Thursday, March 12, 2009

Penjual Bunga, Penjaja Cinta

Aku baru sahaja tiba di The Ship, Jalan Bukit Bintang - tiga segi emas Kuala Lumpur ketika telefon komunikator di pinggangku berlagu romantik Mariah Carey. Aku melihat nombornya dan tahulah aku bahawa dia, orang yang aku kenal beberapa bulan lalu sedang di talian.

Dia mengingatkan aku esok hari jadinya. Oh, aku hampir terlupa! Betapa lalainya aku sehingga terlupa hari jadi dia. Walaupun kenalan tidak lama, tetapi persahabatan kami akrab. Hari jadi aku yang lalu, dia berikan hadiah yang aku suka - sebuah buku novel falsafah Barat. Esok hari jadi dia, aku tidak boleh membiarkannya berlalu tanpa sebarang hadiah. Perempuan akan sentiasa ingat kepada lelaki yang tidak melupakan hari jadinya. Oh, aku terasa seperti tidak sabar menunggu hari esok! Aku mahu dia mengingati aku sentiasa. Aku mahu menjadi orang pertama mengucapkan selamat hari jadi kepadanya.

Lantas aku keluar dari The Ship tanpa sempat menghabiskan minuman. Aku menghubungi kawan. "Hello, di mana ada kedai jual bunga?"

"Malam-malam buta nak beli bunga, kau gila?"

"Aku serius ni!"

"Kau di ceruk mana sekarang?"

"Bukit Bintang."

"Cuba tengok dekat 7 Eleven."

"OK!"

Aku tutup telefon dan bergegas ke 7 Eleven. Kedai bunga masih dibuka. Malam di Bukit Bintang tidak pernah tidur. Manusia berlegar di sana sini sepanjang siang dan malam. Bunga sentiasa bertukar tangan kerana di sini cinta adalah bunga dan bunga adalah cinta. Malam itu Bukit Bintang ceria di bawah langit suram. Namanya Bukit Bintang tetapi lagitnya tanpa bintang-bintang.

Seorang perempuan, penjual bunga, berdiri di depan kedai. Aku senyum kepadanya. Dia membalas senyumanku dengan ikhlas - manis dan menawan seperti sekuntum mawar merah.

"Saya mahu beli bunga!" kataku.

"Beli bunga?" balasnya dengan mata terbelalak sedikit seperti terkejut. Mungkin dia tidak dapat menangkap kata-kataku.

"Ya, saya nak beli bunga," kataku. "Bunga mawar merah."

"Oh!" Dia tersenyum sumbing sambil menancapkan pandangan matanya ke mataku.

"Sekuntum berapa ringgit?"

Dia masih tersenyum. "Kenapa terburu-buru? Bunga takkan habis. Banyak tu!" Dia menunjukkan bunga di dalam kedai dengan mulutnya.

Aku mengangguk perlahan. Bunga-bunga aneka jenis memenuhi kedai yang tidak seberapa besar. Di dalam kedai ada seorang budak lelaki sedang menyusun jambangan bunga di dalam baldi plastik. Mungkin pekerjanya.

"Nak beli sekuntum sahaja?" tanyanya selamba. Dia memerhatikan aku dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas. Aku menjadi sedikit resah dengan pandangan begitu.

"Tentulah sejambak. Ini bunga istimewa untuk orang yang istimewa!" kataku dengan yakin.

"Bunga istimewa untuk malam yang istimewa. Bukankah begitu?"

"Ya-ya. Malam istimewa!" Malam istimewa kerana aku mahu jadi orang pertama membawa bunga kepada dia. Tepat jam 12.00 malam aku akan ke rumah dia. Aku seperti tidak sabar-sabar untuk mendengar ucapan terima kasih melecus keluar dari bibir seksinya sambil mencium bungaku.

"Silakan!" Dia mempersilakan aku sambil berjalan ke sebuah kedai kopi di tepi kedai bunga. Aku hairan, tetapi aku ikut langkahnya tanpa sebarang kata. Barangkali dia mahu minum segelas air dahulu sebelum memilih bunga untuk aku. Dia duduk di sebuah meja. Aku duduk di depannya.

"Minum apa?"

