Wednesday, October 29, 2008

Cerita Curang

Dalam banyak-banyak hak persamaan yang dituntut wanita ke atas lelaki, hanya satu sahaja tuntutan tersebut yang sukar diterima iaitu CURANG. Pernahkah anda mendengar seorang wanita berkata begini kepada suaminya:"Kalau you curang, I juga akan lakukan benda yang sama!"

Saya pernah mendengarnya. Isteri kawan saya pernah mengugut suami kesayangannya bahawa dia akan ikut curang kalau suaminya curang kepadanya. Ugutan begitu biarpun separuh bergurau tetapi boleh menyebabkan seorang suami yang berfikir hendak bermain kayu tiga tidur tidak lena. Malah isteri yang curang semakin hari semakin ramai terutama di kalangan masyarakat kota yang moden.

Cerita curang ini bukan cerita baru, tetapi cerita lama yang diolah semula. Cerita curang umpama karya klasik yang tidak hilang nilainya.

Ramai lelaki yang curang tetapi tidak ramai yang boleh terima hakikat bahawa isteri juga "ada hak" untuk curang sebagai balasan kepada perbuatan suami. Untuk membayangkan seorang isteri yang curang pun tidak terdaya, apatah lagi menerima hakikatnya. Lelaki begitu bangga apabila berkepit dengan perempuan muda lain, tetapi merasa amat terhina apabila melihat isterinya berpeluk lelaki lain. Kenapa begitu? Kerana lelaki terlalu ego sehingga terlupa larangan agama yang melarang suami dan isteri berlaku curang.

Malah yang lebih menyedihkan apabila terdapat sesetengah lelaki menjadikan isteri sebagai alasan dia menjadi curang. Isteri tidak dapat memberikan zuriat, tidak mampu memenuhi keinginan seksnya, tidak pandai mengambil hatinya, tidak tahu melayan suami dan bermacam-macam alasan. Kelemahan diri sendiri kerana tidak berupaya mengawal nafsu serakah langsung tidak dijadikan alasan.

Manakala wanita lebih bijak dalam hal curang ini. Mereka tidak menuduh suami walaupun berpunca daripada suami. Wanita yang curang malu apabila diketahui dia isteri orang. Oleh itu, dia lebih suka mengaku tiada suami. Mengaku tiada suami lebih senang cari pasangan kerana kebanyakan lelaki tidak "terima" isteri orang. Lelaki akan bersa bersalahapabila dia tidur dengan isteri orang. Barangkali perasaan itu timbul daripada rasa hormat sesama lelaki yang bergelar suami.

Perbuatan curang dibalas dengan curang tidak pernah dapat selesaikan masalah rumah tangga. Malah akan menambahkan kusut yang sedia ada. Tetapi wanita moden sanggup melakukan apa sahaja atas nama kemodenan termasuk membalas perbuatan curang suaminya dengan perbuatan curang juga. Apakah yang akan terjadi dengan masyarakat kita sekiranya keadaan ini berterusan?

Wednesday, October 22, 2008

Simpan Rahsia Cinta

Sekiranya aku dikurniakan seorang puteri, aku akan berpesan kepada dia begini: "Apabila hendak bercinta, carilah lelaki yang tahu simpan rahsia!"

Lelaki yang tahu menyimpan rahsia sangat penting kepada seorang gadis yang ingin belajar bercinta. Semua anak gadis tentulah tidak mahu percintaan dia diketahui umum. Maklumlah kebanyakan gadis pemalu kerana budaya kita mengajarkan begitu.

Setiap nafas sayang, setiap ungkapan kasih dan setiap perlakuan cinta adalah rahsia pasangan berkenaan. Orang lain, termasuk orang yang paling rapat tidak layak mengetahuinya. Rahsia cinta adalah rahsia termahal dan tidak boleh dijual beli. Sekiranya rahsia cinta terbongkar, apatah lagi CINTA MELANGKAUI BATASAN, maka si gadis akan menanggung malu yang tidak terhitung. Masyarakat akan mencemuhnya. Sahamnya akan merudum.

