Monday, April 27, 2009

Mengimpikan Seseorang Yang Mamahami Kita

Sekiranya kita berasa sudah bersedia untuk memiliki seseorang yang memahami kita, kita mesti bersedia membuka pintu hati kita. Membuka pintu hati bukan untuk dimasuki orang luar, tetapi untuk memberi peluang kepada jiwa kita keluar mengenali seseorang yang diimpikan.

Kita harus memberi peluang kepada diri kita pergi melibatkan diri dalam aktiviti yang kita minati. Barangkali kita akan mengenali kawan baru di samping memperluaskan pergaulan. Pergaulan yang luas memberi kita kemungkinan dapat berjumpa dan berkenalan dengan seseorang yang memahami kita.

Dalam pergaulan kita mesti ada keyakinan diri. Penampilan, percakapan dan tingkah laku kita akan diperhatikan. Orang lain tidak akan yakin kepada orang yang tidak ada keyakinan diri. Lapangkan dada menerima persahabatan baru di samping mengekalkan persahabatan sedia ada. Lakukan apa yang kita mahu orang lain lakukan kepada kita.

Senyuman merupakan permulaan perkenalan yang terbaik. Oleh itu, jangan sayangkan senyuman. Kita tidak perlu membayar apa-apa dengan menghadiahkan orang di sekeliling kita dengan sekuntum senyuman manis.

Sebuah senyuman ibarat sekuntum mawar merah yang segar. Kemesraan terjalin dengan mudah melalui senyuman. Semua orang suka kepada senyuman. Manusia akan berasa dihargai apabila ada orang menghadiahkan mereka senyuman.

Wajah yang mesra disenangi ramai orang. Kita mudah didekati. Ramai kawan akan menerima kita dalam komuniti mereka. Sekiranya kita tidak menemukan seseorang yang kita suka, sekurang-kurang kita dapat kawan baru. Ini pun sudah cukup untuk mengeluarkan kira daripada ruang yang sepi.

Namun, satu perkara yang harus diingati. Apabila mendapat kawan baru, jangan mudah mempercayainya. Kita tidak boleh menaruh kepercayaan sepenuh hati kepada kawan baru kerana kita belum mengenali hati budinya. Persahabatan memerlukan kesabaran. Berikan masa kepada hati kita dan hati dia saling mengenali. Perhitungan yang tergopoh-gapah dan kurang matang mungkin menyebabkan kita terlepas pandang sikap negatifnya.

Perasaan ingin memiliki seseorang yang memahami kita harus diseimbangi dengan sikap kita yang juga mesti cuba memahami dia. Kita tidak boleh sekadar merungut saban hari bahawa dia tidak memahami kita sekiranya kita juga tidak cuba memahami dia.

Saling mengenali dan memahami hati merupakan pintu yang harus dilalui sebelum melafazkan: "Aku cinta kepada kamu." Sedikit kesilapan akan menyebabkan kita berendam air mata!


Sunday, April 26, 2009

Cemburu Buta

Kalau ditanya antara ibu harimau beranak kecil dengan seorang perempuan kaki cembutu mana yang aku paling takut. Aku tanpa berfikir panjang akan berkata aku paling takut kepada perempuan kaki cemburu.

Ibu harimau beranak kecil berada di hutan belantara, peduli apa aku kerana aku bukan cari makan dengan meredah hutan. Mengembara di dalam hutan pun aku tidak berminat. Setakat mandi-manda sekali-sekala di air terjun hutan lipur Templer Park, Sungai Tekala, Hulu Langat mana ada harimau. Minat aku hanya melepak di kaki lima kota KL yang mustahil akan terserempak dengan ibu harimau beranak kecil.

Perempuan kaki cemburu terdapat di mana-mana - di pejabat kerajaan, opis swasta, pusat beli-belah, gedung jualan murah, kedai barang kemas, pasar pagi, pasar malam, IPTA, IPTS dan di merata-rata tempat. Silap-silap perempuan kaki cemburu ini "tersangkut" dengan kaki aku, haru-biru jadinya. Aku yang haru-biru bukan dia. Aku sangat takut dan gerun kepada perempuan jenis ini.

Aku panggil "perempuan kaki cemburu" kerana cemburunya luar biasa sehingga benda-benda kecil, remeh dan temeh dijadikan sebab untuk melayan cemburunya. Pandang perempuan lain di depannya, dia cemburu. Cakap telefon lama sikit dengan perempuan lain dia cemburu. Balik lewat dia cemburu. Makan luar sekali-sekala sama kawan perempuan sepejabat dia tahu dia cemburu. Malah senyum dengan model dalam iklan sabun di kaca tv pun dia cemburu. Alahai seksanya jadi pasangan perempuan kaki cemburu. Nasib baik kucing betina tidak sebesar orang, kalau tidak dia barangkali cemburu juga.

Kekadang cemburunya membuat kita hilang akal. Sudahlah dia sendiri seperti hilang akal kerana cemburunya yang buta itu, kita juga turut hilang akal. Masakan tidak hilang akal apabila dia memasang cemburu di setiap langkah dan penjuru. Ke mana sahaja kita pergi, cemburunya sentiasa ikut bagaikan bayang diri. Malah masuk tandas awam lama sikit pun dia boleh cemburu. Katanya di dalam tandas awam ada manusia dua alam sedang menunggu jantan macho. Alamak, mana pula dia tahu tandas awam lelaki ada penghuni manusia dua alam.

Kata orang, cemburu tanda sayang. Kalau tidak cemburu, maksudnya tidak sayang. Aku tahu itu. Semua lelaki pun tahu. Perasaan cemburu sama ada lelaki atau perempuan lahir daripada perasaan sayang. Perasaan sayang yang tidak mahu berkongsi kasih sayang dengan orang lain. Tetapi apabila cemburunya melampau, bukan tanda sayang lagi, tetapi tanda akan berkelahi. Manusia sanggup berkongsi apa-apa sahaja, tetapi liat sekali untuk berkongsi benda yang satu itu. Dalam Islam lelaki dibenarkan berkahwin lebih daripada seorang, tetapi tidak ramai isteri yang sanggup berkongsi suami. Madu itu manis tetapi bukan madu kasih.

Kekadang meluat juga dibuatnya apabila cemburu langsung tidak memilih bulu. Asal sahaja nampak bersama perempuan lain akan cemburu. Tidak peduli perempaun lain itu kawan, saudara, sahabat lama, atau siapa tidak penting. Yang penting layan cemburu dahulu baru siasat siapa dia. Alahai, teruknya perempuan kaki cemburu!

Oleh sebab meluat dengan isterinya yang kuat cemburu, seorang lelaki berkata kepada aku begini: "Kalau boleh buka, aku buka bagi dia simpan. Dia boleh bawa ke mana dia suka, tak perlu takut aku salah gunakan 'benda dia' tu!"

"Benda dia?"

"Ya! Dia kata selepas kahwin 'benda tu' milik dia seorang. Orang lain no way. Aku pemilik asal tak ada hak langsung!"

Aku tersenyum sinis. Nampaknya marah sangat member aku kepada isterinya. Aku tidak sokong dia seratus peratus. Aku juga langsung tidak bantah dia. Yang pasti dia dapat isteri jenis kaki cemburu buta.

Bagaimana nak kenal pasti perempuan kaki cemburu? Huh, ini jangan tanya aku kerana aku bukan pakar psikologi wanita. Hanya satu aku nak berpesan. Bercinta dahulu baru berkahwin. Awas, bercinta sahaja jangan berasmaradana. Dalam tempoh bercinta-cintan ini kita dapat menilai tahap cemburu pasangan kita. Cemburu tidak boleh dilihat daripada ciri luaran. Orang yang kelihatan matang kemungkinan cemburunya buta. Sebaliknya, orang yang kelihatan kurang matang, kemungkinan cemburunya rasional.

Orang laki macam mana? Orang laki pun cemburu dan ada yang lebih teruk daripada perempuan. namun aku tidak takut lelaki cemburu kerana aku tidak pernah kacau kekasih orang atau isteri orang. Cuma sedikit risau sekiranya ada isteri orang datang kacau aku. Kalau suami dia tahu, kebetulan jenis cemburu gila, ke hujung dunia aku terpaksa lari. Hah, hah, hah, setakat ini belum ada tanda-tanda akan ke hujung dunia.










Monday, April 20, 2009

Siapa Kata Air Mata Lelaki Mahal?

Pada zaman kanak-kanak apabila budak lelaki menangis orang dewasa akan berkata, "Hei, budak laki tak boleh menangis, malunya!" Kerana malu budak lelaki akan segera mengesat mata dan berhenti menangis. Pada hari lain budak lelaki akan menangis lagi dan ditegur lagi. Teguran yang berulang kali menyebabkan budak lelaki malu menangis di depan orang. Oleh itu, dia sembunyi-sembunyi apabila hendak menangis.

"Budak lelaki mesti keras hati!" Ini nasihat yang sering kita dengar dari mulut bapa, ibu, abang, kakak mahupun jiran tetangga apabila kita semakin meningkat usia. Nasihat tersebut kita simpan dalam ingatan. Apabila terjatuh atau terkena sesuatu yang menyakitkan, kita akan tahan menangis kerana malu dikatakan lemah hati. Kita tidak mahu jadi seperti budak perempuan yang mudah menangis. Budak perempuan sikit-sikit menangis. Namun, tangisan budak perempuan ada daya tarikan tersendiri. Budak lelaki dengan rela hati akan memujuknya. Malah tangisan budak perempuan adalah senjata ampuh yang sentiasa berjaya menewaskan budak lelaki.

Apabila usia meningkat matang, telinga kita dibuai peribahasa: "Biar putih tulang, jangan putih mata!" Maknanya orang lelaki tidak boleh jadi penakut. Biar darah mengalir membasahi bumi, air mata jangan setitis mencemari tanah air tercinta. Air mata lelaki lambang kelemahan hatinya, kerapuhan semangatnya. Jarang kita mendengar dalam cerita legenda pahlawan agung menangis di hujung pedang musuh. Betapa cekalnya hati lelaki. Pedang besi kursani atau keris tujuh pa hanya mampu mengalirkan darah lelaki tetapi tidak air matanya. Maka sesuailah peribahasa "biar putih tulang, jangan putih mata" ditujukan kepada lelaki.

Lelaki tidak reti menangis? Lelaki pun orang. Semua orang tahu menangis. Air mata adalah salah satu proses semulajadi membersihkan mata daripada kotoran dan habuk. Namun apabila anda ternampak lelaki menangis, anda jangan sangka matanya dimasuki sampah. Adakala air mata lelaki mengalir kerana sebab lain. Walaupun lelaki dikatakan keras hati - kebanyakan anggota tubuh lelaki memang keras dan kental - tetapi terdapat bahagian tertentu yang lembut dan lemah. Perasaan. Perasaan lelaki sama lemah dengan perasaan perempuan. Perasaan lelaki juga begitu sensitif. Kekadang lelaki lebih emosional daripada perempuan.

Akibat perasaannya yang lemah dan sensitif, lelaki hanya dapat menahan sakit luka tetapi tidak mampu menahan sakit cinta. Lelaki juga menangis apabila dikecewakan oleh orang tersayang. Air mata lelaki juga membasahi pipi apabila cinta yang dicitakan terputus di pertengahan jalan. Namun lelaki bijak menyembunyikan kesedihan. Dia menangis, meraung, menjerit dan sedu-sedan ketika berseorangan. Sakit akibat cinta yang ditanggung lelaki sama sakitnya dengan yang ditanggung perempuan. Buktinya dapat kita lihat ramai lelaki membunuh diri kerana cinta kecundang. Jambatan Pulau Pinang adalah saksi setia bahawa lelaki begitu longlai dan rela memetik nyawa sendiri kerana cinta terhalang.

Dalam cerita dongeng kita selalu disogokkan dengan Pahlawan Agung yang menang di medan perang tetapi tewas di medan cinta. Dia menangis teresak-esak kerana cinta yang gagal.

Walaupun kita jarang melihat lelaki menangis dalam kebanyakan hal termasuk kematian orang yang disayangi, tetapi lelaki begitu mudah menitiskan air mata kerana sebuah cinta yang hilang. Lelaki lebih reda kepada kematian daripada kehilangan seorang kekasih!




Sunday, April 19, 2009

Seindah Cinta Itu

Sebening pagi sesejuk embun
Demikianlah cinta yang terukir penuh dengan keindahan
Sampai bila aku pun tak tahu
Namun setiap detik dan waktu cintaku padamu semakin memuncak
Merentasi sudut hati yang penuh dengan kerinduan
Kerinduan akan cinta yang jauh terpisah oleh Laut Cina Selatan

Desiran ombak diwaktu petang
Hembusan dingin angin pantai mengajak aku kembali kepadamu
Kenangan silam yang pahit lantas terlupa kerana kehadiranmu
Tiada lagi bayangan silam yang merobek hati yang amat menyakitkan
Kita bersama pernah lalui kekecewaan itu
Namun kini kita bahagia melayari percintaan yang amat mengasyikkan

Sepasang kekasih kini dilamun keindahan yang pasti sangat mengasyikkan
Saat bahagia ini akan ku nantikan bersama dengan satu harapan
Harapan agar sampai waktunya cinta ini akan ke puncaknya
Dan terus berada di puncak sehingga ke ahkir hayat
Akan ku nantikan saat itu.

Saturday, April 11, 2009

Jadilah Diri Sendiri

Jadilah diri sendiri. Kedengarannya jangkal sekali. Bolehkah kita menjadi diri orang lain? Tentulah tidak boleh. Kita tidak mungkin dapat menjadi diri M. Nasir, Saiful Apek atau Siti Nurhaliza. Kita hanya dapat menjadi diri kita sahaja.

Tetapi kenapa kita sering mendengar ada orang berkata "jadilah diri sendiri"? Dalam seminar ekonomi, bengkel penulisan kreatif, ceramah motivasi malah dalam khutbah agama kita selalu diingatkan agar jadi diri sendiri. Kita sebenarnya sedang menjadi diri siapa? Kita tidak menjadi diri sesiapa tetapi kita suka berlagak seperti diri orang lain.

Diri orang lain itu diri siapa? Diri orang yang kita rasakan lebih hebat daripada kita. Orang yang lebih hebat itu orang yang bagaimana? Orang yang lebih berjaya daripada kita. Misalnya, terdapat antara kita yang suka berlagak seperti orang kaya. Kerana kekaguman kita terhadap dia menyebabkan kita suka meniru gayanya.

Kita bukan hendak mempersoalkan gaya orang kaya. Kita hanya ingin mempersoalkan diri kita yang suka berlagak seperti orang kaya. Kita di sini bukan bermaksud semua orang tetapi "mereka" yang ada tabiat gemar berlagak kaya ini. Orang begini tidak sukar dikenali. Di mana-mana pun ada. Semua bangsa di dunia pasti ada orang sebegini. Dia rela tidak makan asalkan dapat beli pakaian mahal-mahal, kasut berjenama, dan kereta mewah. Makan minum mesti tempat ada kelas. Bergolok bergadai pun dia sanggup. Biar papa asalkan bergaya ialah peribahasa yang diciptakan khas untuk orang begini.

Selain berlagak jadi orang kaya, terdapat juga yang suka menjadi seperti doktor, guru, artis dan sebagainya. Mereka ini bukan berlagak seperti si Mamat Sewel atau si Minah tiga suku. Mereka ini berlagak ada kelas. Lagak mereka seperti betul. Percakapan, penampilan dan tingkah lakunya menarik dan meyakinkan. Ramai orang pernah tertipu oleh mereka.

Orang yang gemar menjadi diri orang lain sebenarnya ada sebabnya sendiri. Ada yang hanya untuk berlagak semata-mata tanpa tujuan lain. Akan tetapi ramai juga yang berniat tidak baik atau bertujuan menipu. Sesetengahnya bertujuan untuk memikat anak dara orang. Anak dara yang kurang didikan agama atau pendedahan sosial sering menjadi mangsa.

Sebenarnya orang yang suka "menjadi orang lain" ini sengaja menyusahkan diri sendiri. Sampai bila kita mampu menjadi orang kaya sekiranya pendapatan kita tidak seberapa. Lambat laun orang akan tahu juga. Oleh itu, jadilah diri sendiri. Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki.