Friday, November 28, 2008

Iktibar Daripada Yim Pek Ha

Saya menarik nafas lega apabila mendengar berita TV bahawa suri rumah Yim Pek Ha hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen. Dia menghadapi tiga tuduhan mencederakan pembantu rumahnya dari Indonesia, Nirmala Bonat, dengan menggunakan seterika dan air panas empat tahun lalu.

Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu setelah mendapati bahawa kecederaan yang dialami oleh Nirmala bukan dilakukan sendiri seperti yang didakwa oleh Yim. Yim, 40, bekas pramugari, mencederakan Normala di rumahnya di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004. Yim Pek Ha, dihukum penjara 18 tahun. Hukuman ini sebenarnya untuk memberikan kesedaran kepada Yim bahawa kasih sayang yang hilang merupakan benih kekejaman yang akan menyebabkan seseorang kehilangan kebebasan. Harap-harap Yim insaf dengan apa yang telah dilakukannya.

Hukuman yang dikenakan ke atas Yim Pek Ha tentu menyebabkan ramai orang turut menarik nafas lega, bukan kerana gembira melihat orang lain dipenjarakan, tetapi kerana keadilan masih ada di mahkamah kita. Beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini telah menjadi sasaran kritikan pihak tertentu apabila tertuduh dilepaskan. Kes yang terbaru ialah pembunuhan Altantuya yang menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati. Sesetengah orang menerimanya dengan keluhan dan rungutan. Jadi, ramai yang bimbang andainya kes Yim Pek Ha - Normala Bonat juga akan berakhir dengan keluhan dan rungutan.

Perbuatan yang kejam dan tidak perikemanusiaan seharusnya mendapat balasan yang setimpal agar dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain. Sebagai manusia kita seharusnya berfikiran waras. Apabila kita tidak suka kepada pembantu rumah kita, kita berhentikan sahaja dia dan cari pembantu rumah yang baru. Bertindak mendera dia dengan alasan apa sekalipun tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

Penderaan merupakan satu kekejaman yang tidak boleh dimaafkan tidak kira mangsa deraan itu manusia atau binatang. Malah binatang pun tidak pernah mendera binatang yang lain. Ini pula manusia. Penderaan tidak setakat pembantu rumah, malahan kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang kurang upaya juga sering menjadi mangsanya. Kanak-kanak paling banyak dilaporkan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita menghadapi masalah kasih sayang yang tenat. Masyarakat sedang sakit. Orang yang mempunyai kasih sayang sesama manusia tidak akan mendera orang lain. Malah dengan haiwan pun tidak mungkin dianiayainya kerana kasih sayang yang sejati merangkumi semua makhluk bernyawa termasuk diri sendiri.

Oleh itu, tanamkanlah nilai kasih sayang ke sanubari agar kita dapat hidup harmoni, tenteram dan bahagia tanpa mengira sempadan keturunan, kaum, agama, budaya, kedudukan atau gender. Tanpa kasih sayang, dunia bakal menuju kemusnahan.

Tuesday, November 25, 2008

Masa Bukan Emas

Masa sangat penting kepada kehidupan manusia. Sejak zaman berzaman masa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan umat manusia. Sejak dahulu lagi manusia hendak pergi ke mana-mana mesti melihat masa terlebih dahulu. Masa menjadi penentu perjalanan manusia. Manusia hendak mendirikan rumah pun mesti memilih masa. Manusia hendak mencari jodoh juga bergantung kepada masa. Malah masa menjadi pembukti kesetiaan manusia kepada janji. Sering kita dengar, biarlah masa yang membuktikan kesetiaanku. Boleh kata setiap tingkah-laku dan gerak-geri manusia ada kaitan dengan masa. Hubungan manusia dengan Tuhannya juga berdasarkan masa. Betapa pentingnya masa kepada pembinaan tamadun manusia sehingga terlahirnya ungkapan masa itu emas.

Mahalnya masa, sehingga diibaratkan emas. Walau bagaimanapun manusia mesti bijak menyesuaikan diri dengan masa. Mendahului masa boleh mengundang masalah. Membiarkan didahului masa juga boleh menimbulkan musibah. Pendek kata kita mesti pandai mengatur masa. Jangan mendahului masa dan jangan ditinggalkan masa.

Kata pujangga mendahului masa lebih baik daripada ketinggalan masa. Dalam sesetengah perkara memang betul, tetapi bukan semuanya. Kita mesti menepati masa, tidak cepat dan tidak lambat barulah tidak mendatangkan masalah.

Sesetengah orang suka pergi ke mana-mana lebih cepat dari masa yang ditetapkan. Kalau pergi ke lapangan terbang mendahului masa ada baiknya kerana pilot tidak akan menunggu kita. Jadual penerbangan tidak boleh diubah atau dilewatkan semata-mata kerana kita. Kita siapa sehingga terpaksa dilewatkan Boeing 747 yang telah dipenuhi penumbang sejak setengah jam yang lalu. Itu tidak masuk akal, malah mustahil sekali. Lain pula ceritanya kalau kita pergi ambil pasport atau MyKad mendahului masa yang ditetapkan. Tarikh yang diberikan kepada kita 12 Disember 2008, tetapi kita pergi 11 Disember 2008, jawabnya balik tangan kosong kerana benda itu belum siap. Begitu juga dengan pergi mengundi. Pusat mengundi dibuka pukul 8.00 pagi, tetapi kerana semangat yang berkobar-kobar, sejak jam 6.00 pagi kita sudah tersepuk di balai raya menunggu giliran semak nama walaupun pegawai pilihan raya belum tiba. Buang masa jadinya. Lebih baik kalau kita menunggu di kedai kopi Pak Dollah, sembang-sembang pasal calon atau kutuk pihak lawan ada juga manfaatnya.

Orang bercinta juga mesti menepati masa. Mendahului masa bermakna menanggung seksa yang lama. Bayangkan janji jumpa di Pawagam jam 5.00 petang, tetapi jam 3.00 petang kita telah tiba. Maklumlah alang-alang bercinta biarlah tidak dituduh derhaka kepada masa. Kalau si dia juga datang mendahului masa seperti kita okeylah. Kita tidak perlu menuggu sambil berangan-angan dan tersenyum-sentum seorang diri. Bagaimana kalau si dia datang tepat jam 5.00 atau lebih lewat? Maka dua jam kita terpaksa menanggung seksa. Penantian adalah satu penyeksaan.

Bagaimana pula sekiranya dia terlewat 2 jam kerana kesesakan lalu lintas? Maklumlah KL sesak tidak memilih masa dan hari. Bukankah 4 jam kita kena menanti dalam penyeksaan? Silap-silap kena jenis mudah merajuk, melenting-melentang terus belah. Janji tinggal janji. Esok hilang marah telefon lagi, buat temujanji baru. Si dia pula merajuk menuduh kita tidak timbang rasa kerana dia tiba ke pawagam semalam tetapi kita telah ghaib entah ke mana. Sebab itulah menepati masa adalah paling sesuai dipraktikkan.

Dalam soal beribadat kita tidak boleh menangguhkan masa kerana usia tidak menunggu kita. Kematian mungkin esok atau lusa. Orang yang beriman sentiasa mengingati kematiannya seolah-olah kematian bakal tiba bila-bila masa sahaja. Tiada siapa dapat meneka bila dia akan menghembuskan nafas terakhir - muda, atau tua. Oleh itu, melengahkan masa untuk beribadat amat merugikan kita.

Orang yang mendahului masa tidak berapa ramai berbanding dengan orang yang didahului oleh masa. Mesin perakan masa digunakan di pejabat untuk mengatasi masalah masa mendahului orang. Hairan juga mengapa orang gemar sangat melewati masa. Setiap kali kita pergi majlis jamuan malam di hotel sama ada majlis persandingan, jamuan tahunan syarikat korporat, atau majlis hari jadi tokok tertentu, jarang ada tetamu datang tepat pada masa sebagaimana dijadualkan. Hotel 5 bintang sekalipun masalah tetamu datang lewat mesti ada. Pendek kata jamuan tidak pernah dapat dimulakan mengikut jadual.

Bagaimana jamuan hendak dimulakan kalau masih banyak meja yang kosong. Dalam kad jemputan majlis bermula 7.00 malam tetapi kekadang pukul 9.00 malam barulah hidangan pertama diangkat keluar. Kesian tetamu yang datang awal. Kalau sudah lapik perut sedikit dengan roti canai, pukul 9.00 tidak jadi hal. Bagaimana dengan tetamu yang datang dengan perut kosong? Kebetulan jam 3.00 petang juga terlupa minum petang. Tengah hari tadi makan sedikit sahaja kerana kurang selera. Sekarang pukul 8.00 malam hidangan belum nampak bayang. Tuan majlis asyik minta bersabar. Tunggu meja penuh dulu. Tambah-tambah meja yang kosong itu meja VIP. Tuan majlis serba salah kerana terlewat. Kita pula serba marah kerana lapar. Kacang goreng sudah tiga mangkuk lahap, air kosong tiga gelas diteguk, tetapi perut masih berkeroncong. Hendak minta tambah kacang goreng acapkali bukan dia. Malu juga. Tahan sahajalah. Dalam hari merungut marah kepada tetamu yang lewat dan meluat dengan tuan majlis yang masih menunggu. Kalau ikutkan hati hendak menjaerit: "Aku laparlah!"

Marah dan meluat akan bertambah apabila tetamu yang lewat itu masuk ke dewan dengan tersengih-sengih, berjalan lambat-lambat. Datang lima orang hendak duduk satu meja. Lima kerusi ada tetapi dua meja. Untuk menambahkan susah orang, minta jasa baik tuan majlis susun semula tempat duduk kerana mereka berlima tidak boleh duduk terpisah. Sudahlah lewat, sekarang menyusahkan orang pula.

Setelah makanan dihidangkan, ada lagi tabiat manusia yang tidak habis-habis menyusahkan orang lain. Orang lain tengah makan dengan senyap dan tenang, dia orang membebel tentang makanan tidak sedap. Hotel 5 bintang konon, kedai tepi jalan lagi sedap, langsung tidak ada kelas, tukang masak tak reti buat, sayur tak segar, ikan busuk dan 1001 jenis rungutan. Bagaimana kita hendak bersabar apabila berjumpa dengan manusia begini?

Kesimpulannya, menepati masa adalah falsafah kehidupan yang paling sesuai. Mendahuli masa atau didahului masa kedua-duanya menimbulkan masalah. Masa bukan emas kerana orang boleh menunggu emas dengan sabar tetapi orang tidak sabar menunggu masa. Ramai yang suka membuang masa tetapi belum ada orang membuang emas!

Wednesday, November 19, 2008

Detik-Detik Yang Menyakitkan

Bercerai jalan terbaik sekiranya tidak dapat mengecapi kebahagiaan berumah tangga. Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga menginginkan kebahagiaan hidup, tetapi bukan semua yang dapat mengecapinya. Malah banyak pasangan yang dilanda kesengsaraan. Hari-hari bertengkar dan berendam air mata. Akhirnya masing-masing memilih jalan kehidupan sendiri.

Untuk menyatukan dua jiwa dalam sebuah kehidupan bahagia yang dipanggil rumah tangga bukan mudah. Waktu bercinta semuanya indah. Janji semuanya manis. Kalau janji tersebut ditunaikan kesemuanya, pendek umur kerana diserang penyakit kencing manis. Tetapi mujurlah manusia bukan semua berpegang pada janji. Banyak janji manis dilupakan begitu sahaja. Janji orang sedang dilamun cinta tak boleh dipegang sangat kerana banyak yang hampa daripada yang berisi. Kalau ibarat padi, banyak yang dibuang daripada yang boleh diproses jadi beras. Oleh sebab janji yang tak tertunai inilah maka rumah tangga yang dibina bakal berantakan.

"Dulu, abang janji nak beli banglo, tapi sampai sekarang dah lima tahun masih tinggal rumah pangsa!" Mungkin begitu si isteri menuntut janjinya. Atau: "Abang kata nak berbulan madu di Itali, kenapa tukar ke Cameron Highlands pulak?"

Itu janji masa bercinta. Jangan kata beli banglo di lereng bukit atau berbulan madu di Itali, bulan di langit pun sanggup dipetikkan. Sekarang sudah berkahwin. Semuanya berubah. Madu telah dikecapi. Janji pun menjadi hilang manisnya.
Selalunya perkara yang tidak pernah dijanjikan pula yang "ditunaikan". Contohnya, bertengkar, bermasam muka, berleter, dan bermacam-macam ber- lagi. Dan perkara yang tak pernah ada mana-mana pasangan di dunia "menjanjikan" kepada pasangannya, tetapi "ditunaikan" ialah membawa masuk "orang ketiga" yang bukan darah daging ke dalam rumah tangga.

"Orang ketiga" - lelaki mahupun perempuan - apabila muncul, pasti membawa masalah. Orang ketiga ibarat dedalu apabila hinggap di pokok, pokok tersebut akan mati kerana semua zat makanan dihisap oleh dedalu tersebut. Tidak kira keluarga bangsawan, pembesar negara, tokoh agama, jutawan, usahawan, seniman, artis, orang besar atau orang kecil apabila didatangi orang ketiga maka merudumlah kebahagiaan keluarga berkenaan. Kuasa orang ketiga memang hebat. Peranannya memecah-belahkan rumah tangga orang diiktiraf di peringkat antarabangsa walaupun belum tercatat dalam World Book of Records.

Barangkali pada masa akan datang kerajaan Sweden akan mewujudkan Hadiah Nobel Khas untuk bahagian "pemusnah" perkahwinan. Atau mungkin kerajaan Thailand ada inisiatif memberikan hadiah Sea Write Awards kepada pelaku yang cemerlang. Pelaku yang menjahanamkan keluarga Putera Charles - Lady Diana patut menjadi penerima hadiah yang sulung walaupun terdapat ratusan atau ribuan pelaku cemerlang yang tercatat dalam sejarah tamadun manusia.

Di Malaysia, dunia artis tidak pernah sepi daripada isu orang ketiga. Keluarga Tan Sri dan keluarga Datuk juga tidak kurang hebatnya. Kerana takut malu banyak yang mengambil jalan berdiam diri atau diselesaikan denga senyap-senyap tanpa sidang akhbar. Kes orang ketiga yang pernah mendapat liputan meluas di akhbar suatu ketika dahulu ialah kes puteri Sultan Selangor dengan Pembesar Negeri Selangor.

Orang ketiga ini sebenarnya tidak datang sendiri. Dia tidak muncul dengan tiba-tiba dan menyelinap masuk ke dalam rumah tangga orang lain. Orang ketiga bukan tikus. Orang ketiga orang yang ada kelas. Kalau tidak diberikan harapan dan ditaburkan janji-janji oleh orang "pertama" atau "kedua" dia tak akan masuk. Sebenarnya orang "pertama" atau orang "kedua" yang mengundang orang ketiga. Mungkin pada mulanya cuma main-main untuk menghiburkan hati atau sekadar mencari kelainan daripada apa yang ada di rumah. Tetapi perbuatan main-main ini apabila berulang kali akan menjadi serius. Malah menyebabkan terjadinya ketagihan. Ketagihan terhadap orang ketiga - lelaki mahupun perempuan - sering menjadi perangkap yang akan menjerat mangsanya dengan kejam.

Selagi kehadiran orang ketiga menjadi rahsia, segalanya kelihatan okey. Tetapi mana ada rahsia yang betul-betul rahsia di dunia ini. Sudut yang dikatakan paling rahsia bagi setiap manusia masih dibongkar dan dipertontonkan kepada umum. Akta Rahsia Rasmi pun tak berkuasa menjaganya. Apatah lagi orang ketiga yang bukan tergolong dalam kategori "paling rahsia" buat manusia moden. Malah ada orang, terutama lelaki yang berbangga apabila dapat mempertontonkan orang ketiga kepada kawan-kawan.

Rahsia orang ketiga yang Muslim mudah terbongkar dengan adanya kumpulan prihatin yang sentiasa mengetuk pintu hotel atau pintu rumah orang tengah-tengah malam buta dan minta tengok surat nikah. Kumpulan prihatin ini walaupun sesetengah pihak menggelar "penyibuk" tetapi keprihatinan mereka telah banyak membantu. Sekurang-kurangnya mereka dapat mempercepatkan proses perceraian bagi suami iteri yang masih was-was dengan kesetiaan pasangan masing-masing.

Kesimpulannya, kehadiran orang ketiga yang membawa petaka kepada rumah tangga, bukan kerana orang lain tetapi kerana diri sendiri yang mengundangnya. Kalau hendak marah, marahlah diri sendiri. Kalau hendak pukul, pukullah diri sendiri.

Kehadiran orang ketiga memang menyakitkan. Lebih sakit daripada segala yang sakit. Sakit bersalin tidak sesakit apabila balik ke rumah terlihat orang ketiga sedang bercumbu dengan suami di atas katil yang pernah menjadi katil pengantin baru. Sakit bersunat tanpa ubat bius tidak sesakit terserempak isteri tersayang sedang berasmara dengan jantan lain di bilik hotel. Sakitnya sehingga mengalirkan air mata dan tersedu-sedan. Sakit biasa sekadar sakit, tetapi sakit yang berpunca daripada orang ketiga mengundang malu dan menjejaskan harga diri dan kasih sayang.

Oleh itu, ramai yang tak tahan dengan sakit yang maha sakit ini mengamuk bagai orang hilang waras. Pinggan mangkuk terbang. TV dan radio ditendang. Pekik jerit berkumandang malam buta sehingga membangunkan rakan tetangga. Ada yang melampaui batasan menerawang parang dan pedang sehingga mengecutkan telur jiran-jiran. Malah ada yang bergegas ke mahkamah minta diceraikan atau untuk melafazkan cerai.

