Monday, March 30, 2009

Siapa Lebih Setia?

KESETIAAN - begitu senang diungkapkan tetapi amat sukar untuk dikekalkan. Dalam kehidupan manusia, kesetiaan dituntut dalam setiap detik nafas. Tanpa kesetiaan manusia tak bisa hidup aman dan sejahtera. Namun, kesetiaan itu sendiri seperti begitu tercabar bagi mengekalkan sifatnya. Lantas, ribuan manusia menangis saban hari kerana kesetiaan yang hilang.

CINTA tidak mungkin berjaya menginjak kaki ke alam PERKAHWINAN tanpa kesetiaan. Kesetiaan adalah nadi percintaan. Betapa hebat sekalipun cinta tersebut, tanpa kesetiaan, semuanya kosong dan bakal tinggal kenangan.

Kesetiaan tidak berakhir di alam percintaan kerana alam perkahwinan juga menuntut kesetiaan. Malahan kesetiaan alam perkahwinan lebih mencabar daripada alam percintaan.

Sewaktu bercinta - madu masih manis - tetapi selepas berkahwin madu mungkin basi dan masam, maka kesetiaan pun mula tergugat. Kesetiaan yang tergugat sangat sukar dikembalikan. Oleh itu, peliharalah kesetiaan agar sentiasa segar dan tidak tercalar.

Siapa lebih setia antara lelaki dan perempuan? Satu pertanyaan yang tidak pernah dimuktamadkan jawapannya. Lelaki mungkin berkata - perempaun tidak setia. Manakala perempuan pula berkata - lelaki tidak setia. Sebenarnya, semua lelaki dan perempuan yang bercinta ada kemungkinan tidak setia. Sekadar kemungkinan, bukan satu tuduhan. Ramai lelaki mahupun perempuan yang setia kepada cintanya.

Dalam sejarah percintaan manusia, tidak ada siapa yang tahu sama ada lelaki atau perempuan yang lebih ramai tidak setia. Secara luaran, kita barangkali mengakui bahawa lelaki mudah hilang setia kerana sesetengah budaya membenarkan lelaki berkongsi cinta. Namun, secara dalamannya, perempuan juga sering tidak setia kepada pasangannya.

Tetapi yang pasti kesetiaan sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Tanpa kesetiaan, cinta tidak bisa dinamakan cinta lagi!









Friday, March 27, 2009

Hari Seribu Makna






Pada hari itu, kalau tak silap hari Rabu, aku terasa hiba. Lalu aku memandu kereta ke Pusat Rekreasi Putrajaya dan duduk di bawah rendang pokok. Hatiku berkecamuk, perasaan bergelora. Dari tempat dudukku, aku dapat melihat dengan jelas Hotel Alam Warisan yang merakam seribu kenangan pahit manisku.
Lama aku duduk merenung permukaan air tasik yang tenang. Alangkah baiknya kalau hati aku setenang air tasik itu. Sebuah bot meluncur laju. Ketenangan air ternoda - tasik berombak kecil memecahkan buih-buih putih di permukaan batu.
Dengan hujung jari aku menulis di tanah dengan huruf yang besar: CINTA ITU BUTA?
Hujan mula turun dan kelihatan akan lebat. Aku segera beredar. Ketika mengesat muka, aku tak pasti sama ada jemariku dibasahi air hujan atau air mata!








Bunga Buat Kekasih!




































Tuesday, March 24, 2009

Malam Yang Sunyi

Malam ini sunyi, kepala pula kosong. Keinginan menulis ada, tetapi minda seperti beku. Betapa diperah, idea tidak keluar. Sedaya upaya memaksa jemari menekan papan kekunci tetapi semuanya tidak menjadi. Ah, idea tak bisa dipaksa! Apabila ia datang, maka datangnya juga tak bisa disekat. Terus-menerus datang menerpa kepala. Itulah idea. Kompleks dan sukar difahami. Idea yang baik lebih rumit daripada hati seorang perempuan.

Lalu aku turunkan foto seorang lelaki yang berdiri kaku di depan Hotel Pullman di tepi tasik Putrajaya. Lelaki yang kaku dengan idea yang beku - satu persamaan yang membosankan. Itulah aku dan mindaku.

Suara hatiku berkata: "Sesuatu yang berharga tak akan datang ketika kita sangat memerlukannya. Dan ketika kita tak memerlukan apa-apa, kita akan didatangi banyak perkara yang berharga!"

Friday, March 20, 2009

Kerenah Anak Satu Ujian

Kehadiran orang baru dalam keluarga merupakan detik-detik yang amat dinanti-nantikan oleh semua pasangan yang berkahwin. Sama ada putera atau puteri, orang baru itu akan disambut dengan gembira dan penuh kesyukuran. Kehidupan terasa kosong dan tawar tanpa suara dan tangisan anak-anak. Anak adalah rezeki, kebahagiaan dan harapan.

Namun, bagi pasangan tertentu anak menjadi punca pertengkaran. Ini sering terjadi pada pasangan muda yang belajar berdikari. Kerenah anak sering mencabar kesabaran mereka. Setiap kali anak membuat kerenah, ibu bapa pula bertengkar. Puncanya berlaku apabila salah seorang, sama ada suami atau isteri mendidik anak mengikut acuannya sendiri tetapi tidak disenangi oleh pasangannya. Misalnya, isteri bertegas, sedangkan suami berlembut dan suka memanjakan anak dengan cara yang salah. Anak boleh dimanjakan tetapi mesti bertempat.

Anak yang suka membuat fiil tidak tentu pasal menyebabkan emosi suami isteri terganggu. Pada mulanya marah anak. Lama-lama kemarahan merebak kepada orang si sebelah. Mahu bertengkar dengan anak yang baru bertatih tidak masuk akal. Maka bertengkarlah sesama suami isteri. Kekadang bukan sekadar pertengkaran biasa. Bisingnya menembusi telinga jiran. Kata-kata kesat dilontarkan sesuka hati. Bagaimana seandainya pertengkaran itu tercetus pada waktu malam-malam buta ketika jiran nyenyak tidur? Dan bagaimana pula sekiranya ketika itu jiran juga terganggu emosinya lalu menjerkah keluar? Bukankah tidak pasal-pasal, kerana anak terpaksa berkelahi dengan jiran.

Suami isteri seelok-eloknya menyelaraskan kaedah membesarkan anak. Kaedah yang berbeza bukan sahaja menimbulkan masalah antara suami isteri, bahkan anak juga menjadi keliru. Malah yang paling menyedihkan apabila suami isteri bertengkar kerana anak di depan anak tersebut. Contohnya, si suami memberi duit RM30.00 kepada anaknya untuk top-up telefon. Isteri pula membantah kerana baru dua hari lepas sudah diberikan RM30.00. Perkara sekecil ini kalau tidak ditangani dengan baik akan mencetuskan masalah besar.

Selain masalah duit saku anak, masalah pelajaran anak-anak, masalah pergaulan anak-anak dan masalah moral anak-anak juga sering menimbulkan kekecohan dalam keluarga. Kekecohan terjadi apabila suami isteri tidak dapat mencari kata sepakat tentang masalah anak-anak. Batas pergaulan dan kebebasan anak-anak selalu menjadi perdebatan antara suami isteri. Walaupun semua orang tahu bahawa pendekatan agama paling berkesan, tetapi realitinya bukan semua pasangan suami isteri mahu menggunakan pendekatan tersebut. Lagipun masalah keluarga - hubungan suami isteri, anak-anak dan persekitaran lebih rumit dan kompleks daripada membaca dan menghafal kitab agama.

Jadi, bagi pasangan yang baru mendapat anak, banyaklah bersabar menghadapi kerenah anak. Anggaplah itu satu ujian. Semakin membesar, semakin kompleks kerenahnya. Beruntunglah sekiranya mana-mana pasangan suami isteri yang dikurniakan anak yang senang diasuh dan dididik.

Thursday, March 19, 2009

Jom, Padamkan Lampu!

Dahulu kita selalu main teka-teki "selak kain, padam lampu kemudian main!" apa itu? Jawapannya wayang gambar Jabatan Penerangan Malaysia. Hari ini kita padam lampu bukan untuk main wayang. Kita nak selamatkan dunia. Dunia terlalu panas, kalau tidak disejukkan sedikit takut cepat cair. Bukan dunia cair tapi kita dan segala penghuni dunia yang cair. Sekarang pun panasnya semacam sahaja.

Oleh itu, marilah kita sama-sama sertai kempen 60 minit selamatkan dunia.




Padamkan lampu selama 60 minit
pada 28 Mac 2009 , Jam 8.30 malam
Laman Web Rasmi : Klick Sini > 60 EARTH HOUR

Kenapa plak nak tutup lampu ?? - Sebab... sudah tiba masanya untuk kita bertindak dan sedar. Tentang pengunaan dan pembaziran tenaga yang berlebihan selama ini. Secara tidak langsung telah memberi kesan terhadap kenaikan suhu dunia. Satu jam ( 60 minit ) tanpa lampu , diharapkan dapat memberi impak. Tentang bagaimana kita menilai sumber tenaga yang sedia ada.

Siapa yang startkan benda nieh weii ?? - Ianya bermula sebagai sebuah kempen di Kotaraya Sydney , pada tahun 2007. Kempen ini mendapat sokongan dan amat berjaya , apabila hampir 2.2 milion rumah dan kedai perniagaan bersama-sama menutup lampu. Setahun kemudian acara ini telah menjadi sebutan di seluruh pelusuk bumi - dengan penyertaan hampir 50 million orang dan merangkumi sejumlah 35 buah negara. Acara ini diraikan , sebagai satu simbol harapan kepada satu perubahan.

Cuma tutup lampu lah ?? - Ya , hanya tutup lampu selama 1 jam ( 60 minit ) pada 28 Mac ini , bermula jam 8.30 malam . Itu sahaja tanda sokongan yang perlu lakukan. Dan dalam kegelapan ini , mungkin kita boleh berfikir betapa sumber tenaga itu seharusnya diguna dengan baik, dan bukan untuk dibazirkan.

Boleh ke saya buat benda ini ?? - Sudah tentu boleh . Hanya memerlukan hujung jari ,[ Untuk menutup suis lampu ] kita akan mampu mengubah nasib Bumi ini . Mari kita semua beramai-ramai menyahut seruan 60 MINUTES-Earth Hour 2009 .Yang akan berlangsung pada 28 Mac 2009 [ Sabtu ] , bermula jam 8.30 malam. Dengan hanya menutup semua lampu selama 60 minit , kita telah membawa harapan baru terhadap masa depan Bumi.

Apa matlamat untuk tahun ini ?? - Tahun ini , diharapkan sebanyak 1 billion umat manusia yang bertaburan di lebih 1000 buah kotaraya . Akan bersama-sama berganding bahu dalam projek global ini. Ini akan menjadi pemangkin yang kita boleh sama-sama mengambil tindakan bersama , dalam menangani isu pemanasan suhu dunia yang berlaku sekarang ini.

Siapa lagi yang saya nak ajak ?? - SEMUA !!! - Tindakan ini menuntut kerjasama semua pihak. Dari orang perseorangan , Industri Perniagaan dan komuniti setempat. Kita boleh bersama-sama keluarga , teman rakan dan ahli komuniti tempat kita tinggal untuk merayakan 1 jam tanpa cahaya ini. Begitu juga dengan Pihak berwajib , dan dari situ baru kita akan dapat melihat setiap bangunan. Yang melatari kaki langit setiap ibu kota dunia , bermula dari asia , eropah , africa dan amerika akan bergelap untuk menyahut seruan kempen ini.

Jadi apa saya nak buat sekarang ?? - Mari , kita war-warkan kempen ini kepada semua.

Bersama-sama, kita akan membuat satu perubahan yang amat besar. Kepada alam yang menjadi tempat tinggal kita selama ini . Sehingga kini sudah hampir 538 kota di 75 negara , sudah menyertai Earth Hour 2009. Jumlah ini semakin meningkat dari hari ke hari , menunjukan bahawa semua pihak sudah mula memberi sokongan. Lihat , mudah bukan..kita cuma perlu percaya. Dengan hanya berkerjasama diantara satu induvidu kepada induvidu yang lain , kita akan melihat SATU KUASA besar yang akan membawa perubahan.
(Saya petik dari web ini)

Wednesday, March 18, 2009

Nostalgia



SMK Chabang Empat, Tumpat, Kelantan. Menatap wajahnya aku menjadi hiba dan rindu pada masa silam. Di sini aku kenal sejarah negara, ilmu alam manusia, sastera bangsa dan warna-warna cinta. Kepada dia yang tidak jemu bersamaku membunuh masa di perpustakaan dengan usikan-usikan manja, aku kirimkan salam (....)!

Tuesday, March 17, 2009

Sahabat Karib RM500 Sahaja

Sahabat baik bukan senang dicari. Sahabat jenis ketawa bersama, menangis seorang ramai. Sahabat makan bersama, bayar seorang lagi ramai. Sahabat tidur bersama, tanggung risiko seorang juga ramai. Tetapi sahabat yang ketawa bersama, menangis bersama sukar dicari. Sepanjang hayat nak dapat seorang pun susah. Kebanyakan yang menangis ketika kita menangis hanya ahli keluar dan sanak saudara. Oleh itu, sesiapa yang dapat sahabat yang menangis ketika dia menangis, maka beruntunglah itu.

Sahabat yang sama-sama menangis sewaktu tersesat di puncak bukit atau hutan belantara tidak masuk kategori ini. Ini bukan menangis kerana sahabat tetapi kerana takut mati. Sahabat yang menangis sewaktu sahabatnya yang berhutang kepadanya sedang sakit bukan boleh dipercayai sangat kerana mungkin dia menangis kerana terfikirkan hutangnga. Malah sahabat yang menangis apabila kita menangis ketika mengupas bawang merah langsung tidak ada kena mengena dengan nilai persahabatan.

Tangisan Si Luncai ketika melihat raja bercukur bukan kerana kesian kepada raja tetapi dia teringat kepada bapanya. Padan dengan muka apabila dia dicampak ke laut dengan labu-labunya. Bagaimana pula dengan tangisan Hang Tuah sesudah menikam sahabatnya Hang Jebat, kerana persahabatan atau ketaatan kepada raja? Dalam sejarah banyak kisah sahabat mengkhianati sahabat. Bukan sahabat namanya kalau mengkhianati sahabat, tetapi musuh berbulu sahabat (ciplak daripada musang berbulu ayam).

Berbalik kepada sahabat yang baik. Sebenarnya sahabat yang baik ada pelbagai jenis. Ada yang baik sebaik-baiknya. Ada yang baik ala kadar sahaja. Ada pula yang baik pada masa tertentu sahaja. Dan ada yang baik masa kita baru dapat gaji. Jenis terakhir ini ramai. Di pasaran terbuka dijual timbang. Kita dapat gaji sahaja dia datang. Hidungnya tajam dalam bab menghidu duit gaji orang. Datang sahaja terus berkata: "Bang, pinjam duit ... bla, bla, bla!" Kita pun bagi tanpa sebarang bla, bla kerana percaya akan kata-katanya. Janji dua minggu akan bayar tetapi dua bulan belum nampak batang hidung. Macam mana dia nak bayar kalau duit tidak ada. Bagaimana dia nak ada duit kalau kerja tidak buat. Duit tidak akan jatuh dari langit. Duit bukan air yang boleh disejat jadi awan dan turun sebagai hujan.

Duit kekadang menjadi punca hilang kawan. Aku pernah ada seorang sahabat yang akrab. Kami berkawan hampir enam tahun. Akrabnya kami, seluar dan baju selalu berkongsi pakai. Baju aku, baju dia. Seluar dia seluar aku. Kekasih dia, kekasih aku. Kekasih aku, kekasih aku seorang. Gurau sahaja. Mana ada orang tukar kekasih. Gila.

Masuk tahun terakhir dia belah tanpa khabar berita. Puncanya kerana duit. Dia minta pinjam aku RM500.00. Janji dua minggu bayar. Dua bulan belum bayar. Dia malu walaupun aku tidak pernah minta. Dia menjauhkan diri, lama-lama terus hilang entah ke mana. Khabar berita langsung tidak ada. Sebenarnya kalau dia tidak bayar pun tidak apa kerana aku telah menganggapnya sebagai menolong kawan. Tetapi dia sendiri yang malu dan memutuskan perhubungan. Duit RM500.00 apa sangat berbanding dengan nilai persahabatan. Tetapi itulah hakikat manusia.

Pinjam duit satu dilema dalam persahabatan. Tidak memberi pinjam takut dikatakan kedekut dan tidak menghargai persahabatan. Memberi pinjam, takut dia lari dan memutuskan persahabatan.

Seorang kawan aku memberitahu petuanya begini: "Aku pantang beri pinjam kepada kawan kerana takut hilang kawan. Jadi, bila dia tak ada makan, aku bagi dia makan. Dia tak ada seluar, aku belikan seluar. Dia tak ada baju, aku belikan baju."

Aku berkata: "Sekali-sekala okey, tapi kalau selalu, terjelir lidah kita dibuatnya. Dan bagaimana kalau dia tak ada bini?"

Sunday, March 15, 2009

Pasangan Kita Bukan Mi Segera

Adakalanya ketika kita meluahkan niat untuk mendirikan mahligai cinta dengan pasangan pilihan, orang tua-tua kita akan menasihati kita: "Kenal-kenal dahulu, baru buat keputusan."

