Sunday, July 19, 2009

Cinta Di Penghujung Usia

Semua orang ada sebab tersendiri apabila melakukan sesuatu. Perkara baik, tidak baik, jahat, atau tidak jahat pasti ada sebab dilakukan. Jangan kata orang waras akal seperti aku dan anda, bahkan orang yang tidak waras akal, orang gila atau sewel juga ada sebab apabila melakukan sesuatu perkara.

Adakah sesiapa yang melakukan sesuatu perkara tanpa sebab? Kalau ada tolong beritahu agar hipotesis aku dapat ditolak dan dilupuskan.

Bukan sahaja melakukan sesuatu perkara itu bersebab, bahkan untuk tidak melakukan sesuatu juga ada sebabnya. Pelajar sekolah misalnya, tidak membuat kerja rumah juga ada sebabnya. Dahulu aku tergolong dalam pelajar yang malas menyiapkan kerja rumah kerana aku ada sebab untuk tidak menyiapkannya. Walaupun sebab itu tidak perlu aku beritahu orang lain waima ibu aku, namun aku tetap ada sebab tersendiri yang hanya aku yang tahu. Pendek kata, semua perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan manusia pasti ada sebabnya.

Hukum perlakuan manusia dengan tindakannya adalah hukum alam yang tidak boleh diubah-ubah. Hukum kemalasan aku menulis blog sejak kebelakangan ini juga tidak bisa diubah. Walaupun aku tahu ada pembaca blog yang menanti kemunculan tulisan baru aku, tetapi aku tetap malas menulis dalam blog ini. Bukan aku kekeringan idea, kemarau ilham, tetapi aku ada sebab tersendiri untuk tidak menulis. Dan aku tidak perlu memberitahu sebabnya kerana ia tidak membantu apa-apa.

Hari ini - lebih tepat malam yang semakin larut - sewaktu mendengar lagu sentimental kegemaranku dari Channel Music, terdetik di hati keinginan memasuki Cerita Kaki Lima yang telah lama aku sepikan. Jauh di sudut hati, tidak rela aku membiarkan ia sepi terlalu lama, tetapi lumrah manusia kekadang bercanggah dengan realiti.

Dari DJ yang bersuara manis, aku terdengar soalan dilontarkan: "Betulkah cinta menjadi luntur apabila usia meningkat?"

Aku terpegun dengan soalan itu. Mungkin betul dalam kategori tertentu, dan mungkin tidak dalam kategori biasa. Kategori tertentu itu kategori yang bagaimana? Inilah yang akan kukisahkan daripada cerita pendengar Channel Music itu. Luahan perasaan seorang wanita berusia 46 tahun yang dipancung cintanya oleh suami setelah hidup bersama selama 24 tahun.

Dia kakitangan kerajaan dan suaminya kakitangan swasta berusia 50 tahun. Dia diceraikan kerana suaminya mahu berkahwin baru. Alasan suaminya ialah dia telah tua sedangkan suaminya masih muda. Ini ada kaitan dengan cerita atas ranjang. Walaupun dia mampu melayan suaminya seperti biasa, tetapi suaminya seperti menolak dan ingin menggantikannya dengan pasangan yang lebih muda. Dia berusia 46 tahun dikatakan tua oleh suami, sedangkan suami yang berumur 50 tahun masih perasan dirinya "muda". Dia rela bermadu, tetapi suaminya menolak kerana tidak mahu beristeri dua. Jenis tidak sanggup makan pucuk tua dan pucuk muda sekali gus. Itulah yang tidak difahaminya. Hatinya remuk redam diperlakukan begitu. Malu kepada anak-anak, saudara mara dan jiran tetangga. Lazimnya, keadaan begini berlaku apabila si isteri hampir monapouse.

Memang di muka bumi ini terdapat lelaki jenis itu - lebih mementingkan nafsu serakah daripada ikatan kasih sayang.

Maka dengan sedih hati dia membangkitkan satu soalan iaitu adakah cinta lelaki itu hanya wujud dalam nafsu berahi? Apabila nafsu berahinya lupus daripada seseorang, waima isteri yang berkongsi pahit manis selama lebih 20 tahun, maka cintanya juga turut hilang? Aku mengeluh berat. Cinta dan nafsu selalu menyebabkan manusia keliru. Cinta lelaki dan perempuan selalu hadir bersama hawa nafsu. Aku sukar membayangkan cinta seorang lelaki kepada kekasihnya, atau cinta seorang wanita kepada pasangannya datang tanpa secebis nafsu berahi. Malah kekadang, cinta muncul dari celah-celah nafsu. Maksud aku, nafsu datang mendahului cinta.

Adakah apabila selera nafsu hilang, keindahan cinta juga hilang? Dalam kategori biasa, pastilah tidak. Tetapi dalam kategori khas, seperti luahan pendengar Channel Music di atas, mungkin ya. Suaminya menceraikan dia kerana desakan perasaan yang ingin mengahwini perempuan yang lebih muda. Barangkali lelaki ini tidak mengerti maksud cinta, atau dia langsung tidak pernah ada cinta dalam jiwanya, selain cinta nafsu-nafsi.

Dan yang peliknya, pasangan yang bercerai ketika usia lanjut bukan sedikit jumlahnya. Kebanyakannya memberi alasan "tidak sehaluan" biarpun hakikatnya kerana suami ingin berkahwin lain dan isteri pula tidak rela bermadu. Inilah akibatnya apabila cinta dipimpin oleh hawa nafsu. Sikap bertolak ansur, atau berkorban demi pasangan yang hidup bersama sekian lama langsung tiada.

Cinta dan nafsu sukar dipisahkan. Kadang-kadang kerana nafsu yang tidak terkawal, cinta musnah di tengah jalan. Dan jagalah cinta di penghujung usia dengan baik kerana apabila termusnah sukar untuk dicari ganti. Bertolak ansur dan berkorban amat diperlukan, terutama untuk si isteri yang secara biologinya lebih cepat tua daripada lelaki. Hakikatnya, manusia secara biologi mengalami proses penuaan setiap hari, tetapi cinta abadi senantiasa muda seandainya disirami kasih sayang saban waktu.

Nafsu serakah tidak perlu dilayan sehingga ke penghujung usia.