Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa!

"Siapa lebih penting antara bapa dan ibu?"

"Siapakah yang lebih anda sayang, bapa atau ibu?"

"Kalau terpaksa memilih, anda suka tinggal dengan bapa atau ibu?"

Pertanyaan seperti di atas mungkin pernah kita dengar masa alam persekolahan dahulu. Tetapi sukar sekali untuk menjawabnya. Walaupun barangkali ramai yang cenderung memilih untuk tinggal dengan ibu, namun ini tidak membuktikan bahawa ibu lebih penting daripada bapa.

Sambutan Hari Bapa tidak semeriah Hari Ibu. Bukan kerana bapa tidak sepenting ibu. Bapa dan ibu sama penting. Walaupun istilah ibu lebih popular seperti ibu pertiwi, ibu negara, ibu gula, ibu tangga, ibu kunci, dan lain-lain, namun peranan bapa sama hebat dengan peranan ibu dalam membesar dan mendidik anak-anak. Malahan tanpa "kerjasama" bapa, mustahil anak dapat dilahirkan.

Manusia tidak seperti haiwan lain. Manusia memerlukan penjagaan ibu dan bapa. Binatang hanya dibesarkan oleh ibu sahaja, kecuali spesis tertentu. Manusia pun boleh dibesarkan oleh ibu atau bapa sahaja tetapi pembesarannya dari segi psikologi dikatakan tidak lengkap. Anak-anak memerlukan kasih sayang kedua-dua ibu bapanya.

Pakar kanak-kanak mengatakan anak-anak yang membesar tanpa bapa cenderung menjadi anak nakal. Entahlah, aku tengok beberapa orang kawan aku yang dipelihara oleh ibu tanpa bapa tetapi menjadi anak-anak yang baik dan soleh. Manakala ramai yang dibesarkan oleh ibu bapa berperangi seperti syaitan. Bukan tujuan aku mempertikaikan pendapat pakar, tetapi bukan semua pendapat mereka aku setuju. Aku lebih yakin bahawa cara pengasuhan yang menentukan sikap anak-anak. Pengasuhan yang baik oleh ibu atau bapa yang baik akan membentuk psikologi dan sahsiah yang baik ke atas diri anak-anak. Persekitaran, terutamanya pergaulan amat mempengaruhi sikap kanak-kanak. Aku tidak menafikannya. Namun, kanak-kanak yang diberikan "kekuatan mental" yang mencukupi, sukar dipengaruhi oleh persekitaran.

Walau bagaimanapun, tiada siapa yang dapat menafikan pengorbanan bapa dalam membesarkan anak-anak. Oleh itu, selaku anak-anak, kita mesti sedar dan insaf akan peranan dan pengorbanan bapa yang rela berkorban nyawa untuk kita. Bapa ialah pemimpin keluarga, sumber rezeki, melindungi keluarga daripada ancaman dan sebagainya. Keimanan, sikap dan tanggungjawab bapa menentukan masa depan seisi keluarga.

Siapalah anak-anak tanpa bapa. Seburuk mana bapa, tetapi bagi anak-anaknya, bapa tetap manusia mulia. Oleh itu, hati bapa mesti dijaga. Seburuk mana bapa, dia tetap bapa kita. Tidak ada faedahnya, misalnya kita meratap di kuburnya, bersedu-sedan, dan mengalirkan air mata bak sungai, sedangkan masa hidupnya kita abaikan dia.

Malahan aku pernah melihat ada anak yang "begitu baik" dengan bapanya setelah bapanya jatuh sakit. Dia bertanya bapanya mahu makan apa. Dia rela membelikan apa-apa sahaja makanan kepada bapanya, sedangkan bapanya ketika itu tidak mampu menelan apa-apa lagi. Bapanya hanya menggeleng kerana itu yang mampu dilakukannya. Masa bapanya sihat, sepatah haram tidak pernah keluar dari mulut si anak: "Bapa mahu makan apa?" Abila bapa sakit dan mulut pun tidak bisa ternganga, makanan dari satu dunia mahu disuapkan ke mulut bapanya.

Hari ini kita menjadi anak (anak lelaki) hari esok kita akan menjadi bapa. Hari ini, andainya kita melukakan hati bapa kita, hari esok kita akan merasa pedihnya apabila anak-anak pula melukakan hati kita. Hukum karma ada menjelaskan, kita akan mendapat hasil daripada apa yang kita lakukan. Kalau kita mengabaikan bapa (juga ibu), anak-anak kita juga akan mengabaikan kita. Oleh itu, selaku anak-anak, jagalah bapa dengan baik.

Orang tua memang ada sedikit kerenah yang kurang menyenangkan, tetapi dia tetap orang tua kita. Membuang bapa ke pusat jagaan orang-orang tua bukan budaya kita, tetapi itulah amalan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan. Aku selalu juga melawat pusat jagaan orang-orang tua. Aku begitu tersentuh hati melihat mereka saban hari menanti kedatangan anak-anak, tetapi sehingga akhir hayat penantian itu tidak pernah termakbul. Aku tidak mengerti manusia jenis apa yang sampai hati melupakan ibu bapa mereka.