Nasihat orang tua-tua bukan tidak mahu kita kahwin. Apatah lagi menyekat niat suci kita untuk meninggallkan alam bujang. Berkahwin satu rahmat. Semua orang tahu itu. Tetapi orang tua-tua lebih berhati-hati daripada orang muda. Orang muda selalu tergesa-gesa membuat sesuatu. Dalam hal perkahwinan orang muda paling tidak bersabar. Tahu-tahu sahajalah hati muda semuanya mahu cepat dan segera. Kahwin cepat ada baiknya kerana dapat mengelakkan maksiat. Namun, cepat semata-mata tanpa menghitungkan faktor lain, kekadang membawa padah. Ramai yang berendam air mata siang dan malam selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga. Malah ada yang hanya dapat bertahan sebagai suami isteri selama sebulan sahaja. Itulah akibatnya tergesa-gesa sangat.

Perkahwinan akan membuatkan seseorang merasa bertanggungjawab, penuh cinta dan kasih sayang kepada pasangannya. Tetapi perasaan-perasaan ini tidak mungkin lahir begitu sahaja. Ia harus berlaku secara timbal balik dan secara semula jadi. Cinta dan kasih sayang tidak boleh berpura-pura, apatah lagi dipaksa-paksa. Bagaimana kita akan mencintai, mengasihi dan berasa bertanggungjawab ke atas seseorang kalau kita tidak kenal dia terlebih dahulu? Malah ganjil kalau kita tidak kenal pasangan kita.

Istilah "kenal" di sini bukan bermaksud perkenalan biasa sebagaimana kita kenal kawan-kawan di sekolah, universiti atau di pejabat. Kenal pasangan ialah kenal secara mendalam mental dan fizikalnya. Maksudnya kita kenal dan arif akan kemahuan, perasaan, fikiran, perlakuan dan tingkah lakunya. Pasangan yang hebat mampu membaca gerak hati dan gerak bodi pasangan masing-masing. Perkenalan begitu dapat membantu kita membuat keputusan tentang niat mendirikan rumah tangga.

Jangan terlalu ambil enteng dengan perkahwinan. Bercinta dalam talian merupakan sesuatu yang luar biasa, tetapi inilah yang banyak berlaku sekarang. Pelik betul. Bercinta walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, kecuali mendengar suara dan mungkin juga pengakuan dan janji-janji manis. Bagaimana hati boleh terpikat dengan orang yang belum dilihat wajahnya? Sekadar mendengar suara atau membaca e-mail atau SMSnya bisa memputik cinta? Letak hidungnya, mulutnya dan telinganya entah di bucu mana kita telah jatuh cinta. Mudahnya cinta kita.

Malah yang lebih teruk, ada yang sanggup menjadi pasangan sehidup semata. Memang rupa paras bukan penentu cinta, tetapi adalah lebih elok lihat dahulu rupa parasnya sebelum jatuh cinta. Jangan layan sangat perasaan muda yang semuanya mahu segera.

Perkahwinan merupakan sesuatu yang besar dan harus bersungguh-sungguh. Mungkin ada orang berkata, kita cuba kahwin dulu, bila tak sesuai kita berpisah. Woi, tiada istilah "mencuba" dalam kamus perkahwinan orang Timur. Orang bukannya gulai asam pedas. Mana boleh dicuba-cuba.

Tentulah sesalnya tidak sudah apabila selepas berkahwin baru kita tahu bahawa suami kita seorang kaki judi, kaki minum, kaki perempuan, masjid dan gereja entah di mana dan suka pula pukul isteri. Keraja tidak sudi, hari-hari menjadi beban kepada isteri. Silap-silap dia memaksa isteri dia jadi perempuan malam. Ini bukan gurauan kerana banyak berlaku kes menyayat hati begini. Suami ialah tulang belakang rumah tangga, tetapi kalau suami jenis sampah dunia begini, jangan kata jadi tulang belakang, jadi tulang kelingking pun tak boleh.

Lelaki pun sama. Sebelum kahwin mesti kenal calon isteri dengan betul; latar belakangnya, keturuannya, dan agamanya. Orang dulu-dulu akan hantar agen 007 untuk merisik calon isteri sebelum masuk meminang. Tujuannya adalah untuk mengenalinya sama ada betul-betul anak dara orang atau anak dara hantu. Kahwin dengan anak dara hantu yang buruk perangai, terlalu mementingkan diri dan sentiasa buruk sangka terhadap mentua tidak akan membawa kebahagiaan. Akhirnya pertengkaran tercetus, maka perceraian pun tidak dapat dielakkan.

Satu hal lagi yang pasangan selalu abaikan iaitu faktor kesihatan. Bukannya niat aku hendak menyebarkan diskriminasi perkahwinan terhadap pembawa penyakit. Tetapi apakah faedahnya selepas mendirikan rumah tangga beberapa bulan atau beberapa tahun, pasangan kita diusung ke kubur meninggalkan kita terkonteng-konteng seorang diri bagai sampan kecil di tengah lautan luas yang bergelora. Jadi, fikirkan juga faktor kesihatan apabila mencari pasangan hidup. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudain tidak berguna.

Sesi "kenal-mengenal" ini jangan pula dijadikan sesi mengambil kesempatan atau melepaskan nafsu serakah. Ramai pasangan yang tersilap faham. Mereka menjadikan sesi bercinta sebagai sesi membuat maksiat. Orang tua-tua minta kita saling mengenali, bukan suruh kita saling berpeluk, bercium dan bercumbu. Tetapi pendidikan kita terlalu tinggi sehingga universiti lalu menyebabkan kita terlalu pandai - kita menukarkan sesi mengenali kepada sesi mengumpul dosa-dosa. Akibatnya ramai yang dihadapkan ke mahkamah kerana ditangkap basah.

Tangkap basah akan menjadi lebih basah sekiranya lelaki tidak mahu bertanggungjawab untuk mengahwini pasangannya itu. Selepas bayar denda mahkamah, kedua-dua pun bye-bye. Siapa yang malu? Ibu bapa siapa yang bakal dicontengkan arang pada mukanya sehingga menyebabkan mereka tidak berani berdepan dengan jiran-jiran? Oleh itu, lelaki mahupun perempuan, bergaul, bercinta dan saling mengenali biarlah pada batas-batasnya.

Akhir sekali, sebelum mendirikan rumah tangga, kenali pasangan kita dengan baik terlebih dahulu kerana ia dapat menjamin kebahagiaan dan keberkatan rumah tangga. Dan ingat, pasangan kita bukan mi segera dalam perkahwinan.

Friday, March 13, 2009

Bunga Rindu

Seandainya malam ini aku berada di kampung, aku akan berkejar ke permatang menghirup segar udara dan dingin desah angin sambil menikmati kerdipan bintang-bintang di langit. Bintang-bintang yang bertaburan di dada langit begitu indah. Dan keindahannya tambah berseri pada malam bulan purnama.

Sewaktu remaja aku selalu berdiri di hujung permatang menyaksikan keindahan bulan purnama di pagari bintang-bintang. Budak desa seperti aku, apakah yang lebih indah daripada pemandangan sawah, langit, bulan dan bintang? Pada sawah kami menggantungkan harapan. Pada bulan kami menumpahkan rindu. Pada langit kami memanjatkan doa agar hari esok kehidupan lebih segar.

Malam ini aku di kota, tiada sawah, bulan dan bintang-bintang. Rinduku pada detik silam tiba-tiba mencengkam jiwa. Aku kembali menghitung diri - aku merenungi kembali perjalanan hidupku yang lepas, kini dan akan datang. Seorang kenalan baru mengingatkan aku kepada pelbagai perkara. Aku seperti berada di persimpangan.

Dia bertanya aku tentang jodoh: "Adakah itu keputusan muktamad?"
Terima kasih sahabat kerana mengingatkan aku tentang cinta dan jodoh.

Aku tidak berani menjawab. Jodoh entah di tangan Tuhan atau aku yang menentukannya? Sekiranya muktamad keputusanku, bagaimana andainya aku diketemukan cinta? Sekiranya belum muktamad keputusanku, bererti aku telah membiarkan masa berlalu begitu lama tanpa sebarang kepastian? Dan sampai bila aku mampu menutup pintu hatiku kepada cinta manusia yang bernama wanita? Bukankah cinta itu satu keindahan yang harus dimiliki semua orang?

"Hidup kosong tanpa cinta!"

Hidup aku sebenarnya kosong?

Tidak. Hidup aku tidak kosong.