Apabila perang berlanjutan, maka ibu bapa terpaksa campur tangan. Pelbagai nasihat, termasuk membangkitkan soal anak-anak yang masih kecil sebagai umpan pertimbangan akal. Kasih terhadap anak-anak sering berjaya menunda perceraian tetapi untuk sekali dua sahaja. Kalau peristiwa orang ketiga berulang lagi, anak-anak pun tidak berkuasa menyekat kemahuan ibu bapa.

Keberantakan rumah tangga bukan sahaja berpunca daripada orang ketiga. Banyak perkara lain yang menjadi punca perceraian. Kalau hendak disenaraikan kesemuanya tak larat nak tulis. Penyebab kepada perceraian lebih banyak daripada penyebab kepada perkahwinan. Perkara remeh-temeh, misalnya soal pergi shopping, soal memilih rancangan TV kegemaran, masakan terlebih garam, pakaian gosok tak sempurna, selera seks berbeza hari dan waktu dan sebagainya boleh menjadi punca pertengkaran suami isteri. Pertengkaran membunuh kebahagiaan.

Kebahagiaan yang hilang memberi kesan kepada emosi. Emosi yang kacau menjejaskan prestasi kerja. Pendek kata semuanya bersangkutan bagai rantai. Kerana rumah tangga yang tidak bahagia menyebabkan keseluruhan hidup menjadi tidak bahagia. Duduk, tidur, bangun, berdiri, berjalan, bersendirian atau beramai semuanya tidak bahagia. Orang lain ketawa, kita bermasam muka. Orang lain santai, kita nafas tersekat-sekat dan mengeluh tidak keruan. Dalam keadaan begini, berhati-hati kerana orang ketiga mudah menyelinap masuk dan menambahkan porak-peranda yang sedia ada.

Dan sekiranya betul-betul tiada jalan penyelesaian, bercerai adalah jalan terbaik. Bercerai merupakan detik-detik yang sukar dan amat menyakitkan dalam kehidupan berumah tangga, tetapi lebih baik daripada sakit berpanjangan. Kesengsaraan sekali biarpun begitu hebat lebih baik daripada kesengsaraan yang berterusan tanpa noktah.

Langit tak akan mendung selama-lamanya. Selepas mendung, muncullah jalur cahaya. Aku sendiri pernah mengalami detik-detik yang sukar dan menyakitkan begini. Sebab itu, kini aku memilih untuk hidup berseorangan - aku bebas menganyam mimpi-mimpi!




Sunday, November 16, 2008

Antara Perasaan dan Nilai Cinta

Perasaan cinta tidak pernah kekal, malahan sentiasa berubah-ubah mengikut waktu. Perasaan cinta ketika kita di alam remaja berbeza dengan perasaan cinta sewaktu kita meningkat dewasa. Perasaan cinta tidak sama masa kita sedang bercinta dengan masa selepas kita mendirikan rumah tangga. Bahkan perasaan cinta berlainan antara sewaktu kita baharu berkahwin dengan setelah kita dikurniakan anak-anak. Bahkan perasaan cinta akan berubah lagi apabila si isreti memasuki monopous, sedangkan si suami masih gagah perkasa.

Perasaan cinta berbeza dengan nilai cinta. Nilai cinta kurang berubah, malah terdapat nilai cinta yang kekal abadi seumur hidup. Seorang suami mungkin mencintai isterinya sehingga ke nafas terakhir kerana nilai cintanya tidak berubah. Sedangkan dalam tempoh tersebut barangkali perasaan cintanya berubah-ubah beberapa kali. Nilai cinta berpusat pada akal dan ketulusan hati, tetapi perasaan cinta tercetus dari nafsu. Sebab itulah perasaan cinta sentiasa tidak menentu dan ketidaktentuan itu sering pula mempengaruhi nilai cinta sehingga bisa membikin rumah tangga berantakan.

Dalam kebanyakan masa yang kita gunakan untuk BERCINTA, sebenarnya kita bermain dengan perasaan cinta. Kerana terlalu mengagungkan perasaan cinta menyebabkan kita kekadang dibutakan oleh cinta. Kerana terlalu dipengaruhi perasaan cinta menyebabkan kita tidak kenal nilai cinta. Tidak kenal nilai cinta bermakna tidak kenal erti cinta yang sebenar. Cinta sukar dipisahkan daripada kasih. Maka kita menjadi manusia kabur cinta, kelam kasih.

