Sunday, August 31, 2008

Sambut Merdeka, Buang Bendera

Dalam hidup aku, baru dua kali aku pergi tengok perarakan sempena hari kemerdekaan negara. Kali pertama aku jadi penonton dan peserta. Ketika itu perarakan kemerdekaan diadakan di Dataran Shah Alam. Walaupun penat, tetapi meriah.

Kali kedua, pagi tadi di Dataran Merdeka. Aku pergi sama kawan selaku penonton. Seawal 7.00 pagi Dataran Merdeka sudah dipenuhi warga kota yang patriotisme. Semuanya ceria dan bersemangat. Kanak-kanak juga ramai. Jalur Gemilang dikibar tidak henti-henti.

Perarakan kali ini sederhana tetapi meriah. Aku begitu kagum dengan perarakan kumpulan kanak-kanak pra-sekolah yang penuh bersemangat. Kerana pernah jadi peserta perarakan, aku faham betapa letih dan penat sewaktu membuat persediaan. Namun, segalanya berbaloi kerana mereka lakukannya atas nama cintakan negara.
Kemeriahan perarakan kemerdekaan seringkali berakhir dengan kepedihan. Selepas orang ramai pulang, Dataran Merdeka kosong. Pemandangan yang dapat kita lihat ialah satu kepedihan: Jalur Gemilang yang dikibarkan sebelum ini dibuang bertaburan di atas permukaan jalan. Satu sikap yang tidak seharusnya berlaku kerana kita tahu Jalur Gemilang adalah lambang negara. Sampai bila keadaan ini akan berterusan?

Thursday, August 28, 2008

Jalur Gemilang Belum Berkibar

Hari ini merupakan hari yang malang dan memalukan. Aku kata hari yang malang kerana setiba sahaja di tempat kerja, seorang member meluru datang. Dia berbisik:"Bang ada RM200, pinjam dulu kereta rosak." Aku menelan liur, buka dompet ada empat keping RM50. Aku bagi dia 3 keping. Hujung bulan begini memang member suka sangat membisik-bisik. Sengal gigi mendengarnya.

Selepas pulang dari kerja aku seperti biasa singgah di kedai Mamak untuk pekena teh tarik sama roti kosong dulu sebelum balik rumah. Kekadang sembang-sembang bersama kawan sejenak sambil menghilangkan penat. Ketika hendak pulang, seorang kanak-kanak lelaki, lingkungan 11 tahun, muncul di depan aku. Dia bertanya:"Kereta abang tak ada bendera?"

Aku tercegat kehairanan mendengar pertanyaan itu. "Err... belum pasang!" Aku sengaja berkata begitu. hakikatnya aku tidak pernah pasang Jalur Gemilang pada kereta. Bukan tidak ada semangat patriotik tetapi malas.

"Nah!" Kanak-kanak itu tarik satu bendera dari basikalnya dan menghulurkannya kepada aku. Apa yang patut aku lakukan selain menerima dan mengucapkan terima kasih. kanak-kanak itu senyum kepada aku sebelum beredar pergi. Mata yang berada di dalam warung Mamak tertumpu ke arah aku. Aku lekas-lekas beredar.

Memang memalukan. Seorang kanak-kanak yang entah mengerti atau tidak erti semangat cintakan tanah air, tetapi dia memberikan aku bendera. Dia lebih menghargai Hari kebangsaan berbanding aku yang sudah dewasa. Aku tidak kecewakan harapanya. Setiba di rumah aku terus pasang "cendera hati" yang masih baru itu pada kereta.

Hari esok ketika kereta meredah embun di Jalan KL - Putrajaya, aku akan menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di depan aku!

Pagi Yang Membosankan

Hari ini aku ambil cuti. Oleh itu aku ingat hendak bangun lewat sikit kerana kebetulan badan terasa tidak berapa sihat. Mana boleh. Pukul 7.00 pagi telefon sudah menjerit-jerit. Waduh, suara garau lagi garang sudah meringking telinga. "Bila mahu start itu projek?"

"Projek apa, Pak?" soal aku kebingungan antara tidur dan sedar.

"Lho, projek balak di hulu Selangor!"

Aku tersentak. "Salah nombornya, Pak!"

Ini bukan kali pertama orang tersalah menghubungi aku. Sudah acapkali dan tidak terhitungkan. Pernah pada malam-malam buta aku dihubungi seorang wanita dan dia bertanya bila aku akan tiba di hotel. Mungkin dia sangka aku pelanggan pelacur - dirinya. Macam-macam.

Teknologi komunikasi kita rasanya sudah ketinggalan. Talian sering saja menyimpang ke nombor lain iaitu bukan nombor yang dipanggil. Barangkali penggunanya semakin ramai sedangkan teknologinya masih di tahap lama - tidak diangkat statusnya.

Gangguan pada awal pagi ketika tidur hendak dilanjutkan memang mengganggu perasaan. Manakala deringan telefon pada malam-malam buka amat mendebarkan kerana berita buruk dari desa selalunya datang pada waktu begitu.




Wednesday, August 27, 2008

Bunga Tiang Lampu

Tiang lampu di sekitar Putrajaya diindahkan dengan gantungan bunga-bunga hidup yang cantik dan menawan. Pemandangan yang dipenuhi bunga-bunga memang menarik dan indah. Sejuk dan nyaman mata memandang. Sebab itulah gadis yang ayu diibaratkan sebagai bunga - harum dan menawan, memikat si kumbang.

Tetapi bunga tidak selalunya segar,menarik dan indah. Satu hari bernama esok atau lusa bunga pasti layu - si kumbang pasti terbang ke kuntum lain.

Gadis ayu pun begitu, akan hilang keayuannya dek masa dan waktu yang berlalu. Namun, jejaka budiman tak seperti si kumbang kerana dia tetap setia bersama cintanya.