Oleh itu, setiap gadis yang ingin bercinta, pilihlah lelaki yang menghargai rahsia di sebalik cinta sebagaimana dia menghargai dirinya. kalau boleh cuba risik-risik terlebih dahulu. Kalau lelaki jenis mulut murai batu, larilah jauh-jauh kerana dia akan memalukan pasangan kemudian hari. Lelaki jenis mulut tempayan juga sangat berbahaya. segala selok-belok percintaan pasti diceritakan kepada semua kawannya.

Aku sendiri ada ramai lelaki jenis begini. Dia keluar dengan siapa, makan dengan siapa dan tidur dengan siapa semuanya diceritakannya. Perkara begini dianggap remeh oleh kebanyakan lelaki, tetapi tidak bagi wanita. Oleh hal demikian, berhati-hati memilih lelaki untuk bermain cinta kerana tersilap pilihan malu dibuatkan.

Seandainya aku dikurniakan seorang putera, aku akan katakan kepada dia begini:"Apabila bercinta, simpan rahsia cinta kalian berdua selama-lamanya!"

Lelaki ada satu tabiat yang aku paling benci walaupun aku juga lelaki, iaitu suka bongkar rahsia cintanya kepada kawan-kawan. Aku tak suka benar orang tak menghargai rahsia cinta. Bukan semua perkara yang berkaitan cinta boleh dihebohkan kepada kawan-kawan. Ada perkara tertentu yang menjadi rahsia kalian berdua sahaja.

Sesetengah lelaki begitu berbangga apabila berjaya memikat hati si gadis idaman ramai jejaka. Kerana kebanggaan tersebut dia menjaja kisah cintanya kepada orang lain. Bagi dia segala perlakuan cinta tiada rahsia. Oleh itu, apa-apa sahaja yang dilakukan atas dasar cinta akan dibisik ke telinga sahabat-sahabatnya. bisikan tersebut tersebar perlahan-lahan sehinggalah akhirnya rahsia menjadi bukan rahsia lagi. Siapa yang malu? Si gadis dan keluarganya yang akan menanggung malu.

Aku namakan lelaki begini sebagai bodoh dan tidak bertanggungjawab. Dia bodoh kerana tidak dapat membezakan yang mana rahsia dan yang mana bukan rahsia. Dan dia tidak bertanggungjawab kerana mendedahkan rahsia mereka berdua kepada orang lain. Inilah kelemahan utama lelaki apabila bercinta. Gemar mengkhabarkan perkara yang mungkin memalukan orang yang dicintainya kepada umum.

Bagaimana sekiranya cinta tersebut CINTA TERLANJUR? Di mana si gadis hendak simpan muka? Bagaimana dengan harga dirinya? Oleh itu, lelaki harus bijak dan matang dalam soal ini. Sekiranya cinta tersebut berakhir dengan pernikahan, okeylah. Tetapi bagaimana kalau cinta tersebut cuma sekerat jalan? Sebagai lelaki perasaan bertanggungjawan dan menghargai pasangan kekasih mesti diutamakan.

Bagi wanita cinta merupakan rahsia pasangan bercinta, tetapi bagi lelaki tiada rahsia dalam cinta. Oleh itu, wanita tidak suka mendedahkan percintaannya. Sementara lelaki pula suka mendedahkan percintaan kerana itu adalah satu kebanggaan. Cinta tidak mungkin dapat disembunyikan selama-lamanya. Malah lelaki dan wanita begitu bangga apabila bercinta dengan pasangan idaman hati. Tetapi dalam percintaan ada perkara tertentu yang menjadi rahsia dan tidak boleh didedahkan sama sekali. Namun, ramai lelaki yang memandang remeh hal ini.

Lelaki harus menghormati orang yang dicintainya dengan tidak membuka rahsia cinta antara mereka berdua biarpun cinta tersebut ditakdirkan gugur sebelum matang!

Sunday, October 19, 2008

Pandang Boleh, Jangan Banding

Seorang kawan bertanya, apabila aku memandang wanita, aku pandang di mana terlebih dahulu? Aku berkata pandang wajahnya. Dia bertanya lagi, selepas memandang wajah di mana pula akan kupandang? Aku tergamam kerana tidak cukup berani untuk menjawab walaupun jawapannya ada. Lelaki lain, aku rasa lebih kurang sama seperti aku, memandang wajah terlebih dahulu barulah mengalihkan pandangan ke tempat yang menjadi tarikan kedua selepas wajah.