"Apakah sakit yang lebih sakit daripada kesakitan ditinggalkan oleh orang yang amat kita cintai?" Mungkin satu pertanyaan yang bodoh. Tetapi hakikatnya manusia tidak bijak dalam semua perkara. Dan manusia juga tidak rela sakit kali kedua bagi perkara yang sama.

Aku tiba-tiba terasa rindu berbunga, tetapi kepada siapa rindu itu kutumpahkan?




Thursday, March 12, 2009

Penjual Bunga, Penjaja Cinta

Aku baru sahaja tiba di The Ship, Jalan Bukit Bintang - tiga segi emas Kuala Lumpur ketika telefon komunikator di pinggangku berlagu romantik Mariah Carey. Aku melihat nombornya dan tahulah aku bahawa dia, orang yang aku kenal beberapa bulan lalu sedang di talian.

Dia mengingatkan aku esok hari jadinya. Oh, aku hampir terlupa! Betapa lalainya aku sehingga terlupa hari jadi dia. Walaupun kenalan tidak lama, tetapi persahabatan kami akrab. Hari jadi aku yang lalu, dia berikan hadiah yang aku suka - sebuah buku novel falsafah Barat. Esok hari jadi dia, aku tidak boleh membiarkannya berlalu tanpa sebarang hadiah. Perempuan akan sentiasa ingat kepada lelaki yang tidak melupakan hari jadinya. Oh, aku terasa seperti tidak sabar menunggu hari esok! Aku mahu dia mengingati aku sentiasa. Aku mahu menjadi orang pertama mengucapkan selamat hari jadi kepadanya.

Lantas aku keluar dari The Ship tanpa sempat menghabiskan minuman. Aku menghubungi kawan. "Hello, di mana ada kedai jual bunga?"

"Malam-malam buta nak beli bunga, kau gila?"

"Aku serius ni!"

"Kau di ceruk mana sekarang?"

"Bukit Bintang."

"Cuba tengok dekat 7 Eleven."

"OK!"

Aku tutup telefon dan bergegas ke 7 Eleven. Kedai bunga masih dibuka. Malam di Bukit Bintang tidak pernah tidur. Manusia berlegar di sana sini sepanjang siang dan malam. Bunga sentiasa bertukar tangan kerana di sini cinta adalah bunga dan bunga adalah cinta. Malam itu Bukit Bintang ceria di bawah langit suram. Namanya Bukit Bintang tetapi lagitnya tanpa bintang-bintang.

Seorang perempuan, penjual bunga, berdiri di depan kedai. Aku senyum kepadanya. Dia membalas senyumanku dengan ikhlas - manis dan menawan seperti sekuntum mawar merah.

"Saya mahu beli bunga!" kataku.

"Beli bunga?" balasnya dengan mata terbelalak sedikit seperti terkejut. Mungkin dia tidak dapat menangkap kata-kataku.

"Ya, saya nak beli bunga," kataku. "Bunga mawar merah."

"Oh!" Dia tersenyum sumbing sambil menancapkan pandangan matanya ke mataku.

"Sekuntum berapa ringgit?"

Dia masih tersenyum. "Kenapa terburu-buru? Bunga takkan habis. Banyak tu!" Dia menunjukkan bunga di dalam kedai dengan mulutnya.

Aku mengangguk perlahan. Bunga-bunga aneka jenis memenuhi kedai yang tidak seberapa besar. Di dalam kedai ada seorang budak lelaki sedang menyusun jambangan bunga di dalam baldi plastik. Mungkin pekerjanya.

"Nak beli sekuntum sahaja?" tanyanya selamba. Dia memerhatikan aku dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas. Aku menjadi sedikit resah dengan pandangan begitu.

"Tentulah sejambak. Ini bunga istimewa untuk orang yang istimewa!" kataku dengan yakin.

"Bunga istimewa untuk malam yang istimewa. Bukankah begitu?"

"Ya-ya. Malam istimewa!" Malam istimewa kerana aku mahu jadi orang pertama membawa bunga kepada dia. Tepat jam 12.00 malam aku akan ke rumah dia. Aku seperti tidak sabar-sabar untuk mendengar ucapan terima kasih melecus keluar dari bibir seksinya sambil mencium bungaku.

"Silakan!" Dia mempersilakan aku sambil berjalan ke sebuah kedai kopi di tepi kedai bunga. Aku hairan, tetapi aku ikut langkahnya tanpa sebarang kata. Barangkali dia mahu minum segelas air dahulu sebelum memilih bunga untuk aku. Dia duduk di sebuah meja. Aku duduk di depannya.

"Minum apa?"

"Terima kasih, saya baru minum!"

"Oh! Kalau begitu kita terus bincang tentang bunga."

"Ya."

"Mawar merah?"

"Ya, mawar merah."

"Kenapa minat mawar merah?"

"Apa?"

"Oh, ya, untuk orang teristimewa tentulah mawar merah, atau mawar jingga."

"Begitulah."

"Sekarang bunga mawar merah sangat laku. Harganya mahal sikit."

"Saya tak kisah." Aku memang tidak kisah kerana harga sejambak bunga tidak akan membuatkan aku miskin. "Mahal tu, berapa?"

"Datang dengan kereta?"

"Kereta." Banyaknya penjual bunga ini menyoal. Jangan-jangan dia juga nak tahu aku tinggal di mana, kerja apa dan gaji berapa?

"Awak tinggal di mana?"

Ya, Tuhan! Betul sangkaan aku. Apa kena mengena tempat tinggal aku dengan bunga. Banyak hal betul.

"Kalau tak sudi nak jawab, tak mengapa," katanya seolah-olah dia dapat membaca fikiranku. "Adakah bunga akan diserahkan di rumah atau di hotel?"

Ini sudah kira melepasi batasan urusan jual beli bunga. Kawan aku, aku mahu berikan bunga kepadanya di tempat mana - di rumah, hotel, bukit, laut, sungai, hutan atau belukar ikut suka hati akulah, bentak hatiku mula hilang sabar. Penjual bunga ini rasanya sedang diserang "bulan mengambang", fikirku. Orang berkata, perempuan masa "bulan mengambang" bersikap pelik-pelik.

"Bolehkah saudari ambilkan bunga untuk saya sekarang?"

"Beli bunga mesti sabar, barulah dapat bunga segar," katanya sambil menghirup air. "Kita belum tentukan harganya."

"Sejambak berapa?"

"RM300."

"Hah!" Aku terperanjat. Sejambak bunga harganya melambung sehingga RM300.

"Rasanya awak tak biasa beli bunga. RM300 tak mahal. Dari Bosnia. Lawa dan teristimewa."

"Dari Bosnia? Bukan dari Cameron Highlands?"

"Awak nak bunga dari Cameron Highlands."

Aku menjadi keliru lalu terdiam sejenak. "Aku suka bunga tempatan."

Dia kembali tersenyum. "Okey, diskaun 50%. Sekarang?"

"Sekarang!"

Dia bangun dan menarik tangan aku keluar dari kedai kopi. Aku terpinga-pinga. "Keretanya di mana?"

Aku tercengang. Dia membetulkan leher baju aku dan mencubit pipi aku sekali. Dia cuba hendak merangkul aku, tetapi aku sempat menahan tangannya. Aku mula menjadi takut. Aku terasa sesuatu yang pelik sedang berlaku. Aku memerhatikan dia, kemudian melihat ke dalam kedai bunga. Budak lelaki di dalam kedai sedang melayan pelanggan. Aku memerhatikan dia sekali lagi - seorang yang cantik dan sopan tetapi aku bukan pelanggan yang dinanti-nantikan.

"Tak perlu hotel 5 star, buang duit. Hotel biasa pun boleh!" Dia berkata, cuba memegang tangan aku sekali lagi. Aku menepis dengan hormat.

"Maaf, saya kira kita sudah salah faham," tegasku, lalu minta diri dan beredar dari situ. Dia terpinga-pinga. Aku tersilap besar. Dia bukan penjual bunga, tetapi penjaja cinta.
Dia tidak keseorangan kerana ketika aku meninggalkan dia, aku nampak beberapa orang perempuan seperti dia sedang berlegar-legar di sekitar kedai bunga, di siar kaki dan di lampu isyarat. Bukit Bintang sudah jadi seperti Kota London, kunang-kunang bermain cahaya di jalanan.

Sewaktu dalam kereta, aku menelefon kawan sekali lagi: "Selain di Bukit Bintang, di mana lagi ada kedai bunga buka waktu malam?"

Aku terus memecut kereta meninggalkan Bukit bintang. Selamat tinggal penjual bunga! Selamat tinggal mawar merah!

Langit malam di Bukit Bintang semakin kelam.














Wednesday, March 11, 2009

Jatuh Cinta, Jatuh Tangga

Jatuh cinta perkara biasa. Selaku manusia yang ada hati dan perasaan akan jatuh cinta sama ada lambat atau cepat. Jatuh cinta kalau terkena dengan caranya, seronok. Boleh senyum-senyum seorang diri waktu petang. Tetapi kalau tak terkena dengan caranya, sakit. Boleh meraung siang dan malam.
Adakah sesiapa yang tak pernah jatuh cinta? Aku tak percaya kalau ada sesiapa kata dia tak pernah jatuh cinta. Lainlah kalau dia belum cukup umur, belum kenal erti cinta.

Aku dulu masa umur 12 tahun sudah main surat cinta. Tulis surat cinta, lipat jadi kapal terbang dan lancar ke arah orang yang aku suka. Kapal terbang mendarat tepat di atas kepala. Mak ooi. Mendarat di atas kepala Cikgu. Apa lagi. Aku diberi makan pembaris panjang. Sedapnya punggung hanya sendiri yang tahu. Cinta budak-budak hanya cinta monyet. Cepat datang dan cepat pergi, tetapi ikhlas dan selamat. Berdua-duaan dalam pondok daun pisang pun tak takut ditangkap khalwat.

Naik sekolah menengah, jatuh cinta lagi. Kali ini lebih hebat. Siang dan malam teringatkan dia. Tulis surat cinta lagi. Siap dengan pantun dan sajak. Malang datang lagi. Posmen dicekup Pengawas dan surat diserahkan kepada Cikgu Disiplin. Mak ooi. Cikgu itu baca surat cinta aku dalam kelas. Aku hanya tersengih. Tetapi dia menangis kerana malu. Aku dipanggil ke bilik Pengetua. Pengetua botak itu marah aku sakan. Rupa-rupanya budak perempuan yang aku tergila-gilakan itu anak saudara dia. Kalau aku tahu, taubat aku tak berani kacau. Anak saudara Pengetua, beb, nak cari nahas?

Masuk kolej jatuh cinta, masuk universiti jatuh cinta dan masuk pejabat pun jatuh cinta. Banyak benar jatuh cinta. Biasalah manusia. Kalau tak jatuh cinta, tak lengkap resipi kehidupan. Siapa yang tak pernah jatuh cinta ibarat makan nasi tanpa lauk. Sedapkah makan nasi kosong? Kucing pun tak mahu, jangan kata manusia.

Jadi, sesiapa yang belum jatuh cinta, segera cari cinta. Jangan tunggu sampai tua baru nak jatuh cinta, tak elok. Hari tua hanya sesuai untuk menambahkan resipi cinta sedia ada agar sentiasa segar, bukannya baru nak jatuh cinta. Masa jatuh cinta mesti masa muda. Belasan tahun atau awal dua puluhan paling sesuai. Tiga puluhan dan empat puluhan bukan tak boleh jatuh cinta tetapi tak sedap macam masa muda. Perasaan tua dan perasaan muda lain rasanya. Tetapi beringat, cinta tua adakalanya lebih mengancam daripada cinta muda.

Jatuh cinta belum tentu manis. Jatuh cinta akan manis apabila dia juga jatuh cinta kepada kita. Kalau kita jatuh cinta sebelah pihak sahaja, sakitnya berdenyut-denyut. Kata pepatah, tepuk tangan sebelah tak akan berbunyi. Itu betul. Tetapi kalau tepuk ke batu bukan setakat tak berbunyi, malah sakit lagi. Jatuh cinta sebelah memang betul-betul sakit. Siapa yang pernah alami tahu betapa sakitnya cinta sebelah pihak. Pagi sakit, petang sakit. Siang sakit, malam bertambah sakit. Sakitnya menikam-nikam jantung apabila wajah si dia melayang-layang di depan mata. Buka mata nampak wajah dia. Katup mata pun nampak wajah dia. ambil bantal tutup muka, wajah dia masih menjelma. Dia seperti mengejek, mencebir mulut dan menjelir lidah. Sudahlah tak balas cinta kita, mengejek kita pula. Gigit lidah biar putus baru tahu!

Cinta tak berbalas sekiranya tidak serasi. Ini hukum alam, bukan hukum ciptaan aku. Keserasian cinta diputuskan orang yang bercinta. Sekiranya orang yang mahu berpadu cinta itu sangat berbeza ciri-cirinya, cinta tak akan jadi serasi. Contohnya, cinta si kaya sukar jadi serasi dengan cinta si miskin. Tambah-tambah lagi si kaya yang sombong dan ego dengan kekayaannya. Cinta si jantan tua juga sukar diserasikan dengan cinta si gadis muda. Cinta berlainan darjat pun mustahil disatukan. Sukar untuk kita percayai cinta putera raja dapat dipasangkan dengan cinta anak pengemis jalanan. Namun, contoh-contoh ini tidak muktamad kerana bukan semua orang "bercinta kerana cinta" tetapi terdapat orang yang bercinta kerana perkara lain. "Perkara lain" ini sering hadir dalam cinta tanpa disedari dan menyebabkan cinta tersebut hilang kesuciannya.

Perkara lain boleh jadi datang dalam bentuk kekayaan, kemasyhuran, belas kasihan, simpati, penghormatan, dan sebagainya sering mencemarkan kesucian bercinta kerana cinta. Bercinta kerana cinta ialah perasaan cinta kita kepada dia kerana dia bukan kerana faktor lain misalnya, kekayaan atau kemasyhurannya. Bercinta kerana cinta selalu dilabelkan sebagai gila apabila dua orang yang bercinta itu terpisah oleh jurang yang dalam. Jurang cinta lazimnya terbentuk oleh masyarakat sehingga menjadi tradisi. Cinta seorang lelaki muda kepada seorang nenek pasti dipandang aneh walaupun cinta tersebut murni. Begitu juga dengan gadis muda dengan lelaki tua.

Cinta tidak berbalas lebih sakit daripada jatuh tangga. Jatuh tangga hanya sakit sekali kerana lain kali kita akan berhati-hati apabila naik tangga. Tetapi sakit kerana jatuh cinta yang tidak berbalas sering berulang-ulang. Serik sekejap. Lepas sakit jatuh lagi. Jatuh dan jatuh sehingga jumpa cinta yang berbalas.

Jatuh cinta akan jadi manis apabila cinta tersebut dibalas. Tiada yang lebih manis bagi seseorang yang jatuh cinta selain cintanya berbalas. Cinta bertambah bermakna seandainya keluarga turut merestuinya. Namun, sebelum jumpa cinta sejati, cinta yang berbalas, entah berapa kali terpaksa sakit. Malah ada yang sakit kerana cinta sehingga mencederakan diri. Membunuh diri kerana cinta ditolak juga selalu berlaku. Pendek kata, perasaan yang dinamakan cinta menyebabkan manusia sanggup melakukan apa-apa sahaja termasuk mencabut nyawa sendiri.

Kalau takut sakit, jangan jatuh cinta. Kalau takut jatuh cinta, jauhilah cinta. Tetapi jangan lupa, orang yang tak pernah jatuh cinta adalah orang yang tak lengkap kehidupannya!








Monday, March 9, 2009

Jadilah Superman!

Nak pikat perempuan? Jadilah superman kerana perempuan suka kepada superman. Perempuan mengimpikan kehadiran superman dalam hidupnya. Apabila ada masalah, kecemasan atau kesakitan superman segera datang menghulurkan bantuan. Itulah impian perempuan siang dan malamnya.

Perempaun paling benci anggota polis dalam filem Hindi yang hanya akan tiba setelah segala masalah selesai. Buat apa datang kalau semuanya sudah diselesaikan. Sebab itulah mereka suka kepada superman - datang tepat pada masa yang diperlukan. Kalau boleh setiap masa, superman dapat mengawasi mereka dan menunggu untuk memberikan pertolongan. Sakit, pening, demam, susah hati, sakit hati, bergaduh dengan bos, bertengkar dengan kawan, bertegang leher dengan drebar teksi, berkrisis dengan keluarga, dibuang kerja, dibuang saudara dan segala kesusahan, apabila ada superman yang berat boleh menjadi ringan. Oleh sebab itulah superman menjadi idaman semua kaum hawa. Boleh kata, dalam semua detik dan masa apabila ada sahaja kesusahan, perempuan akan teringatkan superman.
Malah ketika sakit nak kencing waktu malam perempuan masih teringatkan superman - alangkah baiknya kalau ada superman dukung dia ke bilik air, atau lebih baik lagi kalau superman boleh tolong kencingkan dia kerana dia malas bangun!

Kalau anda nak memikat perempuan, anda mesti belajar jadi superman. Kalau tak mampu jadi superman kerana tak reti terbang, jadi hero Hindustan pun boleh. Hero Hindustan pun disukai perempuan kerana kemunculannya sentiasa tepat pada masa. Setiap kali heroin ditimpa kesusahan, misalnya ketika hendak dirogol oleh geng penjahat, tatkala kainnya diselak sampai ke pangkal peha, tetapi belum menampakkan itu itu, hero pun tiba. Aduh, terlepas babak menarik yang menitiskan liur!

Kerana kecekapan dan ketibaan yang tepat pada masa, hero menjadi impian semua perempuan. Kalau anda juga tak mampu jadi hero, lupakan sahaja niat nak memikat perempuan. Setakat jadi anggota polis atau anggota ambulans yang datang ketika cerita hendak tamat, balik tidur sahajalah. Perempuan tak teringin orang seperti anda. Buat menyampah hidupnya. Perempuan memerlukan orang yang dapat selesaikan masalah hidupnya. Kaya atau miskin lain kira. Perempuan bukan mahu harta bertimbun-timbun. Asalkan anda boleh jadi penyelamat masa kesukaran sudah memadai. Jadi tempat bersandar ketika dia lemah lutut, jadi kaunselor masa hatinya bercelaru, jadi Maybank masa dia kesempitan wang (kalau anda juga pokai, pinjamlah dengan kawan), jadi doktor masa dia sakit deman, jadi tong luah perasaan masa jiwa dia bergelora, jadi telinga pekak badak masa dia mengamuk, jadi ayam goreng masa dia lapar KFC dan jadi segala jadi mengikut kesesuaian masa dan kehendak hatinya. Ingat, jangan mimpi nak jadi bantal golek masa dia kesunyian. Ini bukan bidang tugas superman atau hero Hindustan.

Perempuan paling benci lelaki - kekasihnya - yang hanya tahu muncul masa senang. Masa senang dia datang bersengih, masa susah hilang entah ke lubang cacing mana. Masa nak bodek itu dan ini, muncullah dia membawa seberkas kata-kata bermadu untuk dilafazkan atas nama cinta. Tetapi masa perempuan betul-betul memerlukan dia, dia tidak datang dan berikan pula alasan yang tak masuk akal, misalnya seminggu tak nampak batang hidung, katanya sibuk. Sibuk-sibuk pun takkan dalam seminggu langsung tak ada masa. Kucing pun tak percaya. Lelaki begini, berlambak di kaki lima, pasar malam atau kompleks beli-belah. Jangan kata buat kekasih, buat pekasam pun perempuan tak sudi. Jadi, kalau nak pikat perempuan, belajarlah jadi superman atau hero Hindustan.

Hero Hindustan bukan sekadar penyelamat yang ulung, romantik lagi. Ini yang membuatkan hati perempuan menjadi cair dan meleleh sehingga ke hujung kaki. Dari Artik yang beku sehingga ke Antartika yang juga beku, semua perempuan tergila-gilakan lelaki romantik. Kata seorang perempuan: "Daripada berkasih dengan lelaki yang tak romantik, lebih baik hidup dengan kucing!" Alahai, hebat sungguh romantika lelaki.

Ingat, kalau nak memikat perempuan, jadilah seperti superman atau hero Hindustan yang gagah perkasa, dada bidang, bulu lebat (bulu dada), sopan, romantik dan datang tepat pada masa setiap kali diperlukan! Jangan jadi Tarzan kerana perempuan bukan haiwan liar!





Saturday, March 7, 2009

Main Tarik Tuala

Mendirikan rumah tangga sangat senang tetapi memelihara kebahagiaannya bukan mudah. Rumah tangga yang bahagia melanjutkan usia cinta penghuninya. Kebahagiaan yang hilang bakal meragut suci cinta. Rumah tangga tidak dapat terus berdiri tanpa cinta. Cinta dan bahagia adalah pasangan yang tidak boleh dipisahkan. Cinta tidak ada makna tanpa bahagia, begitu juga bahagia tidak mungkin wujud tanpa cinta.

Walaupun sewaktu bercinta, lafaz janji setia sehidup semati disaksikan ombak, laut dan pantai, tanpa kebahagiaan hidup, lafaz itu akan berantakan meninggalkan janji-janji kosong sebagai kenangan. Pasangan yang sedang dilamun cinta pasti menafikan kata-kata aku. Mereka yang sedang mengecapi kebahagiaan rumah tangga juga akan menggeleng. Tetapi bagi mereka yang pernah melalui detik hitam berumah tangga tentu mengaku bahawa katak-kataku bukan omong kosong. Sukar untuk dipercayai bahawa kebahagiaan yang hilang mampu melanjutkan kelangsungan rumah tangga sehingga ke penghujung usia.

Maka pakar motivasi rumah tangga bahagia pun berebut menghamburkan petua-petua untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Ketika memandu ke Putrajaya suatu pagi yang dingin di kolong langit yang mendung, dari corong radio aku mendengar seorang pakar motivasi sedang membebel tentang rumah tangga bahagia.

Sebelum pergi kerja, kata pakar motivasi itu, peluk isteri dahulu erat-erat. Pelukan boleh menyebabkan badan mengeluarkan sejenis hormon kasih sayang. Ini aku percaya. Memulakan hari baru dengan berpelukan dengan orang yang kita sayang memang mampu menyegarkan tubuh dan minda. Pesan aku, bagi pasangan yang belum kahwin, petua ini bukan untuk kalian -jangan diamalkan kerana akan merangsang hormon nafsu.

Sentiasa bergurau senda. Pasangan harus kreatif bersenda, mencuit, menepuk punggung dan sebagainya untuk menimbulkan keceriaan. Maksudnya, pasangan mesti selalu berdampingan. Waktu makan, menonton TV atau membaca biarlah selalu berlaga lutut, bergesel kaki, atau berhimpit di sofa dapat melahirkan keceriaan dan kebahagiaan. Cubit-cubit manja sekali sekala ibarat menambah perisa dalam rumah tangga.

Bergurau-senda, usik-mengusik, cubit-cubit dan ketawa-ketawa menjadi perkara biasa bagi pasangan yang baru kahwin yang sedang menikmati kemanisan madu cinta. Kekadang cubit-cubit dan ketawa-ketawa boleh menyebabkan pasangan masuk tidur awal. Namun, bagi pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga dan telah beranak pinak, jarang benar bergurau senda, apatah lagi usik-mengusik kerana malu anak-anak. Inilah silapnya. Tetapi gurau senda harus pada batasnya. Gurau senda yang berlebihan akan mencederakan perasaan dan memungkinkan pergaduhan tanpa diundang.

Celaka! Aku sumpah dalam hati. Sebuah kereta beleduh yang dipandu laju memotong kereta aku dengan kurang ajar. Rakyat Malaysia selalu hilang sopan ketika memandu. Perasaan aku sedikit terganggu. Aku kembali ceria apabila terdengar pakar motivasi berkata: "Pasangan boleh main tarik tuala!"

Kedengaran juruhebah wanita yang baru dikurniakan anak itu ketawa. Aku turut tersenyum dalam hati. Main tarik tuala bukan sekadar dapat melahirkan kebahagiaan rumah tangga, bahkan dapat menambahkan ahli keluarga!

Bagi aku, cinta yang sedikit tetapi berterusan tanpa putus laksana air sungai yang sentiasa mengalir biarpun pada musim kemarau, lebih baik daripada cinta yang banyak tetapi hanya untuk sementara waktu.

Friday, March 6, 2009

Aku Belum Dewasa


Masa kanak-kanak di desa

ketika berlari di permatang sawah

di celah pohon gajus dan senduduk

dibawa ke kota

bersama waktu

dia meniti usia

di ruang debu dan asap

di celah-celah rumah pangsa

di belakang pencakar langit

dia tidak minta dihina

dia tak minta dipuji

walaupun sepuluh lelaki melintas di depannya

menghamburkan kata: jelita sungguh gadis ini!

dia cuma minta hidup bebas

dan sedikit bahagia

bersama insan tercinta.

Detik peralihan bermula

desir angin Timur menusuk kalbu

dia dituntut akur kehendak si bapa dan si ibu

menemukan jodohnya dengan si tua

si suami kaya beristeri dua

dibaca dan ditafsir dirinya

katanya: "saya belum dewasa!"

kata bapanya: "dewasa manusia bukan pada usia."

kata ibunya: "rumah tangga bermula pada baligh!"

tunduknya lesu terkenangkan cinta

si jejaka pengukir harapan

melamarnya untuk hari depan

di puncak impian

kini janji setia dihimpit keperitan

dia melangkah longkai

merungkai cinta semalam.

Demi ibu dan bapa tersayang

dia dinikahkan di timbunan air mata.

tatkala si isteri muda bangun pagi itu

dia melihat setompok darah

pada gaunnya yang putih
sebak hati dalam pilu

katanya: "diriku bukan milikku lagi!"






























