Saturday, June 5, 2010

Muzium Orang Asli

Sempena curi Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong, aku pergi melawat Muzium Orang Asli di Gombak, Selangor. Hebat juga muzium Orang Asli ini. Kos pembinaan bangunan muzium dua tingkat ini menelan belanja RM3.3 juta. Walaupun saiznya tidak seberapa besar, tetapi kemas, rapi dan bersih. Tidak rugi melawatnya.

Banyak benda berkaitan Orang Asli - bahan sejarah dan budaya - dapat kita saksikan. Siapa yang berminat dengan sejarah dan budaya Orang Asli, atau hendak membuat kajian tentang mereka, berkunjunglah ke sini.

Orang Asli ini terdiri daripada berpuluh-puluh suku dan sub-suku yang tinggal bertaburan di Semenanjung Malaysia.

Terdapat ratusan barang lama dan baru yang berkaitan kehidupan Orang Asli dipamerkan di muzium ini. Daripada jenis rumah, sumpit, peralatan dapur, peralatan kegunaan harian sehinggalah kepada replika kubur dapat disaksikan.

Sayangnya, pelawat tidak dibenarkan menghidupkan kamera di dalam muzium. Hanya di Pusat Kraf sahaja kamera boleh dihidupkan.



Pintu masuk ke Muzium Orang Asli.



Beliung gergasi yang bersilang di depan muzium jikalau terjatuh ke atas kepala, terbelah tengkorak.


Ini pusat kraf tangan.
Harimau Berantai ini pernah mendapat hadiah nombor 1 di pameran kraf di London kerana ia diukir daripada sebatang kayu tanpa sebarang sambungan. Wah, bayangkan sebatang kayu diukir sebegitu rupa. Hebat sungguh kerja seni orang Malaysia. Harganya RM35,000.


Ukiran-ukiran kayu ini amat menarik. Dengan bakat, kemahiran dan kesabaran barulah hasil seni tangan ini dapat disiapkan. Aku sendiri pernah ukir patung kayu, tetapi hasilnya tak sehebat mana.

Ini sebahagian daripada Raja Kayu "lut sinar" yang terdapat di pusat kraf. Memang pelik kerana kayu ini dapat ditembusi cahaya lampu suluh. Biasanya plastik atau batu permata berkualiti tinggi yang telus cahaya, tetapi ini kayu. Tentulah bukan sebarang kayu. Menurut cerita empunya penjualnya yang berbuih-buih mulut bercerita kepada aku, khasiat Raja Kayu lut sinar ini pelbagai, antaranya pelindung diri, pengubat histeria dan mengubat aneka penyakit. Aku tak mampu nak terangkan kesemua cerita dia kerana telinga aku jenis masuk kanan keluar kiri. Cukuplah setakat aku katakan, kayu ini banyak khasiatnya. Harganya sehebat khasiatnya. Paling murah RM90 bagi sebiji yang paling kecil.


Tembikar - hasil seni tangan yang halus dan menarik. Aku memang suka benda-benda begini. Masa budak-budak dahulu, apabila pergi mandi tali air, aku dengan kekawan suka ukir patung lembu jantan dengan tanah liat.

Sunday, May 30, 2010

Sungai Tua Mengalir Lesu


Semalam hari Sabtu, aku memandu ke Sungai Tua, Ulu Yam. Dalam perjalanan, singgah sebentar di empangan, menikamati keindahan pemandangan tasik yang membisu, biru dan hening. Angin di tepi tasik mati. Panas meruap. Mentari bulan Mei memang menggigit. Beberapa orang kaki pancing kelihatan sabar menunggu ikan di tebing.

Aku bersama kamera DSLR - hobi baru - mengambil beberapa gambar pemandangan tasik yang terbentang. Hasilnya - bisa mentertawakan - aku tidak berupaya mengoperasikan kameraku sebaik mungkin bagi menghasilkan foto yang baik. Ah, orang baru ... hasilnya pun baru - tidak selumayan hasil profesional. Banyak sungguh yang harus dipelajari tentang DSLR dan seni fotografi ni!

Tiba di Sungai Tua, awan mendung mula berarakan di langit kelabu. Angin yang mati di tasik mula hidup. Dari satu sudut aku ralit memerhatikan seorang kanak-kanak makan ais krim. Aku turut mencuba. Hmm... memang sedap ais krim ketika cuaca panas.

