap khalwat dan sebagainya.
Dengan alasan apa sekalipun, perkahwinan tanpa cinta dan rela hati merupakan detik-detik yang sukar. Bukan mudah meniduri atau ditiduri orang yang tidak disukai. Begitu sukar untuk merelakan mencumbu dan dicumbu individu yang tidak diminati. Kita bukan gigolo atau pelacur yang boleh melayan sesiapa sahaja asalkan dibayar. Kita ada hati, ada perasaan yang harus dilayani dan dipenuhi sewajarnya. Kenikmatan tidak akan hadir dalam paksaan. Walaupun dengan memejamkan mata, menahan perasaan, menabahkan hati menerima segala dugaan, namun bukan semua dapat dilalui dengan sempurna.
Teori orang tua-tua mudah. Kahwin dahulu, cinta kemudian. Bagi mereka selepas menjalani perkongsian tubuh dan jiwa maka kasih sayang akan muncul dengan sendiri. Teori ini ada benarnya tetapi bukan kepada semua pasangan. Lagipun kasih sayang dan cinta merupakan dua perkara yang tidak sama. Kita boleh mencurahkan kasih sayang kepada ramai orang, tetapi mustahil cinta sejati seorang lelaki dapat dikongsi oleh ramai perempuan. Begitu juga cinta sejati seorang perempuan tidak mungkin dapat dikongsi oleh ramai lelaki.
Perkahwinan bukan syarat melahirkan cinta. Akibatnya, selepas bertahun-tahun mendirikan rumah tangga - mungkin sudah bergelar bapa atau ibu - cinta belum bersemi. Jadi, ramai suami isteri yang masih tercari-cari cinta. Kedengaran pelik, suami isteri mencari cinta. Tetapi begitulah hakikatnya perkahwinan bukan atas dasar cinta sama cinta. Bagaimana seandainya cinta yang tercari-cari itu akhirnya ditemui di luar daripada rumah tangganya? Maka terjadilah perzinaan hati yang penuh dosa-dosa. Hati yang tergoda bisa mengundang durjana. Dan dia pasti lemas dalam himpitan cinta dan tanggungjawab selaku seorang suami atau isteri.
Mencintai orang lain yang bukan suami atau isteri sendiri merupakan petaka yang menyeksakan batin. Tidak dinafikan bahawa cinta terlarang kekadang indah, manis dan menyeronokkan, tetapi kesan dan akibatnya terlalu berat. Dan keadaan bertambah teruk apabila individu tersebut terjerumus begitu mendalam ke dalam cinta terlarang itu.
Untuk mengelakkan zina hati berterusan, untuk mengelakkan krisis rumah tangga berpanjangan atau untuk tidak terus mempermainkan perasaan pasangan, maka perceraian merupakan pilihan terakhir. Namun, pilihan terakhir tidak semudah diucapkan. Setiap pasangan ada tanggungjawab yang berat harus dipikul. Gelaran suami isteri bukan gelaran yang boleh "dilucutkan" sewenang-wenangnya. Masa depan anak-anak bagaimana? Masa depan sendiri bagaimana? Banyak liku-liku kehidupan mendatang yang harus diperhitungkan. Takut juga apabila yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.
Keputusan terakhir ialah bercerai dan masing-masing menentukan haluan sendiri? Boleh sahaja bercerai sekiranya kedua-dua belah pihak rela berbuat begitu. Keputusan untuk bercerai merupakan keputusan yang berani, dan bermaruah walaupun sukar. Daripada hidup mempermainkan perasaan orang lain sepanjang masa, lebih baik sakit untuk sementara waktu.
Bagaimana kalau tidak cukup berani? Maka terdapat individu yang memutuskan untuk terus hidup bersama pasangannya dan pada masa yang sama dia merelakan permainan cinta di luar batasan rumah tangga. Sampai bila keadaan begini akan berterusan? Hanya mereka yang berada dalam situasi ini sahaja dapat memberikan jawapan yang tepat.
1 comment:
Semoga kita harmonikan terus mahligai yang kita bina dari kasih sayang
Post a Comment