Bagaimana dengan wanita? Di mana pandangan pertama wanita pada lelaki? Mungkin wajah, mungkin kaki? Aku rasa wajah yang dipandang duhulu kerana jarang ada orang memandang kaki kemudian wajah kecuali gadis. Di mana pula tempat kedua akan dipandang oleh wanita? Aku perhatikan setiap kali bersembang dengan wanita, mereka ada kecenderungan yang sama. Mereka memilih tempat kedua yang sama untuk dipandang. Dengan curi-curi, ketika lelaki berpandang ke arah lain, wanita akan menjeling ke situ. Lumrah kehidupan. Setiap orang ada daya dan tempat tarikan tersendiri.

Bagaimana apabila lelaki berjalan di belakang wanita, di mana ditumpahkan matanya? Secara jujur aku mengaku bahawa mata lelaki pasti akan tertangkap pada satu tempat yang serupa. Mengapa begitu? kerana itulah tarikan utama wanita apabila dipandang dari belakang. Wanita pula bagaimana apabila berjalan mengekori lelaki? Apa yang dipandangnya?

Aku tidak mahu membicarakan minat lelaki atau wanita dan di mana mereka suka pandang kerana itu hak mereka. Tetapi aku cuma mahu mempertikaikan hak yang ada pada lelaki atau wanita membanding-bandingkan apa yang dipandangnya. Lelaki atau wanita gemar benar membandingkan fizikal - perawakan dan ciri-ciri luaran seseorang dengan orang lain. Malah ada yang sangat celupar. Apabila melihat benda yang tidak indah di hati, terus sosek-sosek dengan kawan di tepi. Apabila ternampak benda yang mengagumkan terus wowah-wowah. Ini tidak sopan dan dikira tidak menghormati peribadi orang lain.

Kita boleh pandang sehingga meleleh air liur pun tidak mengapa tetapi tidak boleh membandingkan dengan orang lain. Setiap orang dianugerahi ciri-ciri fizikal tersendiri yang harus dihormati semua orang. Kenapa kita tak boleh membuat perbandingan? Kerana perbandingan akan melahirkan penghakiman sedangkan bukan kuasa kita menghakimi fizikal sesiapa. Itu anugerah Tuhan. Anugerah Tuhan tidak boleh dipertikaikan sama ada oleh tuan punya tubuh atau orang lain. Mempertikaikan anugerah Tuhan hukumnya berdosa.

Perbandiangan secara diam-diam dalam hati masih boleh diterima, tetapi perbandingan secara terbuka sama sekali dilarang. Belajar hormati dan hargai orang lain!

Bolehkah kita memandang seseorang tanpa membandingkan dengan orang lain?

Tuesday, October 14, 2008

Senyum Sokmo!

Nik Aida, juruhebah KLFM selalu berkata "senyum sokmo" kepada pendengarnya. Apabila mendengarnya, saya ikut tersenyum. Betapa tingginya nilai sebuah senyuman.

Seorang ilmuwan terkemuka pernah berkata harga senyuman lebih tinggi daripada duit sejuta ringgit. Betapa tingginya nilai senyuman. Sesiapa yang selalu senyum bererti dia mempunyai duit jutaan ringgit. Senyuman membolehkan seseorang kaya atau miskin.

Senyuman menggambarkan keperibadian seseorang. Seorang yang selalu senyum dikatakan pemurah, mesra, sopan dan berperibadian tinggi. Penampilannya mengagumkan dan disenangi kawan-kawan. Pendek kata, orang yang mudah senyum mudah mendapat kawan. Dia senang didekati dan digauli.

Manakala orang yang tidak tahu senyum, masam memanjang amat sukar didekati orang lain. Orang yang bermuka masam tidak disenangi orang lain dan sukar pula didampingi. Wajah tanpa senyum menakutkan orang lain. Oleh itu, orang yang bermuka serius 24 jam sukar sekali mendapat kawan. Tiada siapa yang mahu berkawan dengan orang yang tidak tahu mengukir senyuman. Orang yang sukar senyum merupakan orang yang jiwanya kering dan tawar.

Sekiranya anda kedekut senyuman, maka berpuas hatilah untuk bergaul dengan kucing di rumah kerana tiada manusia waras mahu berkawan dengan orang seperti anda. Mencari kawan pun sukar apatah lagi mencari jodoh. Lelaki mahupun wanita lebih tertarik kepada orang yang gemar menghadihkan senyuman kepada orang lain. Wanita yang sering mengukir senyum manis di bibir memang menjadi daya tarikan lelaki. walau bagaimanapun, bukan bererti orang yang tidak tahu senyum tidak akan mendapat jodoh. Jodoh di tangan Tuhan. Tetapi jodoh orang yang kemarau senyum diletakkan di barisan belakang.

Pepatah Cina ada mengatakan sekiranya tidak tahu senyum, tidak usah buka kedai. Tiada siapa di muka bumi ini yang akan masuk ke kedai yang tuannya bermuka masam. Malah kedai menjual cuka sekalipun tidak akan maju sekiranya tuannya berwajah masam sehari suntuk. Pelanggan yang mengidap penyakit kencing manis sekalipun apabila hendak membeli barang, mereka memilih kedai yang tuannya memiliki senyuman manis.

Senyuman terbahagi kepada dua jenis. Pertama, senyuman yang ikhlas yang keluar daripada hati. Kedua, senyuman kepura-puraan yang sengaja dibuat. Kedua-duanya ada nilai tersendiri walaupun yang pertama sangat tinggi nilainya, tetapi yang kedua juga ada nilai. Kita boleh mengukirkan senyuman yang manis lagi ikhlas serta memikat sekiranya hati dan perasaan kita dalam keadaan tenteram. Senyuman begini membahagiakan orang yang memandang dan pasti akan dibalas dengan senyuman yang ikhlas juga.

Tetapi hati dan perasaan manusia tidak selalunya tenteram. Ada ketikanya hati kita bergelora, perasaan kita berkocak. Ketika itu senyuman manis sukar menghiasi bibir. Orang yang bari kehilangan ahli keluarga payah hendak memberikan kita senyuman manis biarpun hatinya ikhlas. Malah orang yang baru bercerai juga sukar mengukirkan senyuman menarik. Masakan hendak senyum kalau air mata pun belum kering. Lainlah kalau bercerai secara "suka sama suka" kerana kedua-duanya sudah ada pasangan baru.

Senyuman seorang musuh bukan setakat tidak manis, bahkan masam dan tidak ikhlas sama sekali. Maksudnya musuh secara sembunyi-sembunyi. Musuh secara terbuka langsung tidak akan senyum kepada kita. Sekiranya seseorang mampu memberikan senyuman manis dan ikhlas kepada musuhnya, maka ketahuilah orang itu merupakan orang yang teramat mulia.

Kesimpulannya, kalau kita hendak mengecapi kesegaran hidup, kita mesti memulakan hari baru kita dengan senyuman. Bangun pagi kita mesti senyum dengan ibu bapa, suami, isteri, anak-anak orang gaji, tukang kebun, kucing dan semua ahli keluarga yang ada. Apabila tiba di pejabat kita senyum pula dengan kawan-kawan sepejabat. Malah apabila berjumpa dengan sesiapa sahaja, kalau kita mahu kesegaran hidup, berikanlah senyuman kepada orang tersebut, pasti dia juga akan membalas senyuman kita. Berbalas senyuman dengan orang yang tidak dikenali akan melahirkan satu perasaan seolah-olah kita dihargai orang lain.

Namun, senyum juga mesti tahu masa dan tempatnya. Senyum 24 jam nanti orang jadi takut ingat kita kurang garam. Walau bagaimanapun, apabila kita senyum kepada dunia, dunia juga akan senyum kepada kita dan ketika itu kita akan merasa bahawa kita mendapat kesegaran dan kebahagiaan hidup yang tiada bandingannya.

Malah pakar psikologi berpendapat orang yang selalu senyum (senyum sokmo), lambat menjadi tua dan usia lebih panjang!

Wednesday, October 8, 2008

Jangan Mudah Percaya

Orang tua-tua ada mengatakan bahawa sekiranya kita ingin mengambil sesuatu benda daripada bocah kecil, kita mesti menukarnya dengan benda lain. Misalnya, boleh sahaja begini: "Bagi abang pisau itu, nanti abang bawa pergi makan aiskrim!" Tetapi biasanya janji tersebut jarang ditunaikan kerana bocah kecil akan melupakannya selepas itu.

