Saturday, March 7, 2009

Main Tarik Tuala

Mendirikan rumah tangga sangat senang tetapi memelihara kebahagiaannya bukan mudah. Rumah tangga yang bahagia melanjutkan usia cinta penghuninya. Kebahagiaan yang hilang bakal meragut suci cinta. Rumah tangga tidak dapat terus berdiri tanpa cinta. Cinta dan bahagia adalah pasangan yang tidak boleh dipisahkan. Cinta tidak ada makna tanpa bahagia, begitu juga bahagia tidak mungkin wujud tanpa cinta.

Walaupun sewaktu bercinta, lafaz janji setia sehidup semati disaksikan ombak, laut dan pantai, tanpa kebahagiaan hidup, lafaz itu akan berantakan meninggalkan janji-janji kosong sebagai kenangan. Pasangan yang sedang dilamun cinta pasti menafikan kata-kata aku. Mereka yang sedang mengecapi kebahagiaan rumah tangga juga akan menggeleng. Tetapi bagi mereka yang pernah melalui detik hitam berumah tangga tentu mengaku bahawa katak-kataku bukan omong kosong. Sukar untuk dipercayai bahawa kebahagiaan yang hilang mampu melanjutkan kelangsungan rumah tangga sehingga ke penghujung usia.

Maka pakar motivasi rumah tangga bahagia pun berebut menghamburkan petua-petua untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Ketika memandu ke Putrajaya suatu pagi yang dingin di kolong langit yang mendung, dari corong radio aku mendengar seorang pakar motivasi sedang membebel tentang rumah tangga bahagia.

Sebelum pergi kerja, kata pakar motivasi itu, peluk isteri dahulu erat-erat. Pelukan boleh menyebabkan badan mengeluarkan sejenis hormon kasih sayang. Ini aku percaya. Memulakan hari baru dengan berpelukan dengan orang yang kita sayang memang mampu menyegarkan tubuh dan minda. Pesan aku, bagi pasangan yang belum kahwin, petua ini bukan untuk kalian -jangan diamalkan kerana akan merangsang hormon nafsu.

Sentiasa bergurau senda. Pasangan harus kreatif bersenda, mencuit, menepuk punggung dan sebagainya untuk menimbulkan keceriaan. Maksudnya, pasangan mesti selalu berdampingan. Waktu makan, menonton TV atau membaca biarlah selalu berlaga lutut, bergesel kaki, atau berhimpit di sofa dapat melahirkan keceriaan dan kebahagiaan. Cubit-cubit manja sekali sekala ibarat menambah perisa dalam rumah tangga.

Bergurau-senda, usik-mengusik, cubit-cubit dan ketawa-ketawa menjadi perkara biasa bagi pasangan yang baru kahwin yang sedang menikmati kemanisan madu cinta. Kekadang cubit-cubit dan ketawa-ketawa boleh menyebabkan pasangan masuk tidur awal. Namun, bagi pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga dan telah beranak pinak, jarang benar bergurau senda, apatah lagi usik-mengusik kerana malu anak-anak. Inilah silapnya. Tetapi gurau senda harus pada batasnya. Gurau senda yang berlebihan akan mencederakan perasaan dan memungkinkan pergaduhan tanpa diundang.

Celaka! Aku sumpah dalam hati. Sebuah kereta beleduh yang dipandu laju memotong kereta aku dengan kurang ajar. Rakyat Malaysia selalu hilang sopan ketika memandu. Perasaan aku sedikit terganggu. Aku kembali ceria apabila terdengar pakar motivasi berkata: "Pasangan boleh main tarik tuala!"

Kedengaran juruhebah wanita yang baru dikurniakan anak itu ketawa. Aku turut tersenyum dalam hati. Main tarik tuala bukan sekadar dapat melahirkan kebahagiaan rumah tangga, bahkan dapat menambahkan ahli keluarga!

Bagi aku, cinta yang sedikit tetapi berterusan tanpa putus laksana air sungai yang sentiasa mengalir biarpun pada musim kemarau, lebih baik daripada cinta yang banyak tetapi hanya untuk sementara waktu.

2 comments:

Anonymous said...

bagus petua nih. huuhuhuh

Pok Li said...

Salam MauliduRasul. Petua yang perlu diamalkan.