Tuesday, March 17, 2009

Sahabat Karib RM500 Sahaja

Sahabat baik bukan senang dicari. Sahabat jenis ketawa bersama, menangis seorang ramai. Sahabat makan bersama, bayar seorang lagi ramai. Sahabat tidur bersama, tanggung risiko seorang juga ramai. Tetapi sahabat yang ketawa bersama, menangis bersama sukar dicari. Sepanjang hayat nak dapat seorang pun susah. Kebanyakan yang menangis ketika kita menangis hanya ahli keluar dan sanak saudara. Oleh itu, sesiapa yang dapat sahabat yang menangis ketika dia menangis, maka beruntunglah itu.

Sahabat yang sama-sama menangis sewaktu tersesat di puncak bukit atau hutan belantara tidak masuk kategori ini. Ini bukan menangis kerana sahabat tetapi kerana takut mati. Sahabat yang menangis sewaktu sahabatnya yang berhutang kepadanya sedang sakit bukan boleh dipercayai sangat kerana mungkin dia menangis kerana terfikirkan hutangnga. Malah sahabat yang menangis apabila kita menangis ketika mengupas bawang merah langsung tidak ada kena mengena dengan nilai persahabatan.

Tangisan Si Luncai ketika melihat raja bercukur bukan kerana kesian kepada raja tetapi dia teringat kepada bapanya. Padan dengan muka apabila dia dicampak ke laut dengan labu-labunya. Bagaimana pula dengan tangisan Hang Tuah sesudah menikam sahabatnya Hang Jebat, kerana persahabatan atau ketaatan kepada raja? Dalam sejarah banyak kisah sahabat mengkhianati sahabat. Bukan sahabat namanya kalau mengkhianati sahabat, tetapi musuh berbulu sahabat (ciplak daripada musang berbulu ayam).

Berbalik kepada sahabat yang baik. Sebenarnya sahabat yang baik ada pelbagai jenis. Ada yang baik sebaik-baiknya. Ada yang baik ala kadar sahaja. Ada pula yang baik pada masa tertentu sahaja. Dan ada yang baik masa kita baru dapat gaji. Jenis terakhir ini ramai. Di pasaran terbuka dijual timbang. Kita dapat gaji sahaja dia datang. Hidungnya tajam dalam bab menghidu duit gaji orang. Datang sahaja terus berkata: "Bang, pinjam duit ... bla, bla, bla!" Kita pun bagi tanpa sebarang bla, bla kerana percaya akan kata-katanya. Janji dua minggu akan bayar tetapi dua bulan belum nampak batang hidung. Macam mana dia nak bayar kalau duit tidak ada. Bagaimana dia nak ada duit kalau kerja tidak buat. Duit tidak akan jatuh dari langit. Duit bukan air yang boleh disejat jadi awan dan turun sebagai hujan.

Duit kekadang menjadi punca hilang kawan. Aku pernah ada seorang sahabat yang akrab. Kami berkawan hampir enam tahun. Akrabnya kami, seluar dan baju selalu berkongsi pakai. Baju aku, baju dia. Seluar dia seluar aku. Kekasih dia, kekasih aku. Kekasih aku, kekasih aku seorang. Gurau sahaja. Mana ada orang tukar kekasih. Gila.

Masuk tahun terakhir dia belah tanpa khabar berita. Puncanya kerana duit. Dia minta pinjam aku RM500.00. Janji dua minggu bayar. Dua bulan belum bayar. Dia malu walaupun aku tidak pernah minta. Dia menjauhkan diri, lama-lama terus hilang entah ke mana. Khabar berita langsung tidak ada. Sebenarnya kalau dia tidak bayar pun tidak apa kerana aku telah menganggapnya sebagai menolong kawan. Tetapi dia sendiri yang malu dan memutuskan perhubungan. Duit RM500.00 apa sangat berbanding dengan nilai persahabatan. Tetapi itulah hakikat manusia.

Pinjam duit satu dilema dalam persahabatan. Tidak memberi pinjam takut dikatakan kedekut dan tidak menghargai persahabatan. Memberi pinjam, takut dia lari dan memutuskan persahabatan.

Seorang kawan aku memberitahu petuanya begini: "Aku pantang beri pinjam kepada kawan kerana takut hilang kawan. Jadi, bila dia tak ada makan, aku bagi dia makan. Dia tak ada seluar, aku belikan seluar. Dia tak ada baju, aku belikan baju."

Aku berkata: "Sekali-sekala okey, tapi kalau selalu, terjelir lidah kita dibuatnya. Dan bagaimana kalau dia tak ada bini?"

1 comment:

Desbil said...

Paling di takuti adalah kawan makan kawan....:[