Mengambil pisau dari tangan kanak-kanak kecil dengan cara yang salah boleh mengundang bahaya.

Orang dewasa juga begitu. Kita tidak boleh merebut barang di tangan orang lain. Kita mesti minta keizinan, kalau dibenarkan barulah kita ambil. Orang dewasa tidak memerlukan barang pertukaran, sekadar minta dengan baik sudah memadai. Tetapi terpulang pada jenis barang juga. Bukan semua benda boleh diberikan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Betapa pemurah sekalipun kita, bukan semua benda milik kita boleh diberikan kepada orang lain hanya dengan permintaan yang baik.

Dalam situasi tertentu, apabila ada orang meminta barang kesayangan kita dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, serba salah juga kita dibuatnya. Umpamanya, seorang kawan minta pinjam kereta baru kita untuk membawa temannya pergi makan angin. Kalau tidak bagi, pasti dia akan tersinggung hati kerana dia bukan pinjam hari-hari. Persahabatan mungkin terjejas. Kalau bagi, kita pula susah hati kerana kereta tersebut baru beberapa bulan dibeli. Kita sendiri belum puas bermanja dengannya, kawan pula minta pinjam. Dan bagaimana seandainya berlaku kemalangan?

Pasangan yang bercinta sering menghadapi situasi yang sukar begini. Kemahuan yang berbeza. Pada hari minggu misalnya, si gadis hendak pergi shopping, sedangkan si teruna hendak pergi berkelah. Sekali dua boleh bertolak ansur, tetapi kalau terlalu kerap bagaimana? Kata orang, kita mesti bertimbang rasa. Kita bergilir-gilir. Minggu ini ikut cakap engkau, dan minggu depan ikut suka hati aku pula. Okey. Cakap memang senang. Realitinya tidak selalu begitu.

Oleh itu, setiap pasangan mesti ada cara tersendiri untuk menghadapi masalah begini. Bagaimana? Kemahiran memujuk dan merayu. Pandai menggunakan kata-kata manis yang menyakinkan dapat melembutkan hati pasangan. Maklumlah manusia, sama ada lelaki mahupun wanita mudah 'terpedaya' dengan kata-kata manis. Kalau kena dengan caranya, semua benda diserahkan.

Kata-kata manis merupakan 'guna-guna' paling mujarab untuk melembutkan hati pasangan. Tetapi kata-kata manis boleh mengundang malapetakan. Oleh sebab mudah menerima pujuk rayu yang manis bak madu dan janji muluk-muluk daripada sang Romeo, maka ramai si Juliet yang tersungkur di ranjang sepanjang malam. Betapa mudahnya manusia menukarkan barang miliknya yang berharga hanya dengan kalimat yang dibentuk oleh lidah tiada bertulang.

Oleh itu, selaku orang dewasa kita tidak boleh begitu mudah menyerahkan barang kepunyaan kita kepada orang lain hanya dengan janji akan dibawa pergi makan aiskrim.

Monday, October 6, 2008

Susahnya Dapat Jodoh

Orang bujang apabila kepala lapang sikit, tiada lain yang diangankan kecuali mencari pasangan. Angan-angan sangat penting kerana semua kejayaan mesti bermula dengan angan-angan. Tetapi janganlah angan-angan Mat Jenin. Angan-angan Mat Jenin hendak kahwin dengan puterri raja memanglah tak masuk akal, malah mustahil sama sekali. Mana boleh orang seperti si Mat Jenin nak peristerikan anak raja. Anak Raja Petra pun belum tentu dapat.

Kita bukan si Mat Jenin. Angan-angan kita bukan nak peluk puteri raja. Kita sekadar mahu nikah manusia biasa, manusia seperti kita tetapi mesti dapat memenuhi citarasa kita. Inilah yang menjadi masalah. Inilah yang menjadi payah. Mencari pasangan yang dapat memenuhi citarasa kita bukan mudah. Semua orang sama ada lelaki atau perempuan ada citarasa masing-masing tentang jodoh idaman hati.

Nak dapat macam dalam cerita P. Ramlee bukan senang - calon isterinya sanggup memisahkan beras dari pasir. Woit, itu ceritalah. Orang mana ada serajin itu!

Cari punya cari, jumpa juga tetapi tidak lengkap syarat. Wajah, saiz, ketinggian dan penampilan sudah dapat memenuhi citarasa kita, tetapi sikapnya pula tidak cukup sopan. Maka terpaksa ditolak. Kekadang kesopanan dan budi bahasanya elok, tetapi ketinggiannya dengan ketinggian kita tidak separas bagai kuda sama kambing. Soal pendidikan, pergaulan, latar belakang keluarga, keturunan, agama, kerjaya dan sebagainya mesti diperhalusi.

Orang bilang kalau terlalu memilih, sampai ke kiamat tidak akan mendapat jodoh. Ini bukan soal memilih, tetapi soal kebahagiaan hidup. Kita mesti mencari pasangan yang serasi dengan kita. Citarasa dapat mewujudkan keserasian dan kebahagiaan.

Kekadang pasangan idaman sudah dapat dicari tetapi bercanggah pula dengan citarasa ibu kita. Bagaimana nak nikah kalau ibu kita asyik memuncung sahaja setiap kali melihat kekasih hati kita. Haru-biru keluarga kita kalau terjadi seperti keluarga Kassim Selamat.

Jadi, soal jodoh jangan terlalu ikut perasaan. Main tangkap muat tak boleh. Kita bukan kahwin untuk hidup sehari dua. Kita mahu kekal sehingga ke anak cucu. Oleh itu, kata sesetengah orang 'cerewet' sikit pasal jodoh tidak mengapa asakan kita bahagia di kemudian hari. Dan sebab 'cerewet' inilah maka ramai terpaksa membujang biarpun rambut putih mula menghiasi kepala.

Sunday, October 5, 2008

Lelaki, Perempuan Dua Kali Lima

Bangsa Cina lebih suka anak sulung mereka lelaki kerana anak lelaki adalah pewaris keluarga dan keturunan. Sedangkan anak perempuan apabila berkahwin akan menjadi milik keluarga suaminya.

Di Republik Rakyat Cina yang mengehadkan setiap pasangan mempunyai seorang anak, maka ramai pasangan yang melahirkan anak sulung perempuan tidak mahu mendaftarkan anak mereka. Sekiranya anak tersebut didaftarkan, habislah peluang mereka untuk memiliki anak lelaki. Oleh itu, terdapat jutaan kanak-kanak perempuan yang tidak memiliki dokumen kerakyatan. Apabila besar kelak, apa akan terjadi dengan kanak-kanak perempuan tersebut.

Masyarakat moden lain rasanya tiada 'diskriminasi' terhadap jantina anak. Anak lelaki atau anak perempuan adalah rezeki dan diterima dengan sepenuh hati. Masalah manusia sebenarnya bukan berpunca daripada jantina, tetapi pengaruh alam sekitar. didikan awal amat mempengaruhi psikologi kanak-kanak.

Aku tidak berminat untuk menceritakan layanan masyarakat zaman dahulu terhadap jantina kerana tidak mendatangkan faedah. Lagipun pada zaman moden ini, manusia tidak lagi didiskriminasi mengikut jantina. Lelaki atau perempuan layak jadi presiden, perdana menteri, menteri kabinet, CEO, pengarah, pengurus, pekerja kilang atau buruh binaan.

Keupayaan seseorang tidak bergantung kepada jantina. Setiap orang sama ada lelaki atau wanita mempunyai ciri-ciri kelelakian dan kewanitaan dalam dirinya. Peranan jantina wanita boleh membahayakan kesihatan mental wanita sepertimana peranan jantina lelaki boleh membahayakan kesihatan fizikal lelaki. Orang yang paling sihat ialah orang yang mempunyai keseimbangan antara ciri-ciri kelelakian dan kewanitaan. Ini bukan aku yang kata, tetapi pakar yang membuat kajian terhadap jantina manusia seperti Eleanor Maccoby, Carol Jacklin, Robert Ardrey, Konrad Lorenz dan sebagainya.

