Sunday, September 28, 2008

Kerja Itu Ibadat

8.00 pagi - Aku pergi meninjau projek kondominium mewah 48 tingkat di ibu kota untuk memastikan segala kerja berjalan lancar. Projek harus disiapkan mengikut jadual. Lewat disiapkan bermakna syarikat akan menanggung kos yang berlebihan. Reputasi aku juga akan merosot.

Semuanya okey. Sebelum pulang aku menjenguk pejabat konsultan. Seperti biasa Encik Amran sudah berada di pejabatnya. Member aku yang seorang ini memang gila kerja. Orang lain cuti, tetapi dia lebih suka memanfaatkan masa di pejabat.

"Ehh, ingatkan sudah balik kampung?" soalku.

"Woit, engkau punya kerjalah ni!" balas Encik Amran.

"Saya?"

"Yalah. Engkau lambat submit, aku yang susah," tegasnya sambil senyum. "Tak adalah, gurau saja. Aku kan orang KL. Nak balik kampung mana?"

"Orang rumah?"

"Mungkin Hari Raya Kedua. Ipoh dekat saja."

Aku duduk di depan Encik Amran. Memang betul dia sedang tanda tangan 'as build drawing' daripada syarikat aku. Drawing tersebut mesti disiapkan sebelum Hari Raya.

Aku betul-betul kagum melihat komitmen Encik Amran terhadap kerja. Secara terus terang aku kata, sukar mencari seorang konsultan yang serajin Encik Amran. Hari Ahad pun kerja sekiranya banyak kerja yang harus disegerakan.

"Kau ada baca berita seorang pelajar mati ditimpa dinding asrama?" tanya Encik Amran.

"Ya."

"Apahal?" Encik Amran tersenyum. "Tanggungjawab kita besar sebenarnya, Putera. Kalau kita main 'tibai' saja, ramai nyawa akan terbang."

Aku mengangguk faham. Semua kerja pembinaan mesti dijalankan mengikut prosedur dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Buat ikut drawing yang telah diluluskan. Tetapi hakikatnya manusia gemar memilih jalan pintas. Bukan jalan pintas untuk siapkan projek tetapi jalan pintas untuk kaya. Korupsi. Gejala korupsi bakal menyebabkan bangunan retak dan runtuh. Ratusan nyawa akan terkorban bersamanya. Siapa yang harus bertanggungjawab? Semuanya lepas tangan. Semuanya bebas. Korupsi yang 'profesional' seperti halnya dengan konspirasi yang 'profesional' - tidak mungkin dapat dihidu oleh BPR yang profesional.

Dalam hal korupsi ini aku respek Encik Amran. Aku pernah mendengar khabar bahawa beliau pernah ditawarkan RM200,000 untuk 'memudahkan' kerja, tetapi ditolak dengan tegas. Orang seperti Encik Amran Bin Daud ini dapat mengelakkan keretakan kondominium, jambatan, jalan raya, sekolah, hospital dan sebagainya.

11.00 pagi - Aku balik ke rumah.

1 comment:

kuIna said...

ur a rite "keja itu ibadah" hasil kerja jd darah daging yg membentuk kebersihan hati.

professional is our profession but no body perfect!