Orang yang tidak kenal erti cinta yang sebenar adalah orang yang jahil tentang kasih sejati. Dalam seumur hidup orang begitu sentiasa mengintai kasih pada siang hari, mencari kasih pada malamnya. Apa yang dia perolehi sekadar secebis perasaan cinta dan kasih kepura-puraan tanpa sebarang nilai. Waduh, malang sekali!

Ketika usia remaja perasaan cinta begitu hebat. Sekali bersemuka, mata bertentang mata, bibir mengukir senyum, dada bergelora dan hati berkata - aku cintakan kamu. Siang jatuh cinta, malam mengigau-igau memanggil nama si dia. Betapa hebatnya cinta remaja. Sehari tidak berjumpa bagai sebulan rasanya. Rindu membara. Masa makan teringatkan si dia. Masa mandi, masa bersabun dan bersyampu, menyanyikan lagu untuk si dia. Dan masa tidur berdoa agar dapat bermimpikan si dia. Kalau boleh mimpi yang romantik. Mimpi berpeluk-pelukan, atau bercium-ciuman sering diangan-angankan.

Setiap detik hanya si dia. Kalau tidak dapat melihat wajah si dia, dapat melihat kain di jemuran atau bumbung rumah pun jadilah. Semuanya membahagiakan. Sekarang kalau tidak dapat berjumpa, panggilan telefon atau SMS menjadi pengganti diri. SMS pula mempunyai kod tersendiri yang hanya mereka berdua sahaja memahaminya. Ibu bapa selalu diperbodohkan oleh SMS jenis ini. Masakan tidaknya kerana maksud ayat yang digunakan terbalik daripada maksud sebenar. Contah: "Aku baca buku setiap hari!" Padahal maksud sebenarnya:"Aku rindu kamu setiap hari!" Atau jenis yang memeningkan kepala: "E ki j di KLCC!" Maksudnya Esok, kita jumpa di KLCC!" Huruf A - Z dan 1 - 9 telah diberikan kod yang tersendiri yang hanya difahami oleh pasangan bercinta sahaja.

Walau bagaimananpun cinta remaja berligar pada keseronokan semata-mata. Perasaan bertanggungjawab tidak ada. Seandainya terlanjur, padah jadinya kerana pasangan tahap ini tidak tahu selesaikan masalah yang timbul.

Aku waktu remaja dahulu pernah menghafal kod sedemikian yang diberikan oleh seorang gadis yang aku cintai. Tetapi aku tidak pernah terlanjur.

Perasaan cinta akan berubah apabila kita meningkat dewasa. Cinta orang dewasa lebih matang dan berkisar pada alam perkahwinan. Perasaan cinta tahap ini memang membahagiakan, indah dan sukar dilupakan. Cinta yang hebat bak Romeo dan Juliet atau Uda dan Dara sedikit sekali berpanjangan sehingga ke jinjang pelamin. Aneh ya? Tidak aneh kerana ramai pasangan yang bercinta biarpun usia telah dewasa (melepasi 21 tahun), tetapi cinta tersebut dibina di atas tapak perasaan cinta yang rapuh. Namun, perasaan cinta itu apabila telah bersemadi, ia begitu kuat dan teguh dan sukar untuk dileraikan sehinggalah ada perasaan cinta lain mengambil alih.

Bagi pasangan yang berjaya menginjak ke jinjang pelamin, perasaan cintanya bertukar daripada mengharap dan angan-angan kepada satu kebahagian dan realiti kehidupan rumah tangga. Kebahagiaan dan pengalaman hidup bersama begitu manis dan sukar dilupakan. Tiada keindahan kepada pasangan bercinta selain keindahan pada malam pertama - malam seribu makna bagi setiap pasangan yang dimakbulkan doa agar dapat hidup bersama sehingga ke akhir hayat.

Perasaan cinta akan berubah lagi apabila pasangan suami isteri sudah beranak pinak dan usia menjangkau tua. Seorang perempuan di ambang 50-an, nafsu cintanya semakin berkurang walaupun nilai cintanya tidak berubah. Keadaan ini berkaitan dengan hormon seks. Sedangkan seorang lelaki pada ambang 50-an, kata orang, sedang memulakan "kehidupan baru". Kalau diperhatikan, seorang lelaki mula berubah perasaan cintanya pada usia 40 tahun - 45 tahun dan memuncak pada usia 50-an. Perasaan cinta seperti yang dikatakan sebelum ini ada kaitan dengan nafsu cinta. Rumah tangga dalam era ini banyak cabarn dan dugaan. Perasaan cinta isteri sedang menurun, manakala perasaan cinta lelaki masih meningkat. Dalam keadaan "konflik" ini, si suami sering mencari jalan keluar dengan membuka cawangan baru secara sorok-sorok. Ini bukan aku yang kata, tetapi pakar yang memberitahu.