Thursday, March 5, 2009

Perempuan Sukar Dimengerti

Secara terus terang aku mengaku banyak perkara yang aku tak faham tentang perempuan. Manusia yang bernama perempuan memang sukar difahami. Aku cuba sedaya upaya tetapi tak faham-faham juga. Mungkin aku jenis lelaki yang terlalu pentingkan kelelakian lantas terlepas untuk mentafsir keperempuanan?

Mengarut. Aku bukan jenis tak pedulikan perempuan langsung. Selalu aku tafsir perempuan - tatkala aku melihat perempuan senyum, aku tafsir senyumannya; tatkala aku merenung perempuan ketawa aku tafsir ketawanya; tatkala aku terlihat perempuan menangis, aku tafsir air matanya; dan tatkala aku memandang perempuan berjalan, aku tafsir lenggok pinggulnya. Namun, aku tetap tidak mengerti. Barangkali aku memerlukan lebih daripada itu. Aku memerlukan seorang perempuan berbogel di depanku dan mentafsirnya setiap sudut tubuhnya? Mengarutlah aku ini. Perempuan hanya sanggup bertelanjang di depan pelukis profesional, atau jurugambar majalah tersohor. Gilalah perempuan itu kalau berdiri menayang bodi di depan aku. Dan gila juga aku membiarkan perempuan bukan muhrim mendedah aurat di depan mata.

Sumpah! Dari hati yang tulus aku memang tidak mengerti perempuan. Perempuan sentuh lelaki, lelaki tak pernah marah. Apabila lelaki sentuh perempuan, perempuan terus meradang. Apabila perempuan jilat bibir di depan lelaki, lelaki anggap perkara biasa kerana perempuan suka jilat lipstik pada bibir sendiri. Tetapi apabila lelaki menjilat bibir di depan perempuan, perempuan kata itu adalah gangguan seksual. Malam-malam buta perempuan telefon lelaki, ibu bapa lelaki tak pernah ambil pusing. Apabila lelaki telefon perempuan malam-malam buta, ibu bapa perempuan pasti tuduh lelaki gila. Lelaki ming. Lelaki pengacau anak dara orang.

Sekarang aku betul-betul belum mengerti mengapa perempuan suka pakai skirt, gaun dan baju kurung? Kenapa lelaki tidak. Kenapa lelaki dikatakan gila apabila pakai skirt, gaun dan baju kurung? Kenapa perempuan mesti pakai gincu, bedak, celak mata dan cabut kening? Kalau lelaki juga pakai gincu, bedak, celak mata dan cabut kening bagaimana? Lawakah begitu?

Perempuan rela menghabiskan ratusan atau ribuan untuk menghias diri. Kos untuk kepala sahaja sebulan berapa. Sekejap keriting, sekejap rebonding, sekejap calouring, sekejap itu, sekejap ini.

Kepala perempuan satu-satunya kepala yang termahal dalam kesemua jenis kepala, termasuk kepala bendul di rumah aku di kampung. Kepala aku? Hish, kepala aku langsung tak ada harga bagi perempuan. Perempuan tak suka kepala lokal. Mereka suka kepala import, biarpun sasul, mereka tetap suka. Inilah yang menambahkan pening aku tentang golongan hawa.

Aku menjadi lebih keliru apabila melihat perempuan pakai kasut tumit tinggi. Kalau pakai selesa tak mengapa. Ini tidak. Pakai tak selesa, tetapi paksa diri pakai juga. Inilah yang aku betul-betul tak mengerti. Perempuan rendah pakai kasut tumit tinggi untuk tambah ketinggian agar kelihatan lebih cantik. Rasional. Bagaimana dengan perempuan yang tinggi lampai, tetapi masih berjengket-jengket dengan kasut tumit tinggi? Dan apabila terpaksa berjalan jauh sikit, merungut-rungut dan mulalah mencari sasaran untuk menghamburkan kemarahan. Tidak ada makhluk Tuhan yang sanggup mengorbankan keselesaan diri selain manusia bernama perempuan ini.

Bukan setakat aku tidak mengerti, besi penutup longkang juga tidak mengerti perempuan. Petang itu waktu puncak. Orang baru keluar dari pejabat. Aku berjalan-jalan mencari sesuatu (bukan cari perempuan) di tengah hiruk-pikuk manusia nak balik rumah. Tiba-tiba seorang perempuan yang berjalan di depan aku menjerit dengan kuat. Dia terhuyung-hayang seperti hendak jatuh. Aku sempat menyambut pangkal lengannya; terasa lembut dan hangat, mungkin terlanggar colinya. Orang ramai memandang ke arah kami.

Dia berulang kali mengucapkan terima kasih kepada aku kerana selamatkan dia daripada tersungkur. Siar kaki tak rata? Bukan siar kaki tak rata tetapi kasut tumit tingginya terperlus dan melekat di celah besi penutup longkang. Aku semakin tidak mengerti. Langkahnya mati. Dia memegang bahu aku untuk mengimbangkan badannya. Dengan perlahan-lahan dia membuka kasut jenama luar negerinya. Aku bantu tarik kasutnya. Lekatnya sangat kuat. Dua kali tarik barulah tercabut.

"Nasib baik tak patah!" Dia sedikit tersenyum melihat kasutnya "selamat". Perempuan, oh perempuan. Dia lebih sayangkan kasut yang hampir membunuhnya daripada dirinya sendiri? Aku tak tahu nak menjawab kerana aku tak mengerti perempuan. Biar dialah yang menjawabnya.

Aku betul-betul tak mengerti perempuan, tetapi bukan semuanya. Ada perkara-perkara tertentu, sudut-sudut tertentu dan kesukaan-kesukaan tertentu yang aku cukup mengerti tentang perempuan. Dan satu perkara yang aku cukup mengerti tentang perempuan adalah kasih sayang. Kasih sayang perempuan membawa ke syurga!












Karot Susu dan Oren Segar

di sudut kopitiam di tengah kota

di sebuah meja di tengah kopitiam

segelas karot susu di depanku

segelas oren segar di depannya

kami bertentang mata

aku senyum

dia senyum

aku ketawa

dia ketawa

aku angguk

dia geleng

aku bertanya: kenapa geleng kepala?

dia berkata: ibu berpesan jangan angguk ikut lelaki

karot susu dan oren segar

tak boleh minum sekali!

Wednesday, March 4, 2009

Ombak, Cintaku dan Gadis Itu!

Ini kegemaran aku. Apabila pergi ke pandai, aku suka berjalan di gigi air. Sambil berjalan aku suka membawa sebatang kayu kecil. Dengan kayu itu aku akan tulis di pasir apa-apa sahaja yang terlintas di kepala.

Apabila ombak datang, tulisan aku dipadam dan diseret ke laut. Aku akan tulis lagi. Sememangnya aku tulis dengan niat agar ombak membawa tulisan aku ke dasar laut. Impianku agar hidupan laut - ikan, ketam, udang, penyu dan tapak sulaiman dapat membaca tulisanku dan mengerti isi hatiku.

AKU CINTA KEPADAMU! Tulisan ini bertahan beberapa detik cuma, sebelum kedatangan ombak besar dan mengheretnya ke dasar laut.

AKU RINDU KEPADAMU! Tulisan ini bertahan lebih lama kerana ombak yang datang tidak berapa besar dan lidahnya tidak sempat menjilat tulisanku. Aku tambah di hujungnya. OH, OMBAK, BAWALAH RINDUKU KE DASARMU! Dan ini tulisanku yang hampir-hampir tak sempat dihabiskan kerana ombak mengganas sehingga membasahi kaki seluarku.

DI KALA PELUKANKU .... Ini tulisan yang tak sempat menemukan noktah kerana pukulan ombak lebih pantas menyapunya pergi. Deru angin tenggara menikamkan tubuh. Aku kesejukan dalam helaian baju T yang nipis dan separuh basah.

DI KALA PELUKANKU BERTEMU PELUKANMU,

KITA BERSATU DALAM KEHANGATAN CINTA,

DUA JIWA DUA BANGSA,

TANPA MALU-MALU KITA BERCUMBU,

DISAKSIKAN CAMAR-CAMAR,

DI BAWAH RENDANG POHON RHU,

DI HAMPARAN PASIR DAN DEBU,

DI PANTAI CINTA BERAHI (PCB),

KINI NAMANYA DIPERBAHARUI,

PANTAI CAHAYA BULAN (PCB) YANG SOPAN,

ADALAH SATU CATATAN PERIBADI,

KITA PERNAH KE SINI,

BERTEMU,

DAN BERPISAH.

Inilah tulisanku di permukan pasir yang basah yang tertala bertahan di pantai PCB sebelum ombak dengan kejam merampasnya. Angin laut mulai kencang. Hujan renyai-renyai. Aku berlari ke perteduhan di sebuah pondok di tepi pantai. Seorang gadis muda berdiri menggigil sambil memegang sekuntum bunga mawar merah. Bajunya kebasahan. "Adik buat apa seorang diri di pondok ini?"