Atas kesedaran memiliki keupayaan yang sama inilah pejuang hak asasi wanita sampai tidak tidur malam kerana memperjuangkan hak persamaan antara jantina. Hasilnya amat memberangsangkan. Kini ramai lelaki jadi ibu yang penyayang dan wanita jadi bapa yang bertanggungjawab. Walaupun dalam masyarakat Melayu istilah 'house husband' kedengaran janggal tetapi sekarang banyak suami yang rela menjadi 'house husband'. Kawan aku belajar sampai menara gading (isteri dia ada PhD) jadi 'suri rumah' yang baik - jaga anak, cuci pakaian, termasuk seluar dalam bini dia, memasak, sapu lantai dan 1001 jenis. Semua yang menjadi kewajipan suri rumah dilakukannya sepenuh hati. Malah dia juga telah mengambil tugas seorang isteri di katil - tukar cadar, sarung bantal dan lipat selimut. Yang lain dia tak cerita.

Orang kata kahwin dengan wanita yang ada pendidikan lebih tinggi, peluang suami jadi suri rumah sepenuh masa lebih terbuka. Kalau ada spesis aku terasa nak jadi suri rumah, carilah wanita berpangkat dan goda dia siang dan malam. Hati wanita walaupun berpangkat setinggi Menara Berkembar KLCC, ijazah berjela-jela, hatinya ada satu kelemahan yang sama dengan wanita lain - mudah terpikat dengan lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab.

Menurut kajian, anak perempuan lebih mesra dengan bapa kerana dia lebih selesa dengan belaian kasih bapa. Oleh itu, apabila meningkat dewasa wanita mencari belaian kasih lelaki untuk menggantikan belaian kasih bapa yang hilang. Lelaki pun sama. Mereka lebih manja dengan ibu.

Oleh kerana ketagih akan belaian kasih itulah ramai wanita membiarkan tubuh dibelai oleh lelaki yang dicintainya tanpa sebarang bantahan. Ini kehendak semulajadi. Tetapi kehendak ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana akan menimbulkan masalah lain. Agama juga melarang lelaki dan wanita bergaul bebas. Namun, kehendak semulajadi sering menewaskan hukum agama. Mausia hanyut dek nafsu yang tidak terbendung.

Mempunyai anak lelaki atau anak perempuan risiko masalahnya sama, kecuali satu iaitu anak lelaki tidak boleh mengandung. Gadis yang mengandung secara haram dipandang hina dan 'dihukum' berat oleh masyarakat kita, sedangkan lelaki yang menyebabkan mengandung seperti terlepas. Istilah 'play boy' digunakan di merata tempat, tetapi istilah 'play girl' tidak ada pula. Masalah lain tiada perbezaan. Membunuh, merompak, mencuri, menagih dadah, memonteng sekolah dan mendera orang lain berpotensi dilakukan oleh lelaki mahupun perempuan. Merogol aku tidak pasti sama ada perempuan berpotensi melakukannya.

Kesimpulannya, anak lelaki atau anak perempuan pada zaman moden ini mempunyai masalah yang sangat hampir sama. Kedua-dua jenis jantina bisa membuatkan ibu bapa tidak lena tidur. Oleh itu, mendedahkan anak-anak kepada agama sejak kecil merupakan cara terbaik mengelakkan masalah yang disebutkan di atas.

Bunga Raya Yang Malang

Bunga raya merupakan Bunga Kebangsaan kita. Bunga yang sepatutnya menjadi kebanggaan kita selaku rakyat Malaysia. Tetapi hakikatnya jauh api dari panggang. Kita kurang menghargai bunga ini. Sukar untuk kita melihat bunga ini mekar di laman rumah atau sekitar bangunan kerajaan. Malah di tepi-tepi jalan raya di sekitar Kuala Lumupr juga jarang kelihatan. Sekiranya ada, tumbuhnya bagai terbiar, kurus dan tidak terurus. Keadaannya melarat bagai menumpang di bumi sendiri. Bunganya pula kecil dan warnanya pudar. Kurang zat makanan agaknya.

Semua benda yang bertaraf kebangsaan nampaknya senasib. Bunga Kebangsaan, Bahasa Kebangsaan, Kebudayaan Kebangsaan, Lagu Kebangsaan, Hari Kebangsaan dan sebagainya kurang dihayati dan dihargai. Malah dipersendakan oleh mereka yang nakal.

Bahasa Kebangsaan semakin hari semakin tenggelam dan semakin rendah tarafnya. Sedikit masa lagi barangkali, martabat Bahasa Kebangsaan hanya hiasan Perlembagaan Persekutuan kerana penggunaannya telah dipinggirkan. Lagu Kebangsaan, Lagu Negaraku dipersendakan oleh rakyat sendiri dengan nyanyian "Negara Ku-ku". Ku-ku dalam bahasa Kantonis mendukung konotasi tidak sopan.

Kebudayaan Kebudayaan lagi teruk. Sampai sekarang ramai yang masih kabur dengan kebudayaan yang diterima sebagai Kebudayaan Kebangsaan. Hari kebangsaan tidak lebih daripada hari masyarkat kota membuat sampah dan melakukan maksiat. Ramai remaja yang datang meraikan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka mengambil kesempatan untuk 'meraikan' benda lain.

Nampaknya bunga raya adalah bunga malang sebagaimana malangnya simpol kebangsaan yang lain!






(Bunga raya di tepi tasik Putrajaya)

Friday, October 3, 2008

Raya Sakan

Aku ketawa sampai sakit urat perut mendengar celoteh seorang kawan sewaktu menghadiri majlis rumah terbukanya di Ampang. Ramai kawan-kawannya datang. Majlis meriah sekali. Bukan hendak pergi makan, tetapi yang utama menziarahi kawan lama untuk mengeratkan silaturahim. Ini merupakan rumah terbuka yang ke lima aku setakat ini. Banyak lagi yang lain. Ketat seluar sekiranya dilayan semua hidangan.

Ada apa sangat dengan makan. Aku bukan jenis tamak makan. Malah orang lain juga aku lihat begitu berhati-hati dengan makanan. Maklumlah masalah obesiti kini serang menyerang rakyat Malaysia. Makanan berminyak kurang disentuh. Orang lelaki ada yang makan lebih, tetapi yang wanita sangat teliti. Dua tiga suap makanan dan segelas air kosong, kira sudah okey. Mereka takut bentuk badan 'biola' mereka bertukar menjadi deram. Kecantikan tubuh mesti dijaga kerana itu salah satunya penambat hati suami. Wanita memang pandai ambil hati lelaki. Kekadang tersalah ambil hati - diambilnya hati suami orang, maka berlinangan air mata si isterinya.

Madu itu manis. Sebab itulah lelaki mahupun wanita suka madu. Maksud aku madu lebah. Bagi madu yang bermaksud "kongsi suami" entahlah manis atau tidak kerana aku pun belum merasainya. Tetapi itulah kemuliaan hati wanita. Mereka sanggup berkongsi kasih suami dengan wanita lain. Malah wanita amat berbangga apabila dikatakan merampas suami orang.

"Syokkah merampas suami orang?" soal seorang kawan.

"Kalau tak syok, takkan ada wanita yang sanggup berperang di khalayak ramai dengan si isteri kekasihnya!" sahut yang lain.

Aku tersenyum. Soal cinta dan nafsu ini membuatkan orang hilang pertimbangan. Sebab itulah kata Sigmund Freud, pakar psikoanalisis, tingkah laku manusia kebanyakannya didorong oleh perlakuan seks.

"Kalau nafsu seks tak ada, jangan kata artis jelita, bidadari syurga pun tiada gunanya!"

"Tapi kalau iman tak ada, jangan kata orang, binatang pun dicabulnya!"

Inilah yang membuatkan aku ketawa. Aku teringat budak Pantai Timur yang ditangkap kerana mencabul kambing betina. Manakala seorang gadis di Eropah pula bersetubuh dengan anjing. Nafsu seks manusia teramat berbahaya. Kerana dorongan nafsu jenis ini, manusia rela melakukan perkara yang sukar ditangkap waras akal.

Setakat rampas suami orang, isteri orang atau tunang orang kira perkara biasa dalam masyarakat moden yang akal fikiran selalu dibelakangkan. Banyak lagi perkara lain yang pelik-pelik dan di luar pemikiran manusia sedang dan akan berlaku. Masyarakat kita sebenarnya 'sedang sakit', sama ada lelaki, wanita, tua atau muda. Hanya orang sakit sahaja yang tidak menghargai akal fikiran.