Selepas bayar RM1.00 bagi hutan lipur yang tiada apa-apa yang menarik - kecuali air Sungai Tua; betul-betul tua - mengalir lesu di celah-celah batu yang berlumut. Dinginnya menikam tulang apabila berendam di dalam air yang jernih dan sejuk itu. Orang dewasa dan kanak-kanak bermandi keriangan. Sepasang merpati aku lihat bercumbu-cumbuan di sebalik pokok.

Di sana sini kelihatan khemah yang didirikan oleh pengunjung. Asap BBQ menyelubungi pusat rekreasi. Bau daging bakar tersebar luas.

Untuk ke seberang sana, aku terpaksa melalui jambatan gantung usang yang bergoyang-goyang. Papan lantainya pula sudah reput dan ada yang telah patah. Berbahaya sekali. Namun, pengunjung tiada pilihan. Mereka terpaksa menggunakan jambatan gantung kerana 'rest room'nya terletak di sebelah sana.

Tidak sampai satu jam, aku meninggalkan Sungai Tua untuk pulang ke KL.






Sunday, May 16, 2010

Antara Kita Berbeza


Lazimnya kita melihat orang lain melalui kaca mata kita semata-mata. Jikalau kita orang senang, atau orang berada kita cenderung menganggap orang lain juga orang senang atau orang berada. Jikalau kita orang tidak bermoral, kita juga sering melihat orang lain juga tidak bermoral. Dan sekiranya kita jenis manusia yang tidak boleh dipercayai kerana pantang melihat benda orang pasti meleleh air liur, kita juga akan menganggap orang lain juga seperti kita iaitu tidak boleh dipercayai.

Jarang kita melihat orang lain melalui kaca mata orang tersebut. Apabila melihat orang lain susah, kita berasa simpati, malah turut melahirkan perasaan sedih. Hanya setakat itu. Jarang kita berfikir secara bersungguh-sungguh untuk menghulurkan bantuan. Bukan tidak ada, tetapi jarang. Bahkan yang ada pun, tahap kesungguhannya masih meragukan, umpama kata pepatah 'melepaskan batuk di tangga'.

Sikap melihat orang lain juga seperti kita adalah sikap yang tidak baik diamalkan. Seandainya kita bersikap dengki dan suka mengadu kepada bos tentang rakan-rakan sepejabat, maka kita juga cenderung menganggap rakan-rakan kita juga bersikap seperti kita. Contohnya, apabila kita melihat rakan sepejabat yang kebetulan tidak sebulu dengan kita masuk bilik bos, maka mulalah kita membuat pelbagai tanggapan negatif. Padahal hakikatnya dia masuk bilik bos kerana urusan kerja dan tiada sepatah kata pun tentang kita disebutnya. Sikap buruk sendiri menyebabkan kita sering prasangka terhadap orang lain.

Menggunakan diri sendiri sebagai pembaris bagi mengukur orang lain adalah tidak wajar sama sekali. Namun, perkara inilah yang sering terjadi di dalam kehidupan manusia. Di rumah, sekolah, universiti, pejabat, lapang sosial, arena politik bahkan di mana-mana sahaja yang ada manusia, amalan buruk ini terus menjadi anutan umat manusia. Lelaki yang kasanova cenderung meliat lelaki lain juga kasanova. Perempuan yang jurang selalu melihat perempuan lain juga curang. Keluarga yang anak-anaknya nakal selalu melihat anak-anak orang lain pun nakal.

Sikap begini harus dihapuskan. Tidak baik, malahan berdosa apabila kita 'jahat' kita melihat orang lain juga jahat seperti kita. Apabila kita bercinta, bercumbu dan melakukan dosa besar, kita tidak boleh melihat orang lain yang bercinta melakukan perkara sama seperti kita. Rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain. Bukan semua orang yang masuk kebun limau akan memetik dan makan buah limau. Mungkin dia sekadar melawat keindahan kebun limau sahaja.

Cubalah lihat orang lain melalui kaca mata orang tersebut - dengan jujur tanpa prasangka - barulah kita dapat mengetahui sikap sebenar orang itu. Kita mesti bertindak adil terhadap semua orang!

Friday, May 14, 2010

Hargai Kebebasan

Jikalau anda umpama seekor burung yang tersangkar, apakah yang lebih berharga daripada kebebasan? Manusia memperjuangkan kebebasan diri, tetapi terlupa kepada kebebasan makhluk lain.

Sunday, April 4, 2010

Kunci Pintu Hati

Orang kata pintu hati kita umpama pintu rumah. Pintu rumah ada kunci di sebelah dalam dan sebelah luar. Kunci kedua-dua belah hanya kita yang boleh buka kerana anak kuncinya di tangan kita. Kalau kita tak buka, orang luar tak boleh masuk.

Pintu hati pun sama, kalau kita tak buka orang luar tak boleh masuk. Oleh itu, orang luar jangan menyibuk kerana jikalau orang dalam tak buka, jangan harap dapat masuk. Kunci ada pada orang dalam. Orang luar hanya mampu menunggu sehingga pintu dibuka barulah dapat masuk.

Untuk masuk, orang luar mesti berkenalan dengan orang dalam dahulu. Main datang keruk pintu sahaja siapa berani buka. Ingat tidak bahayakah buka pintu kepada orang yang tidak dikenali. Sekali masuk, nanti tidak keluar macam mana?

Oleh itu, berkenalan dulu. Kalau bernasib baik akan dijemput datang ke rumah. Apabila sampai bagilah salam dan perkenalkan diri. Seandainya niat kedatangan baik, nescaya pintu akan dibuka. Selepas pintu dibuka, masuklah dengan sopan, duduk di tempat yang sesuai dan sentuh barang yang dibenarkan sahaja. jangan sentuh barang-barang yang dilarang. Tetamu mesti patuh kepada peraturan tuan rumah. Jangan jadi seperti pepatah yang menyebut beri betis mahu paha, beri paha mahu dada. Ini tidak boleh. Sentuh benda yang boleh disentuh. Benda berharga yang mudah pecah jangan cuba sentuh sama sekali walaupun dengan hujung jari. Tak boleh. tuan rumah tak suka. Kalau tak tertahan hendak sentuh juga, minta izin dengan baik. Kalau dia enggan, jangan paksa. Masuk rumah orang tidak boleh main paksa-paksa. Jaga biadab.

Namun, lazimnya tuan rumah tidak kejam. Semahal mana harga barang rumah dia, sekadar sentuh dia izinkan. Sentuh sahaja, tak usah minta bawa balik. Ada orang pergi rumah orang terliur tengok barang orang. Bukan terliur biasa, tetapi sampai meleleh air liur bagai orang mengidam. Manusia memang pelik, suka sangat dengan barang orang lain.

Buka kunci rumah kepada orang luar masuk tidak boleh sewenangnya. Orang yang baru kita kenal bukan boleh dipercayai sangat. Hati orang bukan boleh dibaca. Bagaimana kalau dia jenis manusia yang pandai berpura-pura? Dia sengaja berbaik dengan kita semata-mata hendak masuk curi barang berharga kita? Dia tahu ita tidak akan bukan pintu kepada orang asing, lantas dia sengaja berkawan dengan kita. Kita pula percaya bahawa dia orang baik. Pelawa datang ke rumah dan buka pintu bagi dia masuk penuh izin. Selepas dia curi barang berharga kita pergi, barulah menyesal. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna sesen pun.

Sekarang ini orang begitu mudah buka pintu hati kepada tetamu yang baru dikenali - membiarkan dia masuk seenaknya setiap penjuru rumah, meredah segenap sudut bilik yang ada, semua diterokainya sesuka hati - dengan kerelaan kita. Apabila dia pergi, barulah tersedar bahawa dia telah meninggalkan luka di hati kita. Barang-barang berharga yang kita sayangi dibawa pergi bersama.

Hati kita, kuncinya ada di dalam. Kunci ini tidak ada penduanya. Jikalau kita tidak membuka kuncinya, tiada siapa boleh masuk, tiada siapa mampu menceroboh. Kunci pintu hati tidak boleh dibuka dari luar. Sekiranya hati kita dimasuki dan dilukai, marahilah diri sendiri kerana kita yang membukakan kuncinya!