"Tunggu kepulangan seorang kekasih!"

"Ke mana kekasih adik menghilangkan diri?"

"Nun, di sana! Di lautan lepas terbentang luas, kekasihku bakal kembali. Dia berjanji akan pulang sebelum bunga ini layu!"

"Kekasih adik seorang pelaut?"

"Dia pencinta laut yang setia!"

"Laut adalah kekasih pelaut."

Gadis itu menangis. Bunga digenggamnya sudah layu!

Monday, March 2, 2009

Jangan Pandang Sepi Syiling 10 Sen!

Sewaktu aku pergi ke rumah kakak aku beberapa hari lepas, aku mendapat satu pengajaran. Budak-budak zaman sekarang tidak menghargai duit syiling. Duit syiling bagi mereka tak ada nilai. Aku lihat duit syiling 10 sen dan 20 sen bersepah di lantai, di penjuru rumah dan di bawah sofa.

Budak-budak tak peduli. Emak mereka juga tak hirau. Duit 10 sen atau 20 sen tak tahu nak beli apa, kata kakak aku. Kalau tak ada 10 sen, seringgit juga tak ada, kataku. Dia ketawa. Seketika, anak saudara aku yang berusia 5 tahun mengutip duit syiling di penjuru rumah dan di bawah sofa, lalu menghulurkan kepada aku. Emak dia ketawa. Aku turut ketawa. Aku hitung syiling berhabuk di tapak tangan. Duit 10 sen enam keping dan 20 sen lima keping. Aku letakkan di atas meja. Betapa tak ada harganya duit syiling bagi budak-budak sekarang.

Duit merah 1 sen usah diperkatakan. Dibuang di merata-rata. Aku sendiri pun kurang sayang dengan syiling merah 1 sen. Walaupun boleh digunakan untuk membayar bil, aku lebih selesa campak di dalam tin kosong di sudut rumah.

Selepas makan tengah hari aku minta diri. Ketika berjalan ke kereta, aku terlihat sekeping duit syiling 10 sen bersilau di permukaan jalan dipancar terik mentari. Aku terfikir mahu kutip atau tidak. Aku tersenyum, lalu menuju ke kereta. Duit 10 sen nak beli apa. Ah, buat malu saja kalau ada budak-budak ternampak aku kutip duit itu!

Dalam perlajanan pulang aku singgah di pejabat kawan kerana ada urusan peribadi. Nasib baik ada petak parkir kosong. Aku sangat malas datang ke sini kerana sukar cari tempat parkir. Sewaktu hendak membeli tiket parkir "bayar dan peraga", aku tergamam kerana duit syiling dalam poket cuma ada 50 sen. Bayaran minimum 60 sen untuk satu jam. Aku selongkar kereta tetapi satu sen pu tak ada. Aku teringat syiling 10 sen yang bersilau di permukaan jalan. Kalau aku kutip duit itu, aku tak perlu garu kepala sekarang. Ah, sekejap saja tak perlu bayarlah!

Setelah selesai urusan dengan kawan, aku terus keluar kerana takut saman. Ketakutan aku menjadi kenyataan. Ketika tiba di kereta kertas saman terselit di wiper. Waduh, kena saman lagi! RM30 pasti melayang. Kalau aku menghargai duit 10 sen, aku tentu tak perlu bayar saman RM30!




Sunday, March 1, 2009

Nilainya Melebihi RM50

Aku tak kisah kalau aku belanja kawan makan atau minum di gerai atau restoran. Aku tak peduli andainya aku menghabiskan duit di SPA atau pusat urut tradisional di Bangsal atau Bukit Bintang. Malah aku tak menyesal walaupun aku terbeli batu permata tiruan di kaki lima Masjid India. Dan aku tidak hairan apabila aku membeli buku yang isinya hanya omong kosong. Aku tidak menyesal kerana semua yang aku sebutkan adalah kerelaan aku. Aku tidak menyesal walaupun terpaksa menghabiskan ratusan atau ribuan ringgit untuk melayan minat aku.

Tetapi aku akan menyesal apabila terpaksa mengeluarkan duit poket untuk membeli penipuan. walaupun sikit, atas nama penipuan aku menyesal tak sudah-sudah. Malah aku menjadi marah. Bukan marah kepada si penipu tetapi marah kepada diri sendiri yang ditipu. Orang yang ditipu bagi aku adalah orang yang tidak berhati-hati (dalam bahasa biadab orang bodoh) dan tidak masak dengan kerenah orang lain. Tuduhan ini mungkin terlalu berat bagi orang yang pernah kena tipu. Mungkin orang lain menganggap orang yang terkena tipu kerana kebaikan hatinya dan mudah mempercayai orang lain. Walau apapun, aku tetap menganggap bahawa orang bijak dan berhati-hati mustahil dapat ditipu.

Kerana takut kena tipu dan dituduh bodoh maka aku selalu berhati-hati. Aku yakin semua orang pun, termasuk mereka yang cari makan dengan menipu, tidak mahu ditipu. Pelik sekali manusia, suka menipu orang tetapi tidak suka orang menipu dia. Namun, selama mana kita mampu berhati-hati kerana penipu sekarang begitu profesional dan kita mungkin tertewas. Penipuan boleh berlaku di mana-mana dan melibatkan semua jenis golongan dan tahap kehidupan. Di kota besar, ramai yang hidup dengan penipuan kerana mereka mudah melolosakan diri daripada mangsa. Maklumlah orang kota sangat ramai dan rencam. Siapa boleh ingat semua wajah yang pernah muncul di depan mata. Malah penipu barangkali datang daripada orang yang tidak kita sangka sama sekali.

Dalam berhati-hati melayan setiap orang kerana takut kepada penipuan, akhirnya aku terjerat juga. Bukan skim cepat kaya atau saham atas angin. aku tak main semua itu. Aku kena dengan orang yang tidak disangka-sangka. Kawan sendiri. Sebab itulah orang tua berpesan, kawan paling mudah menipu kita. Aku tak bantah. Kita memang diajarkan percaya kepada kawan. Kejadiannya bermula sewaktu aku menumpangkan seorang kawan tidur di rumahku kerana dia kesempitan hidup. Aku bagi dia tidur, makan dan minum. Duit rokok juga aku bekalkan. Kerana aku pernah merokok, aku faham kesukaran perokok yang tidak ada bekalan rokok.

Setelah dia mendapat pekerjaan baru dia pun berpindah ke rumah sewa baru yang aku tak tahu destinasinya. Dia angkut sekali dua helai seluar jeans Levi's 501, tiga helai baju Playboy, dan sepasang kasut Timberland yang baru aku beli. Apa yang boleh aku buat? Aku tidak berdaya berbuat apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapanya di kampung. Aku bukan terkilan dia mencuri barang aku, tetapi terkilan kerana dia menipu aku bahawa dia berhenti kerja kerana tidak sehaluan dengan bos dia. Padahal dia dipecat kerana masalah disiplin.

Minggu lepas aku ditipu lagi. kali ini oleh orang yang aku tak kenal. Sewaktu aku hendak melintas jalan pergi makan tengah hari, sebuah kereta berhenti di tepi aku. Seorang wanita muda, dalam lingkungan 30-an muncul di tingkap kereta dan berkata: "Abang, boleh tolong sikit. Saya kehilangan dompet duit, dan kereta pula hampir kehabisan minyak."

Aku menjenguk ke dalam kereta dan betul minyak hampir kering. "Apa saya boleh bantu?" Pertanyaan bodoh yang sebenarnya aku sudah tahu apa yang dia mahu.

"Boleh pinjamkan saya duit RM30 untuk isi minyak?"

Tentulah boleh kerana zalim namanya menggandakan kesusahan orang lain. Aku tanpa keberatan memberikan dia wang yang dimintanya. Dia terfikir sejenak dan berkata: "Saya belum makan, boleh saya minta lagi RM20?"

Aku tergamam, tetapi kerana aku juga seperti lelaki lain - lemah apabila berhadapan dengan perempuan cantik - maka aku hulurkan lagi RM20. Dia minta nombor telefon aku dan berjanji aku membayar keesokan hari. Aku tidak mengharapkan dia membayar kerana tidak mahu kecewa apabila harapan kecundang. Benar sekali.

Seminggu telah berlalu, aku belum terima panggilan dia. Aku tak menyesal atau marah kerana aku telah menganggapnya sebagai sedekah. Cuma aku sedikit terkilan kerana maruahnya tentu melebihi RM50, tetapi kenapa dia sanggup menggadainya dengan harga semurah itu? Dan sebenarnya dalam keadaan tertentu, betapa bijak dan berhati-hatinya seseorang, manusia memang terdedah kepada penipuan.