Perempuan yang suaminya menjangkau usia 45 tahun dan sering mesyuarat tidak tentu masa atau bermain golf terlalu kerap memang berhak untuk berasa bimbang. Lelaki dalam usia begini suka benar kalau dapat makan pucuk muda. Kebetulan gadis zaman IT ini tidak kisah bermadu kasih dengan orang tua asalkan kaya harta. Pelajar IPTA atau IPTS ramai yang berkepit dengan lelaki tua tanpa segan silu.

Kesimpulannya perasaan cinta selalu berubah-ubah walaupun nilai cinta kekal. Cinta tidak pernah kaku atau statik dalam keabadian nilainya. Itulah keunikan cinta.

Thursday, November 13, 2008

Kahwin Lari

Duhulu pasangan yang hendak berkahwin tetapi mendapat halangan dari pihak tertentu akan memilih Thailand sebagai jalan terakhir - kahwin lari. Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla telah mengahwinkan ramai pasangan dari negara kita. Kahwin lari di negara jiran menjadi satu trend yang sohor. Mak bapak tak restu, lari ke Narathiwat dan kahwin di sana. Isteri tua tak izinkan kahwin dara sunti lari ke Yala dan nikah di sana.

Pendek kata, Thailand menjadi pilihan mereka. Mereka tak akan memikirkan jalan lain atau penyelesaian lain. Thailand pilihan yang tepat dan cepat.

Soal nikah kahwin mana boleh dilambat-lambatkan nanti lain pula jadinya. Perkara lain, misalnya menunggu kerja, menunda hutang, atau menempah pakaian boleh bersabar. Tunggu lama sikit tidak mengapa. Tetapi soal nikah kahwin kalau hati sudah berkenan, jiwa sudah menetapkan "aku nak kahwin", maka kesabarannya bagai hilang. Sehari bagai seminggu. Seminggu bagai sebulan. Sebulan bagai bertahun-tahun. Apatah lagi sekiranya kedua-duanya sudah sehati sekata:"Kita mesti kahwin", maka kahwin sahajalah keputusanya. Dalam mata hanya 'kahwin' yang dilihat. Kahwin memang seronok. hidup berdua lebih ceria dari hidup seorang. Tiada kebahagiaan lain selain kebahagiaan berumah tangga - keluarga bahagia.

Orang apabila hati telah dijangkiti penyakit nak kahwin, bagilah nasihat apa pun dia tetap nak kahwin. Mintalah pakar motivasi atau pakar agama berikan nasihat, dia tak mungkin menundakan niatnya nak berumah tangga. Penyakit nak kahwin memang tak makan saman. Sebab itulah berpusu-pusu pasangan pergi ke Thailand untuk berkahwin. Orang muda dengan alasan mudanya. Orang tua dengan alasan tuanya. Manakala suami orang pula ada alasannya sendiri - alasan yang sering kita dengar kerana perkahwinannya dibantah isteri tua:"abang ni tak habis-habis dengan gatai. Pantang nampak anak dara berdahi licin, terliur nak nikah. Abang dah tua bang ooiii!"

Tuduhan biar betul. Kalau abang betu-betul tua abang tak akan ditimpa penyakit angau gila anak dara sunti. Tua abang hanya pada usia semata-mata. Semangat abang mengalahkan anak lelaki sulung yang berusia 25 tahun.

Tetapi itu cerita dahulu. Sekarang pasangan tak boleh nikah lari kerana sijil perkahwinan di negara jiran tidak diiktiraf lagi. Suami yang berkemampuan untuk kahwin lebih seorang diwajibkan minta izin daripada isteri pertama terlebih dahulu. Tanpa keizinan isteri tua, cawangan baru tak boleh dibuka. Ini baik untuk kaum wanita. Malah sudah lama NGO wanita memperjuangkan hak cawangan baru suami.

Kahwin lari memang senang tetapi untuk menjalani kehidupan selaku pasangan kahwin lari bukan mudah. Banyak cabarannya. Semuanya terpulang kepada jenis halangan tersebut. Malah banyak pasangan kahwin lari yang terpaksa bercerai selepas beberapa bulan hidup bersama. Hari-hari ibu bapa datang buat kacau. Hari-hari isteri tua datang buat onar. Sijil nikah di negara jiran hanya sah disisi agama tetapi 'tidak sah' di sisi ibu bapa yang menentang perkahwinan itu atau isteri tua yang suaminya kahwin muda.