"Terima kasih, saya baru minum!"

"Oh! Kalau begitu kita terus bincang tentang bunga."

"Ya."

"Mawar merah?"

"Ya, mawar merah."

"Kenapa minat mawar merah?"

"Apa?"

"Oh, ya, untuk orang teristimewa tentulah mawar merah, atau mawar jingga."

"Begitulah."

"Sekarang bunga mawar merah sangat laku. Harganya mahal sikit."

"Saya tak kisah." Aku memang tidak kisah kerana harga sejambak bunga tidak akan membuatkan aku miskin. "Mahal tu, berapa?"

"Datang dengan kereta?"

"Kereta." Banyaknya penjual bunga ini menyoal. Jangan-jangan dia juga nak tahu aku tinggal di mana, kerja apa dan gaji berapa?

"Awak tinggal di mana?"

Ya, Tuhan! Betul sangkaan aku. Apa kena mengena tempat tinggal aku dengan bunga. Banyak hal betul.

"Kalau tak sudi nak jawab, tak mengapa," katanya seolah-olah dia dapat membaca fikiranku. "Adakah bunga akan diserahkan di rumah atau di hotel?"

Ini sudah kira melepasi batasan urusan jual beli bunga. Kawan aku, aku mahu berikan bunga kepadanya di tempat mana - di rumah, hotel, bukit, laut, sungai, hutan atau belukar ikut suka hati akulah, bentak hatiku mula hilang sabar. Penjual bunga ini rasanya sedang diserang "bulan mengambang", fikirku. Orang berkata, perempuan masa "bulan mengambang" bersikap pelik-pelik.

"Bolehkah saudari ambilkan bunga untuk saya sekarang?"

"Beli bunga mesti sabar, barulah dapat bunga segar," katanya sambil menghirup air. "Kita belum tentukan harganya."

"Sejambak berapa?"

"RM300."

"Hah!" Aku terperanjat. Sejambak bunga harganya melambung sehingga RM300.

"Rasanya awak tak biasa beli bunga. RM300 tak mahal. Dari Bosnia. Lawa dan teristimewa."

"Dari Bosnia? Bukan dari Cameron Highlands?"

"Awak nak bunga dari Cameron Highlands."

Aku menjadi keliru lalu terdiam sejenak. "Aku suka bunga tempatan."

Dia kembali tersenyum. "Okey, diskaun 50%. Sekarang?"

"Sekarang!"

Dia bangun dan menarik tangan aku keluar dari kedai kopi. Aku terpinga-pinga. "Keretanya di mana?"

Aku tercengang. Dia membetulkan leher baju aku dan mencubit pipi aku sekali. Dia cuba hendak merangkul aku, tetapi aku sempat menahan tangannya. Aku mula menjadi takut. Aku terasa sesuatu yang pelik sedang berlaku. Aku memerhatikan dia, kemudian melihat ke dalam kedai bunga. Budak lelaki di dalam kedai sedang melayan pelanggan. Aku memerhatikan dia sekali lagi - seorang yang cantik dan sopan tetapi aku bukan pelanggan yang dinanti-nantikan.

"Tak perlu hotel 5 star, buang duit. Hotel biasa pun boleh!" Dia berkata, cuba memegang tangan aku sekali lagi. Aku menepis dengan hormat.

"Maaf, saya kira kita sudah salah faham," tegasku, lalu minta diri dan beredar dari situ. Dia terpinga-pinga. Aku tersilap besar. Dia bukan penjual bunga, tetapi penjaja cinta.
Dia tidak keseorangan kerana ketika aku meninggalkan dia, aku nampak beberapa orang perempuan seperti dia sedang berlegar-legar di sekitar kedai bunga, di siar kaki dan di lampu isyarat. Bukit Bintang sudah jadi seperti Kota London, kunang-kunang bermain cahaya di jalanan.

Sewaktu dalam kereta, aku menelefon kawan sekali lagi: "Selain di Bukit Bintang, di mana lagi ada kedai bunga buka waktu malam?"

Aku terus memecut kereta meninggalkan Bukit bintang. Selamat tinggal penjual bunga! Selamat tinggal mawar merah!

Langit malam di Bukit Bintang semakin kelam.














No comments: