Saturday, February 28, 2009

Nak Marah Siapa?

Nak marah siapa seandainya "malapetaka" itu berpunca daripada diri sendiri. Dalam kehidupan harian, kita sering ditimpa "malapetaka" walaupun kecil, tetapi meninggalkan kesan yang besar kepada perasaan. Sebenarnya "malapetaka" yang aku maksudkan bukanlah bencana atau kecelakaan, tetapi sekadar gangguan fikiran. Gangguan fikiran ini kalau tidak dilayan dengan betul, marah-marah kita dibuatnya, atau mungkin menjadi bad mood sehari suntuk.

Ketika kita menggosok gigi dalam keadaan separuh sedar, separuh tidur pada waktu pagi, tiba-tiba kita menjerit seorang diri, kemudian mengerang perlahan. Malapetakalah pagi itu apabila berus gigi tertonyoh gusi dengan kuat. Ahhhh! Sakitnya bukan kepalang sehingga menghilangkan ngantuk. Gusi pasti bengkak atau berdarah. Akibatnya ngantuk terus hilang. Kita akan jadi segar bugar selepas itu.

Malapetaka juga datang masa kita makan. Gigi tergigit lidah atau bibir kerana kegelojohan kita. Gigitan yang kuat memberi kesan pedih sehingga beberapa hari setiap kali makan benda masin. Lain kali jangan gelojoh apabila suap makanan ke dalam mulut. Kunyah perlahan-lahan sambil nikmati rasanya dan telan selepas makanan lumat. Gigi lidah sendiri barangkali boleh menyebabkan kita mengamuk seorang diri. Aku pun selalu juga terkekah bibir sendiri.

Mengamuk ini mungkin juga terjadi sewaktu kita bersemangat menonton bola sepak kelab Eropah di kaca TV, elektrik terputus. Alamak, malapetaka lagi. Kalau Astro, hujan pembawa malapetaka yang hebat. Teknologi canggih di negara Khatulistiwa tetapi tidak kalis hujan. Marah juga apabila bola sedang rancak, pemain pujaan sedang ligat di pedang, tiba-tiba aral melintang sehingga tidak dapat menyaksikan kesudahannya.

Gangguan fikiran datang tanpa diduga, tanpa diundang. Pagi ceria, petang murung pun ada. Petang gembira, senja duka nestapa juga selalu terjadi. Kadang-kadang pada malam tertentu terasa nafsu berahi berkunjung datang dan minta dilayan. Ini perkara biasa seorang manusia. Hukum tabii nafsu berahi manusia sukar diteka. Datangnya mungkin secara tiba-tiba. Tanpa hujan, tanpa ribut keinginan itu menjelma, meruap-ruap dan minta dipenuhi. Maka kita pun menjeling isteri tersayang minta laluan. Isteri yang berpengalaman segera menangkap isyarat suami tercinta lantas berkata: "Maaf, bang! Lampu merah!" Fuyoh! Malapetaka sungguh malam itu! Putus semangat dibuatnya. Kalau diikutkan hati rasanya mahu mengamuk biar bergegar ranjang emas tempat peraduan Puteri Gunung Ledang. Nak marah siapa?

Dan malapetaka yang paling besar barangkali yang ini. Setelah lampu hijau, tatkala kita sedang menggunakan laluan sutera itu dengan rancak dan galak, tiba-tiba telefon menjerit-jerit. Aduh, dosa apa aku diuji sebegini rupa! Jeritan telefon bukan sekali, tetapi bertalu-talu. Tiada pilihan lain lagi. Mana tahu ada berita kecemasan yang memerlukan bantuan kita. Maka kita pun dengan mood yang mati, terpaksa menundakan perjalanan untuk menjawab telefon. Ini bukan perkara yang senang dilakukan. Ini bukan keputusan yang mudah diputuskan. Berat sekali hendak berhenti dari perjalanan yang sedang rancak dan galak itu.

Betul-betul malapetaka apabila suara di hujung talian berkata: "Aku di kedai Mamak depan rumah hang, mai kita pekena teh tarik!"

Jadah punya kawan. Masa lain ada tak datang, datang masa orang tengah naik bulan. Sengal otak dibuatnya. Nak marah siapa? Marah kawan pun tak boleh kerana mana dia tahu kita sedang buat apa. Mungkin kita sendiri sebelum ini pernah membawa malapetaka yang sama kepada dia.

Lain kali nak pergi rumah kawan pada waktu malam (siang pun sama), telefon dahulu beritahu dia. Membunuh mood orang berdosa namanya.

Itulah "malapetaka" yang bukan malapetaka dalam erti kata sebenar tetapi akibatnya lebih berat daripada pikul kepala keretapi!

Dalam rutin harian banyak "malapetaka" yang menimpa kita, berat atau ringan terpulang kepada tafsiran masing-masing. Ada orang gigit lidah (gigit lidah sendiri, bukan gigit lidah orang), lebih hebat daripada masalah gangguan lampu merah. Manakala orang lain mungkin berfikir sebaliknya.

Aku dan anda mungkin mentafsir "malapetaka" secara berbeza. Kalau aku, biar mati aku tak akan jawab telefon itu sehinggalah ... bulan jadi milikku. Anda bagaimana?

Thursday, February 26, 2009

Cereka: Malam Yang Kelam

Prolog

Tentulah rindu itu tak akan padam begitu sahaja. Bersama angin petang di sudut kota aku mencari jejak Emily yang hilang. Pasrah aku kerana jejak-jejak yang aku cari tidak kelihatan, melainkan seberkas kehampaan. Pada wajahnya aku terkenang hari semalam ketika kami bersama merenung bintang-bintang yang berkerdipan di dada langit. Dan tatkala itu dia pun lesu di dadaku.

(1)


Secara kebetulan ketika aku kebuntuan arah mencari tempat bersantai selepas jam 6.00 petang hari itu, muncul seorang kawan dan menegurku: "Hello, saudara buat apa di sini?"

"Buat apa yang saudara buat!" selorohku. "Saudara pula buat apa di tempat ini?"

"Oh, begitu," sahut kawanku. "Marilah ikut aku!"

Tanpa bicara lanjut aku melangkah mengekorinya ke sebuah pub. Aku duduk di sebuah meja berhampiran kaunter.

"Minum?" tanya Stanley, kawan lama.

"Ada apa?"

"Whisky, brandy atau bir?"

"Kopi atau teh panas?"

Dia ketawa. "Janganlah bergurau kawan. Aku kenal engkau sebagaimana engkau kenal aku. Bir?"

"Teh panas."

"Betulkah ni?"

Aku angguk, stanley senyum sinis. Seketika, seseorang merangkul dan memeluk aku dari belakang. Aku cuba melepaskan pelukannya tetapi dia terus mencium pipi aku. Aku berpaling ke belakang. Oh, Avon, isteri Stanley rupa-rupanya.

"Hai, Avon, apa khabar?"

"Kenapa boleh sesat sampai ke sini?" kata Avon sambil duduk di kerusi di sisi Stanley. "Tahu tak kami sangat rindu padamu ... rindu pada suaramu yang merdu."

"Minum apa?" tanya Avon.

"Oh, aku terlupa. Dia minta teh panas."

"Apa?" Avon seperti terkejut. "Betul nak teh panas? Tak salah order?"

"Ya."

Ada sebab Stanley dan Avon tidak percaya aku pesan teh panas. kami berkenalan sejak lama, ketika sama-sama muda. Ketika itu Stanley dan Avon belum berkahwin. Stanley setarah abang aku, manakala Avon sebaya aku. Aku yang memperkenalkan Avon kepada Stanley. Avon kawan baik Vivian. Perhubungan kami bagaikan adik-beradik. Sewaktu aku menghadapi detik-detik sukar berpisah dengan Vivian - terlalu sukar - Stanley dan Avon teman setia aku setiap malam Sabtu. Pub, karaoke dan disko tempat kami melempiaskan nafsu-nafsi kemudaan. Kami menghargai kebebasan dan menikmati kebebasan seadanya.

Seorang perempuan muda membawa teh panas kepada aku kerana Avon sedang sibuk di kaunter. Ketika dia meletakkan teh di atas meja, aku sempat melirik wajahnya - boleh tahan, fikirku. Dia tersenyum.

"Ini Emily!" Stanley memperkenalkan perempuan itu kepada aku. "Dan ini Mongkut, kawan lama saya. Dia nampak ego sikit, tapi sebenarnya dia baik."

Emiley menghulurkan tangan dan kami bersalam tanda perkenalan. Tangan Emily begitu halus dan lembut. Aku memegangnya agak lama sehingga dia minta dilepaskan. "Maaf, tangan saya!"


"Oh, maaf!" Aku betul-betul malu kerana memegang tangan seorang perempuan yang baru dikenali begitu lama. sebenarnya aku terlupa hendak melepaskannya kerana fikiran aku seakan-akan terpukau oleh kelembutannya.

Stanley ketawa. "Kamu belum berubah dalam hal ini."

"Hal apa?"

"Perempuan."

"Aku boleh aturkan," jerit Avon dari kaunter. "Aku yakin Emily tak ada halangan. Betul kan Emily?"

Emily hanya tersenyum, namun pada pengamatanku senyuman itu tidak membawa apa-apa maksud tersirat. Aku sendiri sebenarnya tidak ada menaruh sebarang perasaan terhadap Emily, kecuali perasaan semulajadi seorang lelaki kepada wanita. Aku tidak menafikan Emily agak jelita dan manis tetapi citarasa seorang lelaki kepada perempuan bukan kerana jelita dan manis sahaja. Masih ada perkara lain yang menjadi daya tarikan.

Stanley menghulurkan sebatang rokok kepada aku. Aku menolak dengan hormat.

"Tidak merokok lagi?"

"Tidak."

"Bagus."

"Sudah enam tahun."

"Minum pun sudah berhenti terus?"

"Kadang-kadang ada."

"Jadi, hari ini boleh masuk dalam 'kadang-kadang' itu?"

Aku terdiam. Avon datang menghampiriku. "Minum, rokok dan perempuan. Itu identiti lelaki. Aku bangga kau masih belum tinggalkan semuanya."

"Mana kau tahu? Sekarang aku tak minum, tak hisap rokok dan tak ada isteri," kataku bergurau.

"Tapi matamu sewaktu renung Emily beritahu aku yang kau masih perlukan perempuan," tegas Avon.

"Aku akan buktikan yang kau silap!"

Stanley ketawa. "Aku juga sama, akan buktikan yang isteri aku betul!"

"Celaka kamu berdua!" Kami sama-sama ketawa.

Sewaktu teh panas aku sudah kehilangan panasnya, dua orang perempuan masuk melalui pintu depan, kemudian dikuti oleh beberapa orang perempuan lagi. Semuanya melontarkan senyuman kepada aku, barangkali kerana aku duduk semeja dengan Stanley.

"Mereka kerja di sini," terang Stanley. "Ada lima belas orang - dari Vietnam, China, Filipina dan Sabah."

"Patutlah pelat cakap emily lain saja."

"Emily dari Manila. Pernah tinggal di Sabah sebelum ke sini."

Aku tidak mempedulikan perempuan-perempuan pelayan itu. Mereka juga tidak mempedulikan aku. Aku datang hanya untuk bersembang dengan kawan lama. Mereka pula bekerja untuk duit bukan untuk aku. Jadi, kami tak ada apa-apa kepentingan yang harus dikongsi. Sekiranya dahulu memang betul. Aku perlukan hiburan daripada perempuan dan perempuan perlukan duit daripada poket aku. Kami saling memerlukan. Sekarang masa telah berubah. Saling memerlukan tidak wujud lagi.

Tanpa disedari jam sudah 8.30 malam. Stanley dan Avon berada di kaunter. Aku keseorangan di meja. Ketika aku hendak membuka mulut minta diri pulang, Emily datang bersama dua gelas minuman. Dia menghulurkan segelas kepada aku sambil berkata, "Aku harap kamu dapat temankan aku minum!"

"Hah?"

"Cheers!"

Aku dengan berat hati menyambut gelas dari tangan Emily dan minum sedikit. Tidak sopan sekiranya aku menolak permintaan perempuan di tempat begini. Pastinya Stanley atau Avon yang aturkan. Masakan emily akan bawa minuman kepada aku. Nakal sungguh sahabat lamaku itu, bisik hatiku. Emily duduk di sisiku. Dia bertanya banyak soalan. Peramah sekali orangnya. Bicaranya matang dan bijak. Dia sering mengelak apabila aku cuba bertanya tentang latar belakangnya. Biasalah. Perempuan tidak gemar mendedahkan latar belakang kepada lelaki yang baru dikenali. Lelaki juga kurang minat bercakap benar kepada perempuan malam. Aku menggunakan istilah "perempuan malam" kepada semua perempuan yang bekerja di pub, karaoke atau disko.

"Kamu perempuan yang baik dan menarik, Emily," kataku.

"Orang lain juga selalu kata begitu."

"Aku ikhlas."

"Lelaki yang datang ke sini semuanya ikhlas!"

Dia senyum. Aku ketawa. Dia bukan seorang yang mudah diperbodohkan atau senang menelan pujian lelaki. Dia memang matang. Aku memegang tangannya. Dia sedikit tersentak tetapi akur dengan peganganku.

"Aku cakap betul, kamu memang menarik!"

"Kamu juga!"

Aku merenung wajah Emily - dahi, pipi, bibir, dan dagunya sebelum kembali tenung matanya yang seksi. Dia kelihatan malu-malu. Aku mengeluh berat. Setan mula mendesak aku menuruti kehendaknya. Ah, aku tak akan mengalah kepada setan!

Malam itu aku bagaikan terlontar ke zaman silamku. Aku minum sepuas hati. Betapa lemahnya hati seorang lelaki di sisi perempuan. ฺิฺฺฺKata-kata yang terukir di bibir bergincu merah lebih bisa daripada sebilah pedang. Malam itu aku bagaikan dilamun mimpi-mimpi.

"Aku rasa malam ni aku tak dapat pandu kereta lagi!"

"Jangan risau, kau boleh tidur di kondominium aku. Dekat saja," sahut Stanley sambil menambahkan minuman ke dalam gelas aku sebagai tanda hormat. "Aku gembira dapat minum dengan kau."

"Asal saja jangan biarkan aku semalaman di sini. Aku takut dicabul!"

"Dengar Emily, kawan saya takut dirogol!"

Emily cubit paha aku.

Kami terus minum sehingga larut malam.


(2)


Keesokan hari, tatakala aku mencelikkan mata, kepala masih terasa pusing. Aku cuba bangun tetapi kepala begitu berat. Aku memandang sekeliling. Cantik juga bilik tidur di kondominium Stanley. Kemas dan bersih. Maklumlah Avon seorang yang mementingkan kebersihan. Jadi, tidak hairanlah bilik tidur untuk tetamu dijaga dengan baik. Rupa-rupanya Avon masih dengan minat lamanya yang suka kumpul anak patung beruang. Dalam bilik ini sahaja ada dua ekor anak beruang yang comel. Dan yang pasti aku tak tahu bagaimana dan siapa yang bawa aku ke sini. Tentulah Stanley dan Avon.

Daun pintu ditolak dari luar. Emily masuk sambil melontarkan senyuman kepada aku. Aku membalas senyumannya.

"Good morning!"

"Good morning!" balasku. "Lain kali bila nak masuk, ketuk pintu dulu. Apa kata andainya aku tak pakai seluar?"

"Oh, maafkan aku!" Dia senyum sumbing. "Kau malu atau takut aku malu?"

Aku diam dan tidak menjawab pertanyaannya. "Kenapa pagi-pagi lagi kau ada di rumah Stanley? Atau kau juga tidur di rumah ini malam tadi?"

"Aku berada di rumah aku, dan tidur di rumah aku."

"Aku serius ni."

"Aku juga serius. Aku patut tanya kau, selesa tak tidur di bilik aku."

"Apa?"

"Aku tanya, selesa tak tidur di bilik tidur aku?"

Aku terkejut dan memandang sekeliling sekali lagi. "Apa, ini bilik tidur kau?"

"Ya, bilik tidur aku."

"Rumah ini ada berapa bilik?"

"Ada tiga bilik. Aku sewa satu bilik saja. Semalam aku tidur di bilik ini, bersama kau!"

"Bersama aku!"

Kenapa terkeju? Aku tak ceroboh kau pun."

Aku menghela nafas lega.

"Tapi, kau ceroboh aku."

"Hah????"

Aku terdiam lama. Bagaimana semua ini boleh berlaku.

"Bangun mandi dan kita keluar sarapan sama-sama. Stanley dan Avon akan datang tak lama lagi."

"Aku betul-betul tak sedar ... malam tadi ...!"

"Kau tak akan tidur di sini, di sisi aku, sekiranya kau sedar," bisik Emily merendahkan suara. "Aku tahu siapa aku. Orang seperti kau tak pernah pandang perempuan seperti aku dengan pandangan yang ikhlas!" Suara Emily kedengaran sedih.

"Bukan begitu maksud aku!"

"Sudahlah. Aku tak akan gunakan alasan semalam untuk ganggu kehidupan kau!"

"Aku bangga dengan kau, Emily!" Aku mengeluarkan duit dari poket dan memberikan kepada Emily.

"Apakah kau ingat semua perempuan yang bawa lelaki ke biliknya kerana duit semata-mata?"

Aku membisu kerana aku tahu perasaan dia tersinggung dengan perbuatan aku "membeli" dia. "Aku minta maaf!"

"Aku tak pernah bawa sesiapa ke bilik aku kecuali kau. Itupun kerana kehendak kau sendiri. Kau merayu, dan aku tewas pada rayuanmu!"

"Sebenarnya, aku yang tewas. Aku tewas oleh nafsuku, aku tewas oleh kecantikanmu dan aku tewas oleh segala-galanya yang menjadi sandaran prinsipku!"

Betul kata-kata Avon. Minum, rokok dan perempuan adalah identiti orang seperti aku yang tak mungkin dapat ditinggalkan kesemuanya.

Aku merenung mata Emily. Kemudian dengan perlahan-lahan aku bangun menghampirinya, merangkul tubuhnya dan memeluknya dengan erat. Aku membisik ke telinganya:"Aku tak akan melupakan kau, Emily! Aku tak mungkin dapat melupakan, kau!"

Air mata Emily mengalir ke pipi.

"Kenapa, Emily? Aku telah menyakiti hatimu?"

Dia menggeleng kepala, lalu memeluk aku dengan kemas. Dia menangis tersedu-sedan. Aku kebingunan kerana tidak tahu mengapa dia menangis.


(3)


Hari itu - hari aku bersama Emily berlalu sudah. Kini aku sendiri tidak pasti di mana Emily. Stanley dan Avon juga tidak tahu. Mungkin dia telah pulang ke Manila dan memulakan hidup baru di bumi kelahirannya. Kini barulah aku tahu mengapa dia menangis pada hari itu - tangisan perpisahan pada perjumpaan pertama!

Dan yang pasti, aku mungkin dapat membohongi orang lain, tetapi aku tak dapat membohongi diri sendiri bahawa aku merinduimu, Emily!

Sunday, February 22, 2009

Cinta Selepas Kahwin

Betapa beruntungnya pasangan yang berkahwin atas dasar cinta sama cinta, suka sama suka, minat sama minat atau selera sama selera. Perkahwinan begini kalau tak dapat mengecapi kebahagiaan lagi, entah apalah nak dikatakan. Makan, minum, sembang, mandi, ketawa, duduk, berjalan, dan tidur dilakukan bersama-sama dan dengan penuh gembira. Berpeluk, bercium dan bercumbu juga suka sama suka, rela sama rela, dan bahagia sama bahagia. Apa lagi yang dikehendaki kalau semuanya adalah saling memberi dan menerima.

Sebaliknya, bagaimana pula dengan pasangan yang berkahwin bukan atas dasar cinta? Walaupun sekarang zaman moden, dasar kahwin paksaan telah diharamkan, tetapi masih ada individu yang terpaksa berkahwin bukan atas dasar suka sama suka, tetapi atas dasar lain. Dasar lain ini teramat banyak, antaranya mungkin untuk memenuhi kehendak ibu bapa, akibat terlanjur ketika mabuk nafsu berahi lalu terpaksa bertanggungjawab, kerana tamak akan harta, menutup malu kerana ditangkap khalwat dan sebagainya.

Dengan alasan apa sekalipun, perkahwinan tanpa cinta dan rela hati merupakan detik-detik yang sukar. Bukan mudah meniduri atau ditiduri orang yang tidak disukai. Begitu sukar untuk merelakan mencumbu dan dicumbu individu yang tidak diminati. Kita bukan gigolo atau pelacur yang boleh melayan sesiapa sahaja asalkan dibayar. Kita ada hati, ada perasaan yang harus dilayani dan dipenuhi sewajarnya. Kenikmatan tidak akan hadir dalam paksaan. Walaupun dengan memejamkan mata, menahan perasaan, menabahkan hati menerima segala dugaan, namun bukan semua dapat dilalui dengan sempurna.

Teori orang tua-tua mudah. Kahwin dahulu, cinta kemudian. Bagi mereka selepas menjalani perkongsian tubuh dan jiwa maka kasih sayang akan muncul dengan sendiri. Teori ini ada benarnya tetapi bukan kepada semua pasangan. Lagipun kasih sayang dan cinta merupakan dua perkara yang tidak sama. Kita boleh mencurahkan kasih sayang kepada ramai orang, tetapi mustahil cinta sejati seorang lelaki dapat dikongsi oleh ramai perempuan. Begitu juga cinta sejati seorang perempuan tidak mungkin dapat dikongsi oleh ramai lelaki.

Perkahwinan bukan syarat melahirkan cinta. Akibatnya, selepas bertahun-tahun mendirikan rumah tangga - mungkin sudah bergelar bapa atau ibu - cinta belum bersemi. Jadi, ramai suami isteri yang masih tercari-cari cinta. Kedengaran pelik, suami isteri mencari cinta. Tetapi begitulah hakikatnya perkahwinan bukan atas dasar cinta sama cinta. Bagaimana seandainya cinta yang tercari-cari itu akhirnya ditemui di luar daripada rumah tangganya? Maka terjadilah perzinaan hati yang penuh dosa-dosa. Hati yang tergoda bisa mengundang durjana. Dan dia pasti lemas dalam himpitan cinta dan tanggungjawab selaku seorang suami atau isteri.

Mencintai orang lain yang bukan suami atau isteri sendiri merupakan petaka yang menyeksakan batin. Tidak dinafikan bahawa cinta terlarang kekadang indah, manis dan menyeronokkan, tetapi kesan dan akibatnya terlalu berat. Dan keadaan bertambah teruk apabila individu tersebut terjerumus begitu mendalam ke dalam cinta terlarang itu.

Untuk mengelakkan zina hati berterusan, untuk mengelakkan krisis rumah tangga berpanjangan atau untuk tidak terus mempermainkan perasaan pasangan, maka perceraian merupakan pilihan terakhir. Namun, pilihan terakhir tidak semudah diucapkan. Setiap pasangan ada tanggungjawab yang berat harus dipikul. Gelaran suami isteri bukan gelaran yang boleh "dilucutkan" sewenang-wenangnya. Masa depan anak-anak bagaimana? Masa depan sendiri bagaimana? Banyak liku-liku kehidupan mendatang yang harus diperhitungkan. Takut juga apabila yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Keputusan terakhir ialah bercerai dan masing-masing menentukan haluan sendiri? Boleh sahaja bercerai sekiranya kedua-dua belah pihak rela berbuat begitu. Keputusan untuk bercerai merupakan keputusan yang berani, dan bermaruah walaupun sukar. Daripada hidup mempermainkan perasaan orang lain sepanjang masa, lebih baik sakit untuk sementara waktu.

Bagaimana kalau tidak cukup berani? Maka terdapat individu yang memutuskan untuk terus hidup bersama pasangannya dan pada masa yang sama dia merelakan permainan cinta di luar batasan rumah tangga. Sampai bila keadaan begini akan berterusan? Hanya mereka yang berada dalam situasi ini sahaja dapat memberikan jawapan yang tepat.

Saturday, February 21, 2009

Taman Larangan

Kali ini aku hadirkan selingan kepada mereka yang bercita-cita mahu jadi jurugambar. Kerjaya sebagai jurugambar bukan mudah. seseorang itu harus mempunyai keberanian sekiranya dia bercita-cita menjadi jurugambar yang profesional. Dia mesti berani, dan tidak malu untuk mengambil gambar yang "berkualiti" dan "ada nilai" komersial. Kerjaya sebagai jurugambar walaupun mencabar tetapi seronok.
Memilih gambar yang berkualiti dan ada nilai kmersial tidak sukar bagi seorang profesional. Tetapi bagi jurugambar amatur perkara ini bukan mudah. Ramai orang yang tahu akan keindahan alam semulajadi, tetapi ramai yang tidak berapa kenal keindahan yang ada pada seorang manusia. Namun jurugambar profesional pakar dalam memperkenalkan keindahan tersembunyi pada individu untuk dijadikan tatapan umum.






Bagaimana dengan anda? Adakah anda berminat dan berani mengambil gambar dalam posisi menarik begini?
Mungkin ada antara kita tidak berminat jadi jurugambar profesional, tetapi pernah bertindak menjadi jurugambar sukarela atas kehendak hati sendiri - iaitu mengambil gambar seorang gadis yang kita minat. Wah, betapa sukarnya apabila tiba-tiba kita diketemukan dengan seorang gadia yang cantik, menawan dan sopan sehingga menjadikan hati kita berdebar-debar untuk memilikinya. Apakah yang perlu kita lakukan? Pastilah teringin sekali berkenalan dengan dia.
Berkenalan sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disertai dengan sesuatu yang dapat dijadikan kenangan. Zaman saya muda remaja dahulu, potret menjadi idaman hati bagi setiap pasangan yang berkenalan atau bercinta. Sekarang, potret masih laku dan kitalah yang bakal menjadi jurugambarnya kerana telefon bimbit jenis ada kamera bisa merealisasikan kehendak kita.
Namun, gambar bisa juga membawa onar seandainya disalahgunakan. Oleh itu, pastikan posisi yang sesuai, iaitu tidak terlalu "berani" sehingga membenarkan kamera bergerak bebas menangkap setiap bahagian tubuh kita. Tubuh manusia, terutama tubuh wanita umpama sebuah istana besar yang terdapat taman-taman larangan yang hanya orang tertentu sahaja dibenarkan memasukinya.
"Rahsia tubuh" adalah nilai diri yang harus dipelihara agar tidak menjadi tatapan umum.