Hubungan ibu bapa dan anak-anak memerlukan hubungan dua hala. Tidak boleh mengharapkan anak-anak sahaja melayan ibu bapa dengan baik, sebaliknya ibu bapa melayan anak-anak seperti anak kucing. Sekiranya kita jadi ibu bapa, kita juga mesti tahu akan tanggungjawab kita.
Jangan jadi bapa haruan yang makan anak sendiri. Jangan jadi ibu kura-kura yang selepas menelur terus berenang ke laut dan membiarkan anak-anak menetas dan membesar sendiri.

Bapa memainkan peranan penting dalam membesar dan mendidik anak-anaknya. Oleh itu, wajarlah jasa bapa dikenang dan diraikan setahun sekali sebagai memenuhi tuntutan universal. Tetapi tuntutan budaya dan agama kita, jasa bapa atau ibu mesti diraikan setiap hari, setiap jam, setiap saat dan setiap detik nafas!

8 comments:

SIS said...

salam tn..anak2 yang membesar tanpa bapa selalunya susah nak cemerlang...hubungan bapa dan anak mmg unik...walau bapa tak melahirkan tapi dia perlu untuk mendidik...klau tak buat apa Tuhan ciptakan bapa...antara lembut si ibu dan keras si bapa baru dapat membentuk anak2 yang seimbang.

Prasert Chaipradit said...

Betul juga kerana anak, terutama anak lelaki lebih berdisiplin apabila ada bapa. Budak yang berdisiplin cenderung cemerlang dalam pelajaran.

Baimai said...

Ibu dan Bapa kedua-duanya sama penting!.Betul tak Tn blogger ?

Untuk Desbil komen lah cikit tentang Hari Bapa anda. Mesti Desbil seorang yang manja pada bapa selain dari ibu.

lo mo so said...

SELAMAT HARI BAPA...

Kepada rakan-rakan dan umat lelaki sekalian, yang sudah bergelar bapa atau yg. belum lagi mendapat gelaran seorang bapa....usah bimbang,klu anda seorang lelaki tulen nescaya suatu hari nanti anda akan menikmati gelaran yg. mampu menyambung zuriat manusia di atas muka bumi ini.

Sebagai seorang MANUSIA LELAKI, jadilah seorang bapa yang bertanggungjawab...peliharai dan pertahankan ciri-ciri murni sifat kelakian tersebut.

Janganlah sampai nanti kaum yang lagi satu tu...(yang agak lemah sikit tuu..heh..he..he..)membuli atau memperli kita sebagai bapa yang tak berguna dan tak bermaruah.

Janganlah sampai mereka menggelar bapa manusia ni sama dengan bapa binatang saperti:-

1. BAPA AYAM: Tak bertanggungjawab, tau buat telor,buat anak saja tapi tak tau memelihara anak!!!

2. BAPA BELANGKAS: Yang ni lagi teruk, seumur hidup dia cari makan dok tenggek kat belakang betina saja.Dasar pemalas pahit,klu tak ada betina pupuslah umat dia di bumi ini.BARUA PUNYA JANTAN!!!!

Ya lar.. khun Baimai, kemana perginya si Desbil nih...jangan-jangan dah merajuk terkena pukulan si Anon hari tu kot?

Tuan Blogger tlg sampaikan salam pada Desbil Sayang, katakan ada orang rindukan komennya.

TERIMA KASEH TUAN.

Prasert Chaipradit said...

Bapa belangkas bertenggek atas belakang emak belangkas sebab matanya buta, takleh cari makan sendiri, kena tumpang bini.

Bapa haruan pun sama, takleh cari makan di luar, makan anak sendiri.

Desbil said...

Bapa/abah/ayah/daddy dan banyak lagi cara seorang anak memanggil ayahnya.Jasa dan kasih sayang seorang ayah tak ternilai harganya.Bapa sebagai breadwinner, bapa sebagai penyumbang dalam membentuk peribadi seorang anak.Tanpa ayah kita semua tak akan jadi seadanya seperti sekarang.

Anak tanpa bapa umpama tangga yang patah pemegangnya.Tak lengkap sebuah keluarga tanpa kehadiran seorang yang bernama ayah walau pun kehidupan masih boleh diteruskan tanpa seorang ayah.

untuk semua daddy tapi tak termasuk sugar daddy,bapa haruan dan mcm2 bapa yang tak tergolong dalam bapa sejati, terimakasih kerana jadi ayah yang baik kepada anak2 kalian.

Untuk Tuan Blogger,Baimai dan Lo Mo So, Desbil tahu kalian adalah bapa2 yang sejati dan penuh kasih sayang pada anak2. Semoga kalian bertiga akan sihat sejahtera bersama anak tersayang.

Razzzz...untuk Baimai dan Lo Mo So..dah terlepas rindu ker ;D..he he he..

lo mo so said...

Selamat sejahtera dan selamat pagi Des. Syukorlah anda sihat-sihat, k.Bukan setakat saya saja yg. rindukan anda lama menghilang tu..Tuan Blogger gak rindukan anda,Wlpun taklah sesampai makan hati berulam jantung...tapi saya boleh rasakan.! He...he...heh..

Prasert Chaipradit said...

Aku rindu semua orang yang masuk blog CKL, terutamanya yang tinggalkan komen.