Malah terdapat ibu bapa yang tersangat keras hati. Apatah lagi yang melibatkan pasangan yang berlainan agama, kaum atau keturunan. Ibu bapa jenis 'perkauman' walaupun telah mendapat cucu, mereka masih tidak merestuinya. Pasangan yang dipulaukan oleh ibu bapa amat menyedihkan. Di manakah kebahagiaannya apabila rumah tangga tidak dipedulikan orang tua sendiri?

Tetapi muda-mudi apabila dilamun cinta, mereka selalu membelakangkan kehendak orang tua. kehendak sendiri menjadi raja. Nasihat ibu bapa bapa bagai mencurah air ke daun keladi. Zaman sekarang hak ibu bapa ke atas anak seolah-olah hilang apabila anak akan berkahwin kerana nasihat ibu bapa tidak diendahkan lagi. Dahulu ibu bapa ada hak memilih dan menentukan bakal suami atau isteri untuk anaknya tetapi sekarang ditentukan oleh anak itu sendiri. Anak yang kahwin dengan calon pilihan ibu bapa dipandang ketinggalan zaman.

Malah yang lebih teruk lagi ada pasangan yang 'mencuba dahulu' hidup berumah tangga, kononnya untuk saling mengenali sebelum bernikah. Pasangan yang 'mencuba dahulu' banyak terdapat di kota-kota besar seperti di Kuala Lumpur. Yang sedihnya ada yang tinggal bersama sehingga tiga empat tahun tetapi akhirnya berpisah. Jadi, terpaksalah melakukan proses 'saling mengenali' dengan pasangan lain pula. Berapa dozen pasangan yang ditukar ganti sebelum dapat ke jinjang pelamin yang sebenar. Dunia oh dunia.

Halangan cinta ada 1001 jenis. Halangan kerana agama, kaum, keturunan, adat, budaya, taraf hidup, taraf pendidikan, harta benda dan sebagainya. Dalam banyak halangan, halangan berkaitan agama paling sukar mencari jalan keluar kerana Malaysia tidak membenarkan perkahwinan campur antara agama sebagaimana jiran kita Indonesia, Singapura, Thailand mahupun Filipina. Pasangan mesti sanggup berkorban. Bagaimana kalau pasangan tetap berkeras untuk kekal dengan agama asal tetapi dalam masa yang sama mahu juga menikah? Ini persoalan yang rumit.

Persoalan CINTA bukan persoalan mudah kerana cinta merupakan perkara yang amat rumit. Perasaan orang yang dilanda cinta juga menjadi rumit. Kerana kerumitan yang tidak diketemukan jalan keluar, terdapat pasangan yang mengambil keputusan membunuh diri dengan minum racun, gantung diri, atau lompat dari bangunan mahupun jambatan. Jambatan Pulau Pinang telah banyak menjadi saksi pengorbanan cinta.

Terdapat juga pasangan yang meleraikan kerumitan dengan 'tinggal bersama' tanpa mempedulikan halangan. Sampai bila akan menjadi 'suami isteri' yang tidak sah di sisi undang-undang? Bagaimana kalau dikurniakan anak? Persoalah ini juga tidak boleh dipandang sebelah mata. Sekarang pasangan 'suami -isteri' berlainan agama semakin banyak di Kuala Lumpur. Kerana cinta terhalang dan masing-masing tidak mahu berkorban, mereka memilih jalan liberal yang menyalahi norma masyarakat.

Mereka bahagia? Ya, aku lihat mereka bahagia dan tidak apa apa-apa yang meributkan kehidupan mereka. Aku kata begitu kerana aku kenal dua pasangan yang memilih kehidupan begini. Bagaimana dengan dosa-dosa? Aku bukan ahli agama. Biarlah pakar agama yang berikan komen. Lagipun soal dosa adalah soal manusia dengan Tuhannya.

Kesimpulannya, ibu bapa seharusnya lebih terbuka dan tidak terlalu menekan anak-anak dalam soal menentukan jodoh. Masyarakat juga harus lebih matang dan bijak. Sekarang zaman orang meneroka angkasa, pemikiran kolot tentang kaum, agama, dan budaya mesti disingkirkan. Dalam konteks bangsa Malaysia, rakyat Malaysia seharusnya digalakkan untuk berkahwin campur melintasi sempadan